Friday 15 September 2017

AKIBAT MENJADI HAMBA KEPADA NAFSU

Mengapa manusia sanggup bersifat seperti haiwan untuk memuaskan nafsu? Menjadi hamba nafsu mengamalkan seks bebas. Itu cara hidup alam haiwan yang tidak kenal hukum hakam agama. Mengapa ada suami yang membenarkan isterinya berzina?  

Timbul perasaaan ghairah kepada bukan pasangan sendiri? 
Paling teruk lagi ada suami menjadikan isteri sebagai pelacur untuk mendapat wang? 

Semua perkara ini terjadi disebabkan manusia tidak menggunakan akal. Ketika itu nafsu lebih menguasai diri.  

Kedudukan manusia lebih mulia berbanding makhluk lain kerana dianugerahkan akal dan nafsu.  Akal membimbing nafsu agar tunduk kepada perintah Allah SWT dan takut melakukan perkara yang ditegah.  

Manakala sifat nafsu secara umumnya adalah liar dan sentiasa ingin melakukan perkara keseronokan dan lupa melakukan kebaikan.

Namun, nafsu yang dapat dijinakkan oleh akal akan sentiasa melakukan perkara kebaikan dengan bersungguh-sungguh. Inilah dikatakan nafsu mutmainnah yang melayakkan seseorang masuk ke syurga.  

Nafsu mutmainnah menjadikan seseorang sabar, tawakkal, pemurah, bertolak ansur, mesra, mudah berurusan, memahami masalah orang lain, tawaduk, pemaaf dan lain-lain sifat-sifat terpuji.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai nafsu yang tenang! Kembalilah kepada TuhanMu dalam keadaan redha dan diredhai, masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu.” (Surah al-Fajr, ayat 27)

Sedangkan nafsu ammarah sentiasa mendorong melakukan sifat-sifat keji yang menjijikkan, tamak, dengki, pemarah, sombong, kedekut dan pelbagai keburukan lain. Apa saja perkara yang ditegah, maka perbuatan itulah yang akan dilakukan.

Perkara ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah Yusuf, ayat 53 yang bermaksud: “Sesungguhnya nafsu ammarah itu sangat mengajak kepada kejahatan”

 Kedudukan nafsu ini banyak ditentukan oleh akal. Sesungguhnya akal yang sempurna tentu inginkan kepada perkara kebaikan dan benci melakukan keburukan.    

Banyak ayat al-Quran dan hadis yang menyuruh manusia berfikir sesuai dengan kejadian manusia yang dibekalkan akal. Antara ayat al-Quran menyebut mengenai berfikir ialah firman-Nya bermaksud: “Maka apakah kamu tidak menggunakan akal?” (Surah al-Anam, ayat 32). 

Fitrahnya, akal adalah penentu dalam mencorakkan martabatkan hidup insani dan satu-satunya pembeza mutlak antara manusia dan haiwan.  

Jadi, sesiapa tidak menggunakan kewarasan akal, layaknya dipanggil manusia haiwani, yakni fizikalnya manusia tetapi hidupnya cara haiwan.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan sesungguhnya kami jadikan neraka jahanam kebanyakannya daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan bagi memahami (ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan bagi melihat (tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan bagi mendengar (ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.” (Surah al-Araf, ayat 179)

Kehidupan manusia menjadi rosak dan sama seperti haiwan berpunca akal dan hatinya telah dirosakkan oleh hasutan syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia.  

Kehidupan mengejar kemewahan dan kenikmatan dunia semata-mata menyebabkan diri jauh daripada matlamat asal kejadian manusia yang perlu taat dan patuh kepada perintah Allah SWT. 

Kegunaan halba untuk kesihatan

Halba telah lama digunakan untuk tujuan perubatan. Kegunaan halba antara lain mengaktifkan organ pembiakan. Amalan tabib China menggunakan halba merawat mati pucuk.

Halba antara ubatan tertua di dunia dan digunakan oleh Al-Abqirad (Hippocrates) iaitu bapa perubatan Yunani. 

Untuk memaksimakan penggunaan halba bagi tujuan perubatan, ia boleh dijadikan sebagai teh, yakni halba dipanaskan di dalam air dan diminum. Minum air rebusan halba dan biji halba yang telah lembut itu.

Halba juga boleh dimakan 'mentah' atau dimakan terus, tetapi sedikit keras. Halba juga boleh digoreng tanpa minyak dan disimpan untuk digunakan sedikit-sedikit dengan dicampur air panas.

Memang amat baik diamalkan pengambilan halba setiap hari atau pada masa-masa lain. Harga halba dikira agak murah dan mudah disimpan. Boleh digunakan untuk pelbagai menu masakan dan dijadikan perisa minuman.

Halba kaya dengan serat, protin, karbohidrat, zat besi, mangan dan magnesium

Antara manfaat mengamalkan halba ialah:
- Melancarkan haid
- Menghilangkan kembung, sebu dan senak
- Pencuci perut
- Menguatkan jantung
- Menghilangkan lender tekak
- Melegakan sakit kepala/ migraine
- Membuang angin
- Menyembuhkan buasir
- Senggugut
- Merangsang rahim
- Mengelak kegemukan
- Mengurangkan berat badan
- Mengawal kencing manis
- Radang kulit dan bisul
- Meningkatkan nafsu seksual.
- Tingkat daya kecerdasan otak.
- Tingkat daya kercergasan fizikal.
- Menambah susu badan ibu.
- Menguatkan tulang
- Menurunkan kolestrol.

Cara pengambilan:

Teh halba:
- Dua sudu besar halba.
- Direndam dalam air panas.
- Minum air rendaman (teh halba) itu apabila sejuk.
- Boleh diulang tambah air sehingga tawar.
- Makan halba apabila telah lembut.
- Boleh juga direbus sehingga lembut dan boleh terus makan halba bersama airnya.

Masukkan dalam masakan atau nasi.
- Kuantiti bergantung kepada citarasa.

Serbuk halba.
- Bacuh dalam air suam dan terus minum. 


Kuih akok Kelantan

Kuih akok sejenis kuih tradisional popular di Kelantan. Biasanya dibuat berbentuk bujur, ikut acuan buah bahulu. Akok rasanya manis bertelor. Cara pengandungan dan pembakaran merupakan faktor yang menjadikan sesuatu kuih akok itu sedap. Pada kebiasaannya akok nisan bewarna gelap, sementara akok daun pandan dan akok kemboja bewarna hijau pucat.

Rahsia resepi kuih akok adalah berkait rapat dengan proses penghasilan kuih akok yang memerlukan penggunaan telur yang banyak. Kuih akok yang tawar atau tidak sedap berpunca mempunyai banyak tepung.

Cara pembakaran menggunakan sarang dipanaskan menggunakan sabut kelapa atau arang juga mempengaruhi aroma rasa. 

Akok biasanya dihasilkan bagi jualan harian disebabkan tidak tahan lama, kecuali disimpan di dalam peti sejuk.  

Sunday 5 March 2017

Dakwah bimbing remaja

Masalah sosial remaja semakin kritikal melibatkan amalan jauh menyimpang dari norma kehidupan seorang Islam. Fenomena ini jika tidak diatasi segera akan merosakkan seluruh komiti masyarakat dan mencemarkan nama baik Islam sebagai agama mementingkan pembinaan akhlak dan kehidupan sejahtera.

Banyak pihak sekadar membincangkan permasalahn sosial dihadapi remaja. Malangnya tidak banyak pihak cuba mendekati remaja untuk membawa mereka ke landasan kehidupan yang diredai Allah.

Sekarang ini ramai remaja Islam semakin jauh daripada amalan agama. Kehidupan mereka hanyut dalam dunia melekakan, kebebasan, hiburan dan maksiat. Justeru, mereka mula didedakati oleh pihak ingin menggunakan tenaga remaja untuk merosakkan dan menghancurkan Islam dan negara.

Persoalannya, di manakah mereka yang dipanggil pendakwah.  Apakah pendakwah hanya berkhutbah atau berceramah di masjid dan di surau, menyeru agar manusia tekun melaksanakan ibadat dan suruhan Allah.

Pengertian dakawah ialah mengajak, menyeru, memimpin dan membantu diri sendiri dan orang lain agar bersama-sama menghayati ajaran Islam dengan melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Konsep dakwah sebenrnya amat luas, mencangkupi segenap aspek kehidupan. Sebab itu pendakwah bukan saja di kalangan iman, ustaz dan guru agama semata-mata. Sesiapa saja yang berkemampuan melaksanakan amalan mengajak, menyeru dan membantu merupakan pendakwah.

Sheikh Muhammad al-Ghazali dalam menjelaskan kekeliruan itu mengatakan, ramai melihat tugas dakwah dalam skop lebih sempit. Sedangkan sebenarnya kandungan dakwah meliputi semua kandungan risalah Islamiah yang luas.

Pada hakikatnya dakwah Islamiah bermula dari akidah, ibadat, hinggalah kepada pemerintahan, perundangan, pendidikan, pertahanan, kebudayaan, kesenian, kewangan, komunikasi dan kemasyarakatan.

Dengan kata lain, semua pihak dalam bidang pekerjaan dan aktiviti terlibat secara langsung dalam tugas dakwah, menyeru melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Memahami konsep dakwah sebenarnya, jelas semua individu berperanan menjadi pendakwah.  Sehubungan itu, berusahalah memahami dan menyiapkan diri untuk melaksanakan tugas penting ini.

Firman Allah dalam surah Fushshilat ayat 33 menjelaskan keutamaan melaksanakan tugas dakwah yang bermaksud: “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah serta berbaik-baik dan mengaku aku seorang Muslim.”

Mendekati dan memahami situasi kehidupan remaja merupakan aspek terpenting dalam menyiapkan diri untuk berdakwah di kalangan remaja. Kehidupan remaja merupakan peralihan di alam kanak-kanak kepada alam dewasa.

Setiap remaja melalui tempoh tersebut dalam aspek berbeza. Sebahagian remaja menempuhnya dengan kematangan fikiran hasil didikan, pengaruh persekitaran dan pegangan hidup yang kukuh. Golongan ini mudah menyediakan dan mencapai kematangan fikiran dan tindakan lebih awal berbanding rakan sebaya.

Mereka dapat hidup berdikari dan melaksanakn tugas dengan baik. Ada remaja mampu memikul sebahagian tugas ibu bapa. Bahkan ada remaja mengambil alih tugas ketua keluarga setelah bapa atau kedua-dua ibu bapa meninggal dunia atau menghilangkan diri.

Manakala itu ramai remaja menempuh tempoh tersebut dengan penuh ranjau. Mereka mengambil masa yang panjang untuk menyesuaikan diri. Kemampuan emosi dan kekuatan mental dalam mengharungi pancaroba hidup remaja tidak mantap, sehingga mereka terpesong daripada apa ditetapkan syariat.

Golongan ini perlu didedakati dan didakwah untuk kembali ke landasan kehidupan menuju kebaikan, kejayaan dan diredai Allah.  Sebahagian daripada mereka masih belum terlewat atau hanya baru terdorong melakukan perbuatan sia-sia.

Masalah sosial remaja biasanya menghisap rokok, menagih dadah, lepak, mencuri, menonton atau membaca bahan berunsur lucah, merosak harta benda awam dan sebagainya.

Mereka terlibat dalam kancah tersebut memandangkan tidak ramai orang dewasa untuk memahami dan mengambil berat mengenai mereka. Bapa, ibu dan orang dewasa lebih supaya mengatakan itu dan ini, sedangkan banyak perkara orang dewasa sendiri tidak melakukannya.

Umpamanya, bapa marahkan anak merokok, sedangkan bapa sendiri merokok. Bapa suruh anak remaja yang sudah tamat bersekolah agar berkerja, tetapi bapa sendiri lebih kerap bersembang di kedai kopi dan melakukan kerja-kerja kurang berfaedah.

Suasana hidup keluarga yang kurang kemesraan, krisis rumahtangga, masalah ekonomi dan runtuhnya budi pekerti mudah mendorong remaja mencari jalan hidup sendiri.  Mereka cubamendapatkan ketenangan dan kepuasan hidup di luar rumah bersama-sama rakan sebaya.

Asas paling penting dalam usaha membentuk dan mendakwah remaja melakukan kebaikan ialah contoh dan tauladan. Ibu bapa dan ahli keluarga perlu menjadi contoh kepada remaja. Perkara baik dilakukan dan dikongsikan bersama-sama dengan remaja.  Manakala perkara buruk dijauhkan sama sekali.

Dalam masyarakat pula, orang dewasa perlu lebih mendampingi remaja. Aktiviti kemasyarakatan seperti kerja gotong-royong, bersukan dan riadah diperbanyakkan. Ia bukan saja untuk remaja, tetapi melibatkan seluruh ahli masyarakat.

Dengan keadaan tersebut, remaja akan merasakan diri sendiri sebagai sebahagian daripada komiti masyarakat. Kehidupan mereka terisi dengan pelbagai aktiviti sehingga terhalang daripada melakukan perkara tidak baik.

Apabila mereka sudah berada dalam satu kelompok baik, maka mudahlah untuk mencorakkan mereka ke dalam perkara-perkara yang lebih serius. Mereka perlu didedahkan kepada kepimpinan, semangat petrotik, memahami amalan beragama dan peranan bakal ditempuh apabila berumah tangga.