Friday 25 May 2018

HAK KEBEBASAN SELARAS FITRAH MANUSIA

Islam merai atau menerima isu kebebasan. Isu kebebasan adalah isu sejagat tanpa sebarang pengecualian dan sempadan tempat serta masa. Sebenarnya Islam daripada awal lagi sudah menegaskan bahawa kebebasan itu selaras dengan fitrah semula jadi manusia. Bahkan, Islam tidak membenarkan unsur paksaan wujud dalam ajarannya yang suci.

Dapat disimpulkan betapa Islam tidak membenarkan paksaan berlaku dalam perkara akidah dan agama. Ini isyarat jelas bahawa Islam mengambil kira kebebasan individu dan masyarakat ramai dalam kebanyakan urusan kehidupan.

Perlu ditegaskan di sini, tiada satu pun agama di dunia yang mengambil berat isu kebebasan melainkan Islam yang mengiktiraf keperluan hidup asasi manusia di muka bumi Allah SWT. Dengan ini, Islam menonjolkan ciri keistimewaan dan keunikannya yang mampu memancarkan sinar kesejahteraan serta kebahagiaan.

Islam memperakui kebebasan individu, kebebasan masyarakat, kebebasan bernegara, kebebasan pendapat, kebebasan pemilikan sebagai pecahan kecil daripada kebebasan lebih asasi iaitu kebebasan beragama atau kebebasan berakidah.

Dalam bab kebebasan beragama, Islam memerintahkan umatnya supaya melaksanakan pendekatan dakwah secara berhikmah dan penuh dengan nasihat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah an-Nahl, ayat 125)

Tidak ada sama sekali unsur paksaan dalam dakwah Islam seperti didakwa orientalis Barat dan musuh Islam. Musuh Islam memandang serong dan negatif terhadap Islam sehingga mereka memutar belitkan fakta mengenai Islam.

Islam disebarkan secara aman dan selamat. Tiada paksaan terhadap sesiapa pun agar menerima Islam. Kerajaan Islam memberi dan menghormati kebebasan beragama kepada setiap rakyatnya.