Wednesday 29 June 2016

Sedekah ambang Aidilfitri

Ketibaan 1 Syawal atau Aidilfitri disambut gembira dan meriah umat Islam. Hari Raya Puasa disambut sebagai tanda berjaya melaksanakan ibadat puasa. Namun, bagi golongan miskin, sekadar memerhati dan melihat dari jauh kegembiraan orang lain. Justeru, amat baik dan berhati mulia jika menghulurkan bantuan kepada golongan miskin agar dapat turut bergembira.

Bantuan yang disumbangkan, tidak kira apa jenis sekali pun amat bermakna bagi golongan miskin dan fakir. Mungkin sumbangan itu satu nilai yang amat sedikit bagi golongan kaya, tetapi sesuatu yang amat berharga boleh golongan miskin. 

Bahkan, pakaian terpakai yang sudah menjadi bahan buangan bagi golongan kaya adalah sesuatu yang paling berharaga bagi golongan miskin. Pakaian itu lebih baik daripada apa yang mereka miliki dan gunakan sekarang. 

Sesungguhnya sedekah pada bulan Ramadan adalah seutama-utama sedekah berbanding sedekah pada bulan-bulan lain. Pahala sedekah pada bulan Ramadan digandakan pahalanya, seperti mana Allah menggandakan balasan pahala bagi setiap kebaikan yang dilakukan sepanjang Ramadan.

Sedekah yang diberikan tidak semestinya dalam nilai yang besar.  Sesiapa yang ingin menghulurkan sedekah, berikanlah mengikut kemampuan. Apa yang penting ialah keikhlasan pemberinya dan manfaat yang diperoleh oleh penerimanya.

Sedekah dalam bentuk makanan, pakaian dan wang sesuatu yang amat bermakna bagi golongan miskin. Ia satu keperluan asas yang diperlukan semua orang.  

Ketibaan Syawal disambut golongan miskin tidak ada bezanya dengan hari-hari lain. Tidak ada apa yang membolehkan mereka menyambut Aidilfitri dalam keadaan bergembira, melainkan rasa bersyukur dan memikirkan cara mana hendak meneruskan kehidupan seharian.  

Sedekah adalah lambang kasih sayang dan bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah. Sesiapa bersyukur, dia akan ditambahkan nikmat hidup di dunia dan akhirat.  

Kekuatan umat Islam terbentuk melalui kasih sayang dan persaudaraan.  Sesungguhnya, seluruh umat Islam adalah bersaudara antara satu sama lain. Perkara ini perlu diterjemahkan terutama ketika sambutan Aidilfitri. 

Islam mengutamakan amalan sedekah bukan saja bertujuan memberi kebaikan kepada orang yang menerima sedekah itu. Bahkan, amalan bersedekah turut memberi kebaikan kepada orang yang memberi sedekah. 

Sebahagian harta yang disedekahkan akan membersihkan dan menyuburkan sebahagian harta yang masih dimiliki. Ia membantu menumbuhkan tunas-tunas rezeki yang lebih diberkati dan memberi manfaat kepada pemiliknya.    

Rasa keimanan yang ditanam sepanjang Ramadan mampu mengikis perasaan sayang harta kekayaan, sebaliknya lebih mudah melakukan sedekah dan membelanjakan harta ke jalan Allah.    

Tingkatkan amalan bersedekah. Sesungguhnya sedekah dapat menghindarkan diri daripada dilalaikan dengan keindahan dan kemewahan dunia.

Banyak orang menjadi kufur disebabkan tidak mensyukuri nikmat harta disedikan oleh Allah. Perasaan angkuh dan sayangkan harta menyebabkan seseorang merasakan apa yang dimilikinya adalah hasil kebolehnya mencari harta di dunia ini dan menolak yang hakikatnya ia dikurniakan oleh Allah Yang Maha Pemberi Rezeki.

Wednesday 22 June 2016

Kebaikan ingat mati

Ingat mati.  Kematian pasti dihadapi oleh setiap yang hidup biarpun kita tidak mengetahui saat kematian bakal tiba. Perhatikan di sekeliling kita tidak terdapat orang yang berumur lebih 150 tahun.  Malah didapati jarang ditemui orang berumur lebih 80 tahun. Secara purata, umur 60 tahun sudah dikira memasuki ‘usia menunggu kematian’.  Pintu kematian semakin dekat dirasakan.

Usia umat Muhammad. Rasulullah telah mengingatkan umur umatnya tidak panjang seperti umat nabi-nabi terdahulu yang mencecah usia ratusan tahun. Rasulullah sendiri wafat ketika usia 63 tahun.

Setiap bernyawa pasti mati.  Allah menjelaskan tentang kematian yang pasti dihadapi oleh setiap yang bernyawa.

Firman Allah dalam surah al-Anbia ayat 34 bermaksud: “Setiap yang bernyawa pasti akan mati.”.  Namun, kematian manusia bukan seperti haiwan dan hidupan lain yang bermakna tamatnya hidup di dunia ini.

Manusia dimatikan untuk dibangkitkan kembali di akhirat dan seterusnya menerima balasan di atas apa yang dilakukan di dunia. Justeru, kehidupan manusia sebagai khalifah di dunia perlu mengikuti apa yang ditetapkan oleh Allah.

Sesungguhnya manusia dicipta untuk memakmurkan dunia dengan menyembah dan beribadat kepada Allah. Firman Allah bermaksud: “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” – (Surah adz-Dzariyat, ayat 56).

Maksud menyembah dan beribadat itu meliputi segenap detik kehidupan. Ia tidak setakat ibadat khusus seperti sembahyang dan haji semata-mata. Sebaliknya, melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang juga dikira amalan menyembah dan beribadat kepada Allah.

Justeru itu setiap apa yang dilakukan dicatatkan di dalam rekod yang dijaga oleh dua malaikat, masing-masing mencatat kebaikan dan keburukan tanpa sebarang kesilapan. 

Firman Allah bermaksud: “Sesiapa yang melakukan kebaikan walaupun sebesar zarah akan tetap diberi pembalasan. Dan barang siapa melakukan kejahatan walaupun sebesar zarah, maka dia juga tetap akan diberi pembalasan.” – (Surah al-Zalzalah, ayat 7 hingga 8).

Adapun, tujuan mengingati kematian merupakan cara terbaik menghisab diri tentang apa yang telah dilakukan sepanjang tempoh hidup ini. Adakah kebaikan lebih banyak dilakukan, ataupun kejahatan memenuhi kehidupan.

Dengan mengingati kematian menjadi ‘pengawas’ kepada diri daripada melakukan kejahatan. Mengingati kematian bermakna kita menyedari tujuan hidup sebenarnya dan ke mana destinasi berikut akan ditujui. 

Justeru itu, dalam menghitung peluang masa masih hidup ini seharuslah dimanfaatkan dengan melakukan segala kebaikan yang termampu.

Pada masa yang sama, jika disedari telah melakukan dosa sama ada secara sengaja maupun tanpa disedari, perlu segera bertaubat atau memohon keampunan daripada Allah. 

Ingat taubat.  Rasulullah mengingatkan umatnya agar sentiasa bertaubat kerana Allah maha menerima taubat. Namun taubat itu ada batasan waktunya.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat hamba-Nya selagi nyawa belum sampai di halkum (yakni sebelum sakarutulmaut).”- (Hadis riwayat Tarmizi).

Sentiasalah mengingati kematian kerana saat kematian tidak mengira usia. Bukan hanya apabila telah melepasi usia tua sahaja baru kematian akan berlaku.

Mati tidak kira usia.  Kematian boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia, tidak kira bayi dalam kandungan, kanak-kanak, remaja dan tambah-tambah lagi orang yang sudah tua.

Sentiasa ingat mati.  Justeru, perlulah setiap insan mengingati hari kematian agar dengan cara itu sentiasa berusaha melipat gandakan amalan kebajikan dan menjauhkan perbuatan ditegah oleh Allah.

Tidak takut mati.  Sesungguhnya orang beriman tidak takut menghadapi saat kematian. Malah kematian itulah peluang untuknya mengadap Allah lebih awal.

Sunday 19 June 2016

Kepentingan dan manfaat zakat

Kepentingan zakat kepada umat Islam tidak dinafikan apabila di dalam al-Quran disebut sebanyak 82 kali berkaitannya. Jelas sekali, ia satu ibadat yang penting. 

Setiap syariat Islam bertujuan mendatangkan kebaikan. Allah SWT tidak mewajibkan sesuatu melainkan ada kebaikan dan pada masa sama menolak perkara buruk. Ini tidak terkecuali dengan pensyariat zakat. Apatah lagi, zakat adalah Rukun Islam, tentunya mempunyai peranan dan kebaikan yang besar. 

Antara faedah diwajibkan zakat ialah menguatkan hubungan persaudaraan, kerjasama, tolong menolong dan kasih sayang melibatkan golongan kaya dengan golongan miskin. 

Sesungguhnya Allah SWT menjadikan manusia berlainan darjat dan kekayaan dengan penuh hikmah. Antaranya adalah untuk mewujudkan kasih sayang dan saling berhubung. 

Ikatan kasih sayang amat dituntu dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tidak sempurna iman seseorang itu sekiranya dia tidak mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Hubungan persaudaraan amat penting dijaga dan dieratkan kerana melaluinya akan menyerlahkan lagi kesempurnaan ajaran Islam. Gambaran itu dapat menarik minat bukan Islam untuk menganut agama Islam.

Perkara ini dapat dilihat bagaimana pengorbanan dilakukan oleh kaum Ansar terhadap kaum Muhajirim ketika peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Sikap tolong menolong dan tidak mementingkan diri sendiri telah membantu terbentuk umat Islam yang kuat dan menarik minat bukan Islam memeluk Islam. 

Pada masa sama zakat mewujudkan budaya suka bersedekah, membelanjakan harta ke jalan Allah dan berkorban harta membantu golongan miskin. 

Allah SWT melebihkan pemberian kekayaan kepada invividu bukan bermakna darjatnya di sisi Allah SWT tinggi. Sebaliknya, Allah SWT tidak memandang kepada kekayaan atau pangkat. Sebaliknya, di sisi Allah SWT yang dipandang terhadap manusia adalah takwanya. 

Maka antara nilaian takwa ialah melalui pematuhan kepada hukum ditetapkan Allah SWT dan Rasulullah SAW. Ini termasuklah mengeluarkan zakat yang mana sanggup membelanjakan harta untuk membantu orang lain. Golongan yang tidak kedekut, bahkan rela membantu sesama Islam, maka mereka itu golongan berjaya. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Oleh itu bertakwalah sedaya upaya kamu, dan dengarlah (pengajaran-Nya) serta taatlah (perintah-Nya), dan belanjalah harta kamu (serta berbuatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi tabiat bakhil, merekalah orang yang berjaya.” (Surah al-Taghabun, ayat 16).

Hasil dari didikan zakat akan mendorong pula sikap suka bersedekah dan membantu sesama Islam biarpun perkara itu bukan wajib dilaksanakan. Pada hakikatnya, zakat, sedekah dan hadiah adalah sama biarpun dari segi hukumnya berbeza. Maksud sama ialah kesemuanya melibatkan pengeluaran harta dimiliki diserahkan atau diberikan kepada pihak lain.