Friday 30 December 2016

Cara hilang masalah bau badan

Tawas adalah kelompok garam berhidrat berupa kristal sebagai bahan yang mampu menghilangkan masalah bau badan secara alami.

Antara kegunaan tawas ialah;
- Untuk mengatasi masalah bau badan, terutama bawah ketiak.
- Mencerahkan kulit bawah ketiak dan celah paha.
- Melembutkan bahagian bawah ketiak dan celah paha.
- Menghilangkan bulu-bulu halus di badan.
- Mengurangkan rasa gata di bahagian badan.
- Antibakteria

Penggunaan tawas bukannya terus kerkesan 100 peratus. Kalau hendak mencerah kulit bawah ketiak dan melembutnya, perlu mengambil masa. Ia perlu diguna secara berterusan.

Namun tidak sukar untuk diamalkan. Niat untuk mencerahkan dan menghaluskan kulit bawah ketiak sebenar dilakukan bersama-sama tujuan untuk mengatasi masalah bau ketiak dan badan yang tidak menyenangkan.

Begitu juga untuk mengurangkan bulu ketiak, dapat dilakukan untuk tujuan menghilangkan bau badan, menghaluskan dan memutihkan bawah ketiak dan menghapuskan bakteria.

Jadi, ia memberi kesan berganda untuk pelbagai tujuan.

Cara penggunaan:
Tawas ketul digunakan dengan cara membersihkan kawasan yang ingin ‘dirawat’ atau membasahkan. Sebab itu, sesuai diamalkan selepas mandi. Tidak perlu lapkan kawasan yang ingin disapukan tawas. Basahkan tawas dan terus disapukan kepada bahagian berkenaan. Biarpun ia kering dengan sendiri.

Ikut pemimpin yang benar

Rakyat wajib patuh kepada pimpinan dalam hal yang makruf selama mana tiada perintah melakukan kemaksiatan dan tiada kekafiran yang nyata. 

Kefasikan seorang pemimpin tidak menjadikan kita menanggalkan ketaatan kita terhadapnya dalam hal yang maruf. Melainkan zahir baginya kekufuran yang jelas.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wajib ke atas seorang muslim untuk mendengar dan taat (kepada pemerintah) pada apa-apa yang dia sukai atau dia benci, melainkan apabila penguasa tersebut menyuruh untuk melakukan kemaksiatan. Apabila dia menyuruh untuk melakukan maksiat, maka tidak boleh mendengar dan tidak boleh taat (dalam urusan maksiat tersebut).” (Hadis Riwayat Muslim no. 3423, al-Tirmidzi no. 1629)

Sekiranya kegagalan pemimpin dalam melaksanakan tugas, tidak semestinya dipaksa berundur.  Dalam sitem pemerintahan demokrasi, terdapat waktu di mana rakyat diberi hak untuk memilih pemimpin. 

Proses pilihanraya adalah kaedah untuk memilih pemimpin. Jika dirasakan seseorang pemimpin sedia ada tidak lagi sesuai terus memegang sesuatu jawatan, maka pemilih boleh menolaknya di kertas undi. Pada masa yang sama, pemimpin yang dipercayai dan diyakini dapat melaksanakan tugas kepimpinan dengan baik, wajar dipilih untuk melaksanakan tugas tersebut.

Sebarang isu skandal yang wujud perlu diselidik dengan betul-betul untuk memastikan kebenarannya. Jangan mudah menyalahkan pemimpin semata-mata dalam sesuatu isu. Proses kepimpinan negara amat kompleks dan melibatkan banyak peringkat. Jadi, tidak adil segala permasalahan dibebankan kepada seorang pemimpin saja.

Amalan menentang pemimpin secara kekerasan atau menyalahi proses biasa diamalkan dalam sistem pemerintahan negara boleh dianggap sebagai 'khawarij' sepertimana wujud pada zaman permulaan Islam dulu. 

Golongan ini banyak menimbulkan masalah kepada pemerintahan dan perpaduan umat Islam.

Banyak kitab para ulama firaq (kumpulan-kumpulan) yang membahaskan tentang "khawarij". Ia mencatatkan tentang celaan Nabi para sahabat dan para ulama ahli sunnah terhadap khawarij. Perlu dijelaskan sepertimana dibahasakan para ulama, khawarij tidak hanya merujuk kepada sikap mengangkat senjata.

Kata ulama besar Mazhab al-Syafie juga muhaddis tersohor al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani (w. 852H):

"Al-Khawarij "al-qa'diyyah" (yang duduk); mereka tidak menyeru manusia memerangi pemerintah (dengan senjata), namun mereka mengingkari pemerintah yang zalim dengan menyeru manusia kepada pendapat mereka yang memperelokkan serta memperindahkan sikap khuruj (keluar dari mentaati pemerintah)." (lihat: Tahzib al-Tahzib, oleh Ibnu Hajar, 8/114)

Difahami dari kata-kata Ibnu Hajar (w.852H), bahawa khawarij al-qa'diyyah adalah golongan yang melakukan provokasi juga menyebarkan persepsi supaya rakyat tidak mentaati pemerintah.

Kerana itu al-Imam Abu Daud (w.275H) menukilkan perkataan dari Abdullah bin Muhammad al-Sha'if bahawa:

"Khawarij al-Qa'diyyah adalah seburuk-buruk khawarij." (lihat: Masa'il al-Imam Ahmad, oleh Abu Daud, ms 271)

Dalam Islam membenarkan pemimpin ditegur. Namun ada cara dan adabnya perlu dilakukan. Menegur kesalahan pemerintah adalah wajib sama ada dalam sistem demokrasi seperti hari ini atau yang lainnya.

Konsep negara Islam

Negara ialah satu konsep yang merujuk kepada kawasan yang mempunyai tanah, penduduk, sistem politik dan undang-undang. Dalam istilah Bahasa Arab, negara disebut ‘daulah’ dan istilah ‘dar’ pula digunakan dalam rujukan awal karya sarjana Muslim yang terdahulu.

Pembentukan negara Islam adalah suatu tuntutan fardu kifayah. Ianya berkaitan dengan  perlaksanaan syariah dan tidak dapat dilaksanakan tanpa wujudnya sebuah negara dan politik. Manakala tuntutan syariah pula menjadi kewajipan ke atas setiap muslim dan mewujudkan negara Islam juga  adalah suatu yang wajib.

Apabila satu negara menegakkan hukum Islam dan diperintah oleh orang-orang muslim maka secara automatiknya negara itu akan diktiraf sebagai sebuah negara Islam walaupun majoriti penduduknya adalah bukan muslim.

Bukti secara jelas di sini berlaku pada zaman Rasulullah SAW yang mana sebelum berlakunya penghijrahan baginda ke Madinah, Makkah dan seluruh dunia  adalah sebuah darul kufur.

Selepas Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya berhijrah ke Madinah dan menegakkan Daulah Islamiyyah, maka wujudlah sebuah negara Islam yang pertama dalam sejarah kaum muslim. Rasulullah sendiri telah dilantik sebagai ketua negara dan hukum-hukum Islam telah diterapkan secara jelas dan jaminan keselamatan dalam dan luar negeri berada di bawah tangan kaum Muslim.

Selain itu terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sulaiman Ibnu Buraidah, bahawa Nabi SAW  bersabda yang bermaksud: “Serulah mereka pada Islam. Jika mereka menyambutnya, terimalah mereka, dan hentikanlah peperangan atas mereka, kemudian ajaklah mereka berpindah dari negerinya (darul kufur) ke Darul Muhajirin (Darul Islam, yang berpusat di Madinah), dan beritahukanlah kepada mereka bahawa jika mereka telah melakukan semua itu maka mereka akan mendapatkan hak yang sama sebagaimana yang dimiliki kaum muhajirin, dan juga kewajiban yang sama seperti halnya kewajiban kaum Muhajirin (Hadis riwayat  Muslim).

Istilah negara Islam atau dikenali sebagai “al-Dawlah Islamiyyah” didapati tiada penggunaannya di dalam al-Quran. Takrif negara Islam tidak  diberikan oleh ulama tradisional dan topik perbincangan mereka adalah sekitar ciri-cirinya seperti perbincangan tentang ketua negara, syarat-syaratnya, cara pemilihannya, tugasnya dan perkara yang berkaitan dengan pentadbiran negara. Namun begitu  kebelakangan ini terdapat cendekiawan Islam yang cuba memberi definisi tentang negara Islam.  

Istilah ini mula diperkenalkan oleh Muhammad Rashid Rida dalam bukunya Al-Khilafah wa al-Imamah. Di dalam al-Quran terdapat istilah lain yang boleh menjadi asas kepada persoalan ini seperti istilah khalifah, khulaf atau khalaif.  

Sayyid Qutb dalam Fi Zilal al-Quran (1994) ketika membicarakan persoalan ini berkata bahawa negara Islam ialah sebuah negara yang menjalankan undang-undang Islam serta berhukum dengan syariat Islam sama ada penduduknya semua muslim atau muslim dengan ahli zimmah.  

Abu Zahrah (1995) dalam membincangkan konsep negara Islam dan bukan Islam membawa beberapa pandangan ulama yang terkenal antaranya pandangan Abu Hanifah yang berpendapat bahawa negara bukan Islam ialah ada tiga syarat iaitu: Hukum bukan Islam dilaksanakan di negeri tersebut seperti amalan riba, arak, judi dan babi, negeri itu tidak ada perhubungan langsung dengan orang Islam.  Malah di segi geografinya terhalang daripada negara Islam.  Kalau kawasan bukan Islam itu ada hubungan dan dikelilingi oleh kawasan Islam ia bukannya Dar-al-harb. Tidak ada di sana seorang Islam pun atau dhimmi yang boleh hidup dalam keamanan sebagaimana keamanan Muslim awal (al-Muhajirin) dengan pengikut-pengikutnya.

Di sini Abu Hanifah berpendapat bahawa negara Islam ialah negara yang melaksanakan hukum Islam atau orang Islam atau dhimmi berada di bawah pemerintahan Islam atau pemerintah Islam.

Berdasarkan huraian di atas Abu Zahrah membuat kesimpulan bahawa pentafsiran fuqaha tentang negara Islam dan bukan Islam terdapat dua iaitu  negara Islam diasaskan kepada perjalanan dan perlaksanaan hukum Islam dan sistemnya.

Ibn Qaiyim berpendapat bahawa kebanyakan ulama menyatakan bahawa negara Islam ialah negara yang diduduki oleh kaum muslimin dan menjalankan undang-undang Islam, jika tidak menjalankan undang-undang Islam maka ianya bukanlah sebuah negara Islam. Fuqaha telah bersepakat menyatakan negara Islam itu mestilah wujud kekuasaan politik pemerintahan di tangan orang Islam.

Di dalam kitab Nazariyat al-Islam wa Hadyuhu (hal.35) Maududi mentakrifkan negara Islam ialah negara yang kuasa mutlaknya pada Allah SWT yang menentukan syariat itu dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.  

Khaulah Azwar wanita tangkas di medan perang

Dalam sejarah kepahlawanan tentera Islam pada zaman permulaan dulu, tersenarai satu nama cukup gah dan dikenang jasa dan keberaniannya ialah Khaulah binti Al-Azwar. 

Khaulah telah dibesarkan dalam sebuah rumah keberanian, kemuliaan serta kewibawaan, mempunyai susuk tubuh tinggi lampai dan tegap. 

Ayahnya al-Azwar terbunuh ketika mempertahankan Rasulullah SAW dalam satu peperangan. 
Khaulah menyertai Perang Ajnadin pimpinan Khalid Al-Walid sebagai perawat tentera yang cedera dan memberi semangat serta bantuan bahagian belakang.   

Turut serta dalam perang tersebut ialah Dhiraar bin Al-Azwar, abang kandung Khaulah yang sememang sudah terkenal sebagai tentera dan penunggang kuda yang hebat. Namun, dalam perang itu, Dhiraar berjaya ditawan tentera Rom. Pasukan Islam berusaha untuk membebaskannya. 

Dalam satu pertempuran yang sengit untuk mengalahkan musuh dan membebaskan Dhiraar, panglima Khalid bin al-Walid telah memerhatikan seorang penunggang kuda yang tinggi, Seluruh mukanya bertutup, hanya kelihatan matanya sahaja.

Ternyata padanya tanda-tanda ketangkasan yang luar biasa, sedang dia berpakaian serba hitam dan di kepalanya berlilit satu imamah atau serban hijau, yang sisinya berjuntaian hingga ke dadanya, lalu dililitkan selebihnya ke belakang. Dia seringkali berada di hadapan lelaki, seumpama api yang marak membakar.

Khalid mengkagumi sikap pejuang itu. Maka dia bertanya kepada pejuang-pejuang yang berada di sisinya. ''Siapakah si penunggang kuda itu? Demi Allah dia adalah seorang penunggang kuda yang amat berani.''

Beliau terus memerhatikan cara serangannya ke atas tentera Rom, laksana api yang marak, lalu memecah-belahkan pasukan musuh dan memusnahkan penyusunan ketombokan mereka.

Sejurus kemudian lembaga itu hilang di tengah-tengah kumpulan pejuang Islam lain dan terus bertempur bermati-matian, kemudian kelihatan kembali semula sedang lembing yang dipegangnya bertitisan darah, entah berapa banyak orang yang sudah menjadi mangsanya. Dia kemudian terus menggempur askar-askar musuh tanpa perasaan takut atau gentar sedikit pun.

Sebenarnya kelakuan pejuang ini telah menarik perhatian kaum muslimin hingga menaikkan semangat serta meneguhkan lagi tekad mereka. Lalu berkata seorang pemuda bernama Rafik bin Umairah: "Pejuang berkuda itu adalah Khalid al-Walid, panglima kita.''

Akan tetapi sangkaan Rafik tidak tepat apabila Khalid muncul secara tiba-tiba. Lalu Rafik bertanya pada Khalid: ''Siapakah penunggang kuda yang bertarung di hadapanmu tadi, aku sangkakan kaulah penunggang kuda itu.''

Berkata Khalid, ''Demi Allah aku pun dari tadi telah memerhatikan pejuang itu, aku sendiri tidak mengenalinya. Aku kagum dengan keberanian dan ketangkasannya.''

Khalid berkata lagi: ''Wahai kaum muslimin! Satukan semua tentera dan bantulah si pejuang yang mempertahankan agama Allah itu!''

Maka bertempurlah tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid al-Walid bersama pejuang berkuda itu, maka semakin bertambahlah semangatnya laksana api yang menjulang. Akhirnya tentera Islam mengecapi kemenangan yang gilang-gemilang.

Apabila pejuang berkuda itu kembali ke garisan tentera muslimin, kelihatan keseluruhan tubuhnya bermandikan darah. Lalu Khalid al-Walid terus mengalu-alukannya seraya berkata: ''Semoga Allah memberkati susu yang kamu minum daripada ibumu sebagai pejuang yang mengorbankan diri di jalan Allah dan menunjukkan keberanianmu di hadapan musuh!''

''Siapakah kau sebenarnya? Bukalah kain penutup mukamu!'' Akan tetepi pejuang itu tetap tegak mendiamkan diri tanpa sepatah kata, maka salah seorang daripada tentera muslimin pun berkata: ''Wahai orang yang dimuliakan! Panglima perang berkata kepadamu, kenapa kamu hanya diam membisu dan memalingkn diri daripadanya? Perkenalkanlah dirimu, agar kamu mendapat penghormatan daripadanya.''

Malangnya pejuang itu masih membisu lalu menepuk-nepuk kuda dan terus meninggalkan Khalid al-Walid bersama tentera muslimin.

Tindakannya ini telah membuatkan Khalid hilang kesabaran lalu menerpa ke arahnya, seraya menjerit: ''Biadap kau! Kau telah telah mengacau hati orang ramai dan hatiku. Lebih baik kau perkenalkan saja dirimu dan dari mana kamu datang?'

Apabila pejuang itu melihat Khalid al-Walid begitu serius, maka dia pun menjawab dan kedengaran suara seorang wanita. Katanya: ''Aku tidak akan memalingkan mukaku daripadamu, melainkan kerana terasa malu''.

''Wahai panglima! Kau adalah seorang yang mulia dan besar kedudukannya, sedangkan aku seorang wanita yang selalu berlitup.''

Khalid al-Walid kagum dengan penjelasan daripada suara yang lembut itu dan terus bertanya: ''Siapakah kamu dan dari mana kamu datang?''

Suara itu menjawab, ''Aku Khaulah binti al-Azwar. Ketika aku sedang bersama-sama wanita lain, tiba-tiba datang satu berita memberitahuku, bahawa saudaraku Dhirar bin al-Azwar telah ditawan. 


Maka aku tidak dapat menahan kesabaranku, lalu aku terus menunggang kuda ke sini. Sesungguhnya aku terpaksa melakukan apa yang telah aku lakukan ini.''

Khalid al-Walid merasa begitu kagum lagi dengan jawapan dan tindakannya itu. Lantas memuji-muji Khaulah atas keberanian dan keikhlasannya terhadap saudaranya itu. 

Maka Khalid berkata kepada Khaulah lagi: ''Kita akan menggempur musuh sekali lagi selepas ini dan aku berdoa kepada Allah agar kita dapat menemui saudaramu, supaya kau dapat membebaskannya nanti.''

Peperangan itu dimenangi tentera Islam dan Dhirar berjaya dibebaskan bersama-sama tentera Islam yang lain.

Penyertaan Khaulah dalam peperangan tidak berakhir di situ sahaja. Beliau telah menyertai beberapa peperangan selepas itu termasuklah peperangan yang berlaku di Syam.

Dalam peperangan di Marj Dabik, saudaranya Dhirar telah ditawan sekali lagi. Khaulah sekali lagi telah menggempur barisan-barisan musuh.

Kesedihannya digarap pada syair dan tangisan yang mendorong semangat pasukan Islam untuk menuntut Rom membebaskan Dhiraar. Beberapa wanita lain yang suami mereka menjadi tawanan turut memberi semangat supaya tentera Islam lebih berani.

Pasukan Islam berjaya menyerbu daerah utara Syam dan mengepung Antarkia manakala beberapa tawanan dibebaskan, termasuk Dhiraar. Malangnya Khaulah dan beberapa wanita lain pula menjadi tawanan Rom.

Dalam tawanan pasukan musuh itu, Khaulah tidak menyerah kalah. Beliau berseru kepada temannya: “Hai puteri Himsyar sisa keturunan Tubba, apakah kalian rela menjadi tawanan Rom dan anak kalian menjadi budak mereka?

“Lebih baik kita mati daripada menjadi tawanan yang hina dan melayan Romawi keparat.”

Dengan semangat pantang menyerah, Khaulah mengetuai teman tawanan wanita dengan mengambil tiang khemah. Bersenjatakan tiang itu, mereka melawan pasukan Rom dengan memukul kepala mereka. Berkat keberanian itu, mereka berjaya membebaskan diri.

Selain itu, beliau juga turut terlibat dalam penaklukan Mesir, sehingga namanya disebut-sebut semua orang. Beliau terus menjadi seorang perajurit Islam, sehingga beliau menemui ajal pada zaman pemerintahan Khalifah Othman bin Affan. 

Khaulah telah meninggalkan namanya harum mewangi, yang bau-bauannya terus menerus dicium orang di sepanjang zaman.

Hubungan seks penuhi tabie manusia

Manusia memerlukan pasangan lelaki dan perempuan dalam melayari kehidupan yang saling memenuhi keperluan sama ada zahir mahupun batin. Hubungan seks adalah satu keperluan untuk memenuhi tuntutan naluri dan melahirkan zuriat.

Persetubuhan antara seorang lelaki dan perempuan menjadi halal melalui pernikahan yang sah. Nikah yang sah menjadi portfolio untuk mengadakan persetubuhan. Islam menghalalkannya dengan nikah dan mengharamkannya bagi mereka yang tidak bernikah.

Melalui perkahwinan tertunailah segala keinginan seorang lelaki dan keinginan seorang wanita. Fitrah semulajadi manusia telah dilengkapkan dengan keinginan ini. 

Mereka yang hidup dengan menahan dan mengorbankan keinginan fitrah nafsunya berhadapan dengan pelbagai masalah di antaranya; psikologi yang terganggu, ketidakstabilan emosi, seterusnya membawa masalah dalam kehidupan seharian.

Dalam hal ini, Islam memberi ruang untuk seseorang itu menikmati keinginan nafsunya dengan izin syarak. Namun sebagai hamba yang diciptakan untuk mematuhi perintah Allah maka cara dan etika dalam mengadakan hubungan suami isteri perlu dijaga.

Ini kerana jimak juga dikira sebagai ibadat. Dalam surah al-Baqarah, Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada hari akhirat kelak). Dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman."

Dalam ayat ini Allah SWT menggambarkan sebagai ladang atau kebun itu dengan tatacara yang beradab, walaupun ayat ini menyatakan datanglah kepada isteri-isteri kamu mengikut kamu sukai.

Mengikut al-Raghib al-Asfahani, makna "kebun" itu adalah tempat kamu menanam benih zuriat kamu.

Al-Jauhariy menegaskan bahawa “kebun" dalam ayat ini adalah satu perumpamaan” manakala Ibn Abbas berpendapat: “siramlah tanaman kamu di mana ia boleh tumbuh”.

Allah SWT memberikan kebebasan bagi suami isteri untuk menikmati jimak sesuai dengan kaedah dan cara yang dianggap sesuai menurut syarak. Maksudnya memenuhi kepuasan nafsu dengan tidak melampaui nilai dan adab.

Namun begitu, Islam juga menggariskan batas-batas jimak tersebut, seperti dilarang menjimak isteri ketika haid atau nifas, dilarang menjimak dubur isteri dan lain-lain.

Punca kejatuhan kerajaan Islam

Kejatuhan kerajaan Islam perlu dijadikan pengajaran agar perkara sama tidak berlaku di negara kita. Penganut Islam di Malaysia perlu bersatu untuk terus berkuasa dan memerintah negara. Sudah banyak peristiwa memperlihatkan kekuatan penganut Islam di Malaysia nampak rapuh dalam perpaduan. 

Sekiranya masa dan tenaga lebih ditumpukan kepada usaha menyelesaikan perbalahan sesama sendiri, sudah tentu ruang untuk memperkasakan umat Islam agak terhad. 

Seluruh umat Islam perlu berhijrah memasuki dimensi lebih telus untuk membentuk masyarakat yang lebih berjaya dan kuat. 

Kelemahan umat Islam adalah kerana berpecah dan saling menjatuhkan sesama sendiri. Itu fakta dan tidak disangkal lagi. Siapa untung Melayu Islam berpecah? Perpecahan tidak membawa keuntungan di antara pihak yang terlibat. Yang untung ialah pihak lain. Jadi, mengapa ada yang suka berpecah?

Keadaan dan situasi yang semakin menjatuhkan maruah Melayu dan Islam jangan terus dibiarkan. Apabila seruan perpaduan dilaungkan, ada yang menolaknya dengan mentah-mentah dan melarang orang lain menerima cadangan perpaduan.

Mereka dakwa Islam bawa perpaduan. Mengaku untuk perjuangkan Islam. Mengaku parti Islam. Malangnya mereka melakukan perbuatan ditegah Islam. Mengaku untuk kebaikan Islam tetapi lari tinggalkan perjuangan.  

Mengapa ini terjadi kepada umat Islam? Tidakkah mereka menghayati ajaran Islam yang anjurkan perpaduan dan bermaaf-maafan? Mengapa mereka bertegang urat dan tidak mahu muhasabah diri?

Adakah perjuangan memperjuangan Islam selama ini hanya retorik dan untuk meraih sokongan? Atau apakah kerana ingin mendapat kuasa dan ganjaran kebendaan mereka sanggup melanggar perintah agama agar bersatu?

Mereka dakwa Islam ada jalan penyelesaian tetapi kenapa masih selesai. Itulah tanda mereka tidak ikut Islam. Mereka hanya berlagak sebagai memperjuangan Islam tetapi tidak ikut Islam. Mereka main-main suruhan agama.

Asas pergaduhan adalah ego yg tidak sudah-sudah. Apa tah lagi dua- dua pihak ada ego. Kalau nak menang turunkan ego. Kalau tidak yang menang dan kalah masuk neraka. Sama-sama rugi dan hancur.

Mereka ghairah  dan kuat tidak bertempat. Tidak ambil kira hubungan yang wujud selama ini. Kawan sudah jadi musuh.

Asas perpecahan ialah tolak takdir Allah. Tidak menerima ketentuan ditetapkan Allah. Awas jangan sampai Allah murka. Selama ini perjuangan yang dilakukan tidak mencapai kejayaan kerana ada kesalahan dilakukan.  

Asas ketidaksetiaan ialah ramai melakukan dosa kepada Allah. Jadi taubatlah. Fitnah, umpat dan tidak menerima ketentuan Allah adalah dosa.

Malulah kepada Allah kerana dengan sikap kalian musuh bertempik gembira. Tunggu dua-dua tersungkur. Musuh Islam yang untung dengan perpecahan sesama Islam. Inilah yang diharapkan direncanakan oleh bukan Islam.

Mereka tahu, selagi umat Islam bersatu dan patuh perintah Allah, maka peluang untuk mereka berkuasa tidak akan berjaya. Tetapi sekarang sesama Islam bergaduh. Mereka bertepuk tangan dan menanti masa terbaik untuk mereka berkuasa.

Islam agama amat mementingkan perpaduan berdasarkan kepada satu matlamat iaitu mencari keredaan Allah. Malang sekali umat Islam saling bermusuhan untuk menjayakan misi kepuasan hati sendiri. 

Jika mengaku Islam dan memperjuangkan Islam, ikutlah perintah Allah. Jangan mengaku Islam tetapi tindak tanduk tidak melambangkan Islam.

Firman Allah dalam surah al-Anbiya, ayat 92 bermaksud: “Sesungguhnya (agama Islam) ini adalah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku.”

Padah langgar baiah

Baiah adalah perjanjian atau persetujuan yang dibuat secara kerelaan antara individu dengan individu atau pihak lain dengan bersaksikan kalimah Wallahi, Wabillahi dan Watallahi.

Terdapat beberapa ayat dalam al-Quran dan salah satunya ialah ayat 111 dalam Surah at-Taubah menerangkan tentang janji dan baiah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (Surah at-Taubah, ayat 111)

Setiap baiah perlu dilaksanakan atau dipatuhi. Jika ada dalam baiah itu melibatkan ikatan perkahwinan seperti jika melanggar baiah itu akan menyebabkan tercerai isteri, maka baiah itu turut melibatkan unsur taklid.  Maka, jika dilanggar baiah itu, maka jatuhlah talak kerana ia sudah menjadi seperti taklid.

Justeru jangan mudah melakukan baiah hanya kerana inginkan kepada sesuatu. Kaji dulu kesan baik dan buruknya, terutama apabila tidak mampu untuk mengikuti dan melaksanakan baiah itu.

Mungkin pada ketika ingin melakukan baiah itu dirasakan mampu menunaikan kandungan baiah itu, tetapi keadaan hidup kita sentiasa diuji dan mengalami perubahan. Apa yang dipersetujui itu mungkin berubah kepada sebaliknya.

Sesiapa yang melanggar baiah bukan saja mendapat pembalasan di akhirat, namun sumpah itu ditakuti akan terkena balasannya di dunia ini. Ia bukan saja memberi kesan kepada individu terbabit, bahkan ahli keluarga dan masyarakat.

Setiap baiah tidak boleh ditarik balik kecuali diterima atau dibenarkan oleh pihak yang menerima baiah itu. 

Janganlah kita melakukan dosa setelah sebelum itu kita benar-benar ingin melakukan kebaikan.  Jangan kerana awalnya kebaikan ingin dicapai, sebaliknya keburukan pula yang terpaksa ditanggung disebabkan kejahilan dan sikap tidak usul periksa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Allah tidak sekali-kali menjadikan sesuatu kaum itu sesat sesudah Ia memberi hidayah petunjuk kepada mereka, sebelum Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka wajib memelihara dan melindungi diri daripadanya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah at-Taubah, ayat 115)

Jubah ganti baju Melayu

Kehidupan manusia suka kepada perkara baru. Berubah daripada yang kebiasaan. Biarpun budaya dan adat dikatakan amalan turun temurun, ia juga berubah secara perlahan-lahan. 

Perubahan itu ada kalanya berpunca kepada keperluan semasa dan setengahnya pula disebabkan pengaruh daripada luar.

Contohnya pemakaian baju kurung di kalangan wanita Melayu. Sekarang ini trend sudah berubah. Wanita Melayu kini semakin ramai memakai jubah berbanding baju kurung.

Perubahan ketara itu bukan saja ketika hari-hari biasa, bahkan semasa sambutan Hari Raya. Sekarang semakin ramai memilih jubah. 

Fenomina ini berlaku kerana kuatnya proses Arabisasi yang melanda pada hari ini, sudah sukar untuk melihat baju kurung teluk belanga, cekak musang, Kedah, Melaka dan Pahang dipakai wanita Melayu. Begitu juga dengan baju kebaya.

Tidak kurang juga pengaruh terhadap kaum lelaki yang semakin selesa mengenakan jubah berbanding dengan baju Melayu. Biarpun jubah yang dipilih memperlihatkan fesyen lebih moden dan menepati citarasa terkini, hakikatnya ia tetap dikenali sebagai jubah.

Sedikit demi sedikit kebudayaan Melayu runtuh dan digantikan dengan kebudayaan Arab.

Ini kerana, majoriti orang-orang Melayu sudah tidak dapat membezakan lagi di antara Arab dan Islam. Bagi mereka Arab itu Islam dan Islam itu Arab.

Fenomena ini ditambah lagi dengan pulangnya ramainya pemuda-pemudi Melayu dari Timur Tengah masuk bekerja di jabatan-jabatan kerajaan.

Perlahan-lahan juga bahasa Melayu diresapi oleh bahasa Arab. Jika dulu hanya orang berpendidikan Arab saja menggunakan istilah-istilah Arab, tetapi kini ia semakin meluas digunakan termasuk dalam istilah ekonomi seperti sukuk, takaful, wadiah, wakalah, mudarabah dan sebagainya. 

Begitu juga dengan penggantian istilah daripada buka puasa kepada iftar, sembahyang kepada solat, syurga kepada jannah, ibu kepada ummi dan sebagainya.

Tidak pasti mengapa perubahan itu berlaku. Adakah orang Melayu menganggap “kurang Islam” jika masih menggunakan “istilah lama” dan tidak berubah kepada kepada elemen Arab.

Kebaikan khasiat petai

Petai atau nama sainstifiknya parkia speciosa kaya khasiat dan memberi banyak kebaikan atau manfaat jika mengamalkan makan petai. Jadi, jangan pandang 'hina' kepada penggemar petai. Petai tergolong buah atau ulam yang perlu dimakan oleh semua lapisan umur. Jangan fikir soal bau busuk petai, tetapi fikirkan kebaikan atau manfaat yang diperoleh daripada memakan petai. 

Di antara kebaikan atau khasiat hasil memakan petai ialah:

Kemurungan 
Keputusan kaji selidik di kalangan orang yang mengalami kemurungan, kebanyakan daripada mereka kembali pulih selepas makan petai. Ini kerana petai mengandungi tryptophan, sejenis protein yang badan bertukar kepada serotonin, yang yang dapat menjadikan orang lebih relaks, gembira dan menjadi emosi lebih stabil.

PMS (sindrom pra-haid) 
Vitamin B6 petai membantu mengawal atau meneutralkan paras gula dalam darah dan membantu wanita yang mengalami mood tidak stabil ketika berdepan sindrom premenstrual.

Anemia 

Zat besi yang tinggi di dalam biji petai boleh merangsang pengeluaran hemoglobin dalam darah dan seterusnya membantu dalam kes-kes anemia atau pesakit kekurangan darah.  

Tekanan darah tinggi 
Kandungan kalium dalam petai dengan kandungan rendah garamnya baik untuk menurunkan tekanan darah tinggi dan mengurangi risiko strok.
US Food and Drug Administration telah hanya menyenarikan petai sebagai buah yang mampu mengurangkan risiko tekanan darah dan strok. 

Kuasa  minda 

Khasiat petai lain ialah kemampuannya di dalam meningkatkan kekuatan tenaga minda. Ini  berdasarkan laporan di USA yang dijalankan di mana petai diberikan kepada pelajar semasa sarapan sebelum peperiksaan.    

Kajian terhadap 200 pelajar sebuah sekolah di Twickenham telah membuktikan pelajar yang terlibat memakan petai dapat meningkatkan kuasa otak mereka dan membantu mereka lebih segar, bertenaga dan memberi tumpuan dalam pembelajaran.  

Sembelit 

Petai juga dapat mengatasi masalah sembelit. Petai mengandungi tinggi serat dan boleh membantu penghadaman dan menggalakkan pembuangan air besar tanpa menggunakan julat.  P
etai boleh membantu memulihkan tindakan usus yang normal.

Keletihan 
Cara terbaik untuk mengurangkan keletihan ialah dengan membuat jus petai dicampur dengan dengan madu. 

Pedih ulu hati  

Petai mempunyai kesan anti-asid semulajadi dalam badan, jadi jika anda mengalami pedih ulu hati, cuba makan petai untuk mengurangkan kesan kesakitan. 

Gigitan nyamuk  

Satu amalan yang biasanya dilakukan orang kampung ialah menggunakan kulit petai untuk mengurangkan kesan gatal gigitan serangga dan nyamuk.  Kulit petai digosok pada bahagian yang kena gigit.  Insyaalah, rasa gatal, sakit, bengkak, kerengsaan atau lebam akan beransur kurang. 

Saraf  
Petai yang tinggi vitamin B yang membantu menenangkan sistem saraf.

Berat badan yang berlebihan

Kajian di Institut Psikologi di Austria mendapati tekanan kerja menjadi punca pengambilan makanan berlebihan. Dengan memakan petai, kita dapat mengawal badan daripada ketagih mengambil makanan berkarbohidrat tinggi.  Dengan cara itu dapat mengatasi masalah berat badan berlebihan.

Ulser 
Petai mampu meneutralkan lebihan asid dan mengurangkan kerengsaan oleh salutan lapisan perut. Jadi, ia dapat membantu mengatasi penyakit ulser.

Kawalan suhu

Petai dianggap "penyejuk"  dan boleh menurunkan suhu fizikal dan emosi, termasuk kepada ibu-ibu mengandung. Di Belanda, sebagai contoh, wanita hamil makan petai untuk memastikan bayi yang dilahirkan dengan suhu yang sejuk.

Merokok 

Petai juga boleh membantu orang yang cuba untuk berhenti merokok.   Petai yang kaya dengan kandungan vitamin B6, B12, serta kalium dan magnesium dapat membantu badan pulih daripada kesan-kesan nikotin terhadap tubuh.

Kalium (potasium) dan magnesium dalam petai boleh mengurangkan keinginan untuk merokok. Merokok adalah membahayakan kesihatan.  Biar mulut berbau petai daripada berbau rokok.

Tekanan perasaan (stres) 
Potassium atau kalium merupakan bahan mineral untuk kesihatan vital, yang membantu menormalkan degupan jantung, menghantar oksigen kepada otak dan mengimbangi kandungan air dalam badan anda. Apabila kita tertekan, kadar metabolisme kita meningkat, sekali gus mengurangkan kadar potassium. Ini dapat diimbangi semula dengan bantuan snek petai yang tinggi potassium.

Mengatai masalah cacing dalam badan
Petai juga dapat membunuh cacing di dalam perut dan usus di mana ia akan keluar bersama najis.

Merawat deman kuning.
Bahagian daun petai boleh digunakan untuk merawat demam kuning. Caranya ialah dengan merebus daun petai di mana kemudian airnya diminum dan ulang beberapa kali.

Strok 
Menurut kajian dalam "The New England Journal of Medicine" makan petai sebagai sebahagian daripada diet yang teratur dapat mengurangkan risiko kematian oleh strok sebanyak 40% ".

Ketuat 

Mereka yang ada ketuat pada badan, boleh mencuba untuk menghilangkannya dengan meletakkan biji petai pada bahagian yang berkenaan.  Gunakan plaster atau kain untuk melekatkan biji petai di bahagian ketuat itu.

Mengurang kemabukan
Terdapat petua yang mengesyorkan adunan petai bersama susu dan madu, adunan ini dipercayai dapat mengurangkan masalah kemabukan, kerana herba petai, madu dan susu dapat memperbaiki aras glukosa dan mengembalikan aras cecair badan ke tahap seimbang.