Sunday 5 March 2017

Dakwah bimbing remaja

Masalah sosial remaja semakin kritikal melibatkan amalan jauh menyimpang dari norma kehidupan seorang Islam. Fenomena ini jika tidak diatasi segera akan merosakkan seluruh komiti masyarakat dan mencemarkan nama baik Islam sebagai agama mementingkan pembinaan akhlak dan kehidupan sejahtera.

Banyak pihak sekadar membincangkan permasalahn sosial dihadapi remaja. Malangnya tidak banyak pihak cuba mendekati remaja untuk membawa mereka ke landasan kehidupan yang diredai Allah.

Sekarang ini ramai remaja Islam semakin jauh daripada amalan agama. Kehidupan mereka hanyut dalam dunia melekakan, kebebasan, hiburan dan maksiat. Justeru, mereka mula didedakati oleh pihak ingin menggunakan tenaga remaja untuk merosakkan dan menghancurkan Islam dan negara.

Persoalannya, di manakah mereka yang dipanggil pendakwah.  Apakah pendakwah hanya berkhutbah atau berceramah di masjid dan di surau, menyeru agar manusia tekun melaksanakan ibadat dan suruhan Allah.

Pengertian dakawah ialah mengajak, menyeru, memimpin dan membantu diri sendiri dan orang lain agar bersama-sama menghayati ajaran Islam dengan melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Konsep dakwah sebenrnya amat luas, mencangkupi segenap aspek kehidupan. Sebab itu pendakwah bukan saja di kalangan iman, ustaz dan guru agama semata-mata. Sesiapa saja yang berkemampuan melaksanakan amalan mengajak, menyeru dan membantu merupakan pendakwah.

Sheikh Muhammad al-Ghazali dalam menjelaskan kekeliruan itu mengatakan, ramai melihat tugas dakwah dalam skop lebih sempit. Sedangkan sebenarnya kandungan dakwah meliputi semua kandungan risalah Islamiah yang luas.

Pada hakikatnya dakwah Islamiah bermula dari akidah, ibadat, hinggalah kepada pemerintahan, perundangan, pendidikan, pertahanan, kebudayaan, kesenian, kewangan, komunikasi dan kemasyarakatan.

Dengan kata lain, semua pihak dalam bidang pekerjaan dan aktiviti terlibat secara langsung dalam tugas dakwah, menyeru melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Memahami konsep dakwah sebenarnya, jelas semua individu berperanan menjadi pendakwah.  Sehubungan itu, berusahalah memahami dan menyiapkan diri untuk melaksanakan tugas penting ini.

Firman Allah dalam surah Fushshilat ayat 33 menjelaskan keutamaan melaksanakan tugas dakwah yang bermaksud: “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah serta berbaik-baik dan mengaku aku seorang Muslim.”

Mendekati dan memahami situasi kehidupan remaja merupakan aspek terpenting dalam menyiapkan diri untuk berdakwah di kalangan remaja. Kehidupan remaja merupakan peralihan di alam kanak-kanak kepada alam dewasa.

Setiap remaja melalui tempoh tersebut dalam aspek berbeza. Sebahagian remaja menempuhnya dengan kematangan fikiran hasil didikan, pengaruh persekitaran dan pegangan hidup yang kukuh. Golongan ini mudah menyediakan dan mencapai kematangan fikiran dan tindakan lebih awal berbanding rakan sebaya.

Mereka dapat hidup berdikari dan melaksanakn tugas dengan baik. Ada remaja mampu memikul sebahagian tugas ibu bapa. Bahkan ada remaja mengambil alih tugas ketua keluarga setelah bapa atau kedua-dua ibu bapa meninggal dunia atau menghilangkan diri.

Manakala itu ramai remaja menempuh tempoh tersebut dengan penuh ranjau. Mereka mengambil masa yang panjang untuk menyesuaikan diri. Kemampuan emosi dan kekuatan mental dalam mengharungi pancaroba hidup remaja tidak mantap, sehingga mereka terpesong daripada apa ditetapkan syariat.

Golongan ini perlu didedakati dan didakwah untuk kembali ke landasan kehidupan menuju kebaikan, kejayaan dan diredai Allah.  Sebahagian daripada mereka masih belum terlewat atau hanya baru terdorong melakukan perbuatan sia-sia.

Masalah sosial remaja biasanya menghisap rokok, menagih dadah, lepak, mencuri, menonton atau membaca bahan berunsur lucah, merosak harta benda awam dan sebagainya.

Mereka terlibat dalam kancah tersebut memandangkan tidak ramai orang dewasa untuk memahami dan mengambil berat mengenai mereka. Bapa, ibu dan orang dewasa lebih supaya mengatakan itu dan ini, sedangkan banyak perkara orang dewasa sendiri tidak melakukannya.

Umpamanya, bapa marahkan anak merokok, sedangkan bapa sendiri merokok. Bapa suruh anak remaja yang sudah tamat bersekolah agar berkerja, tetapi bapa sendiri lebih kerap bersembang di kedai kopi dan melakukan kerja-kerja kurang berfaedah.

Suasana hidup keluarga yang kurang kemesraan, krisis rumahtangga, masalah ekonomi dan runtuhnya budi pekerti mudah mendorong remaja mencari jalan hidup sendiri.  Mereka cubamendapatkan ketenangan dan kepuasan hidup di luar rumah bersama-sama rakan sebaya.

Asas paling penting dalam usaha membentuk dan mendakwah remaja melakukan kebaikan ialah contoh dan tauladan. Ibu bapa dan ahli keluarga perlu menjadi contoh kepada remaja. Perkara baik dilakukan dan dikongsikan bersama-sama dengan remaja.  Manakala perkara buruk dijauhkan sama sekali.

Dalam masyarakat pula, orang dewasa perlu lebih mendampingi remaja. Aktiviti kemasyarakatan seperti kerja gotong-royong, bersukan dan riadah diperbanyakkan. Ia bukan saja untuk remaja, tetapi melibatkan seluruh ahli masyarakat.

Dengan keadaan tersebut, remaja akan merasakan diri sendiri sebagai sebahagian daripada komiti masyarakat. Kehidupan mereka terisi dengan pelbagai aktiviti sehingga terhalang daripada melakukan perkara tidak baik.

Apabila mereka sudah berada dalam satu kelompok baik, maka mudahlah untuk mencorakkan mereka ke dalam perkara-perkara yang lebih serius. Mereka perlu didedahkan kepada kepimpinan, semangat petrotik, memahami amalan beragama dan peranan bakal ditempuh apabila berumah tangga.