Friday, 1 July 2016

HUKUM RAYA SEBULAN

Aidilfitri adalah hari kemenangan setelah berjaya melawan hawa nafsu sepanjang melaksanakan ibadat puasa Ramadan.  Hari kemenangan itu perlu disambut dengan perasaan gembira, namun dalam batasan syariat.  Pada hari kemenangan itu disunat perbanyakkan istighfar, tasbih dan tahmid, sebaik berakhirnya Ramadan terutama menjelang malam raya sehinggalah ke pagi hari raya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan takbir dan ibadah, tidak dimatikan hatinya pada hari dimatikan segala hati." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Aidilfitri bukan sambutan berdasarkan adat dan kehendak nafsu, sebaliknya satu anugerah yang termasuk dalam ibadat.  Sebab itu, sambutan perlu dilakukan mengikut tuntutan syariat dengan memperbanyakkan kebaikan dan menjauhkan apa yang dilarang. Namun dalam melaksanakan amalan sepanjang merayakan Aidilfitri hendaklah kita mengetahui mana amalan sunah Rasulullah SAW dan mana pula yang menjadi ritual atau adat dalam masyarakat.

Sungguh jauh berbeza antara Aidilfitri yang disambut sebagai ibadat dengan yang hanya berupa adat.  Setiap ibadat adalah mengikut apa disyariat, melakukan kerana Allah SWT dan tidak bercampur dengan perkara maksiat.  Sedangkan adat mengikut kebiasaan yang diamalkan sejak turun temurun dalam masyarakat. 

Pada hari mulia ini masa yang paling baik untuk bermaaf-maafan.  Segala yang keruh dibuang, sebaliknya ambillah yang jernih.  Islam amat mengutamakan amalan memberi kemaafan untuk melahirkan hidup yang sejahtera dan harmoni. Dosa melibatkan sesama manusia hanya terampun jika mendapat kemaafan daripada orang berkaitan.

Hakikatnya, amalan bermaaf-mafaan tidak hanya terhad pada Aidilfitri.  Islam menganjurkan agar kemaafan terus dipinta sekiranya telah melakukan kesalahan.  Kaitan amalan bermaafan pada hari raya sebagai menzahirkan kebersihan diri daripada dosa hasil melaksanakan ibadat puasa. 

Sebenarnya sambutan Aidilfitri hanya pada 1 Syawal.  Pada 2 Syawal dan hari seterusnya sudah dibenarkan berpuasa sunat Syawal dan puasa-puasa sunat lain, termasuk puasa ganti.  Kebiasannya penganut Islam di negara-negara Arab hanya menyambut Aidilfitri pada 1 Syawal, atau jika diteruskan lagi sekadar untuk dua tiga hari.  

Bagaimanapun tidak dilarang untuk terus menyambut atau melakukan acara yang dikaitkan dengan sambutan Aidilfitri selepas tarikh 1 Syawal selagi apa yang dilakukan itu tidak bertentangan syariat.

Namun apa yang ditakuti ialah kecenderungan masyarakat kita beraya sakan sepanjang bulan Syawal.  Malah ada yang mengaitkan sambutan sebulan itu sebagai satu tuntutan agama.  Sekiranya berpuasa sepanjang bulan Ramadan, maka dikatakan sepanjang Syawal pula untuk berhari raya.  Lirik sebuah lagu raya berbunyi 'kita beraya selama sebulan'.

Beraya sepanjang Syawal bukan tuntutan syariat.  Pun amalan itu tidak pula ditegah.  Apa yang diamalkan beraya sebulan dalam masyarakat kita adalah adat.  Oleh itu jangan terkeliru antara adat dan ibadat.  

Adat yang dilakukan untuk kebaikan tidak ditegah, bahkan digalakkan.  Ganjaran pahala bergantung kepada niat ikhlas mencari kebaikan dan keredaan Allah SWT, tetapi mesti tidak bertentangan dengan syariat.

Ibadat dan adat, kedua-duanya dipatuhi dalam masyarakat kita, tetapi sumber hukumnya berbeza.  Ibadat bersumberkan daripada perintah Allah SWT, sementara adat pula bersumberkan kehendak dan kebiasaan dalam masyarakat yang menjadi amalan turun-temurun.

Kejahilan pengetahuan mengenai agama menyebabkan ada ibadat menjadi adat, tidak mendapat apa-apa pahala biarpun dilakukan dengan penuh syaratnya, kecuali niat yang lebih menjurus kepada adat. 

Pun begitu, perlu diketahui ada adat yang menjadi ibadat atau diterima sebagai satu amalan dalam Islam.  Dalam fikah Islam, sesuatu yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat yang tidak bertentangan dengan syariat Islam diterima sebagai sesuatu yang baik baik untuk diamalkan. Ia merupakan salah satu daripada lima kaedah asas dalam al-Qawaid al-Fiqhiyyah.

Untuk diterima sebagai satu amalan yang baik, hendaklah dijauhi atau bercampur dengan perkara haram.  Contohnya, bagi wanita hendaklah mengelak daripada berpakaian yang mendedahkan aurat.  Begitu juga, batasan hubungan antara lelaki dan perempuan juga mesti dijaga agar tidak terlibat perbuatan haram.

Turut perlu diberi penekanan ialah menolak sikap membazir ketika sambutan Aidilfitri.  Jauhkan juga sikap yang ditegah seperti bongkak, sombong, riak dan ingin menunjuk-nunjuk kehebatan yang dimiliki.

Mengadakan rumah terbuka dan amalan ziarah sempena Aidilfitri amat digalakkan.  Hal itu dapat merapatkan hubungan yang renggan akibat pada hari lain semuanya sibuk dengan urusan pekerjaan masing-masing.  Hadirlah rumah terbuka dengan perasaan ikhlas, bukannya dengan harapan agar tuan rumah akan ‘membalas’ datang ke rumah kita pula.

Sambutlah Aidilfitri dengan sederhana.  Islam melarang perbuatan melampau dan membazir.  Bergembira keterlaluan mudah mengundang kelalaian.  Lebih baik kita tumpukan perhatian kepada tugas seharian yang perlu dilakukan untuk kebaikan semua.


Bayangkan jika kita beraya sepanjang Syawal?  Sepatutnya selepas menyambut Aidilfitri secara sederhana, tumpuan yang perlu diberikan ialah kepada urusan kehidupan seharian agar lebih berjaya dan cemerlang.  Sesungguhnya Islam menggalakkan kita agar bersederhana dalam semua perkara.

No comments:

Post a Comment