Wednesday 27 June 2018

BIJAK URUS KEWANGAN KELUARGA PUNCA BAHAGIA

Banyak faktor menyumbang kebahagian hidup berkeluarga. Pengurusan kewangan yang teguh antara aspek perlu diberi perhatian. Keluarga perlu memiliki sumber kewangan mencukupi untuk memenuhi keperluan keluarga.

Sesungguhnya rezeki tidak datang bergolek. Tugas mencari rezeki untuk diri sendiri dan keluarga adalah sebahagian daripada jihad. Allah menyediakan balasan yang setimpal kepada sesiapa melakukan tugas untuk memenuhi keperluan hidupnya.

Usaha mencari rezeki hendaklah dengan cara yang halal bagi memastikan keberkatan hidup. Sesungguhnya mana-mana sumber rezeki yang diperoleh secara tidak halal akan membawanya ke neraka. 

Hadis diriwayatkan oleh Ad-Dailamy bermaksud: “Barangsiapa tidak peduli dari mana ia diperoleh, maka Allah pun tidak akan peduli dari pintu mana akan memasukkan ia ke neraka.”

Dalam hadis lain pula Rasulullah bersabda bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh dari yang haram, maka nerakalah tempat yang layak baginya.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Perbuatan mencuri, pecah amanah, menipu, rasuah dan melakukan kerja yang haram di sisi agama dan undang-undang kerajaan adalah antara cara haram mendapatkan rezeki. 

Berusaha lebih gigih, meningkat prestasi dan kemahiran adalah cara mendapat rezeki lebih banyak bagi memenuhi keperluan keluarga. Usaha itu perlu dilakukan dengan betul dan mengikut tuntutan syariat. 

Setiap rezeki yang diperoleh perlu dibelanjakan kepada tujuan kebaikan. Pengurusan kewangan keluarga yang teratur, berhemah dan bijak perlu dilakukan. 

Keperluan hidup dalam dunia serba memerlukan wang memerlukan sejumlah wang yang banyak disediakan. Jika tidak bijak menguruskan kewangan, individu berpendapatan tinggi pun tidak mampu memenuhinya secara teratur. 

Untuk mengelak krisis kewangan keluarga, amalkan kaedah merancang perbelanjaan keluarga. Berbelanjalah hanya kepada yang betul-betul perlu. Pada masa yang sama berusahalah meningkatkan perolehan rezeki yang halal.

Berbelanja tidak berhemah dan mengikut kehendak nafsu menyebabkan pengurusan kewangan tidak teratur. Keluarga berdepan dengan masalah kewangan untuk memenuhi keperluan yang penting disediakan.

Sistem kapitalis yang mengamalkan konsep bertuhankan kekayaan (wang, harta, jenama dan pemilikan) meletakkan wang sebagai haraki tertinggi. Pepatah mengatakan; ada wang semua boleh jadi adalah manifestasi kuasa wang dalam kehidupan moden.

Sikap berbelanja berlebih-lebihan adalah ditegah sama sekali dalam Islam. Banyak keburukan berlaku akibat sikap tersebut.  

Firman Allah bermaksud: “Dan jangan kamu berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-Anam, ayat 141). 

Berbelanja secara boros adalah sifat syaitan. Syaitan menggalakkan sifat boros untuk melalaikan manusia daripada patuh kepada perintah Allah. Sesiapa menjadi kawan syaitan, maka seluruh hidupnya dikuasai oleh syaitan.   

Firman Allah dalam surah al-Isra, ayat 26-27 bermaksud: “Jangan kamu boros.  Sesungguhnya orang yang boros adalah kawan syaitan.”

Islam mengajar agar berbelanja mengikut kemampuan. Istilah biar papa asal bergaya tidak sesuai digunakan dalam kamus kehidupan Muslim. Ukurlah baju di badan sendiri bagi menentukan kemampuan perbelanjaan.

Mengapakah perlu menunjuk-nunjuk untuk mengelirukan orang lain tentang kemampuan sebenar. Sikap itu mendatangkan keburukan kepada diri dan keluarga kerana lambat laun keadaan sebenar akan diketahui oleh orang lain juga. 

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Muslim bermaksud: “Tiga jenis orang yang Allah tidak mahu berbicara dengan mereka pada hari kiamat dan Allah tidak pula menganggap mereka orang bersih daripada dosa. Malah, Allah tidak mahu melihat mereka. Bahkan mereka akan memperoleh seksaan yang amat pedih. Mereka ialah orang yang berzina, pemerintah yang suka berbohong dan orang miskin yang sombong.”

Mengambil hutang memang tidak ditegah dalam Islam. Tetapi, Islam mengharuskan hutang sebagai satu cara untuk menyelesaikan keperluan hidup yang mendesak. Harus berhutang untuk keperluan asas seperti pakaian, makanan, tempat tinggal, kesihatan dan pendidikan. 

Islam menegah mengambil hutang untuk tujuan bermewah-mewah. Sikap itu jauh menyimpang daripada ajaran Islam yang menganjurkan agar bersederhana dalam perbelanjaan harian.

Rasulullah sentiasa beringat dan berusaha mengelak diri daripada berhutang.  Rasulullah sentiasa berdoa agar tidak berhutang. Doa baginda bermaksud: “Ya Tuhanku! Aku berlindung diri kepadamu dari terlanda hutang dan dalam kekuasaan orang lain.” (Riwayat Abu Daud).

Haram bagi isteri membelanjakan wang tanpa kerelaan suaminya. Sesungguhnya isteri paling baik ialah dapat memberi kegembiraan kepada suami dan bukannya menyusahkan suaminya. 

Sabda Rasulullah yang diriwayatkan Tabrani bermaksud: “Sebaik-baik wanita ialah sesiapa yang dapat mengembirkanmu apabila dilihat. Mentaatimu apabila disuruh. Menjaga dirinya dan hartamu apabila kamu tiada.”

Wang lebih yang dimiliki sepatutnya disimpan untuk kegunaan pada masa terdesak. Beringat dan waspada keperluan masa hadapan adalah satu langkah bijak.    

Sesungguhnya Allah merahmati seseorang yang berusaha mendapatkan rezeki yang baik dan berbelanja dengan sederhana, serta memperuntukkan terlebih dulu sedikit daripada pendapatannya untuk disimpan bagi keperluan masa hadapan.          

Bagi remaja dari keluarga kurang berkemampuan amat perlu mengamalkan sikap berjimat cermat. Wang yang diperoleh daripada ibu bapa atau sumber lain perlu digunakan dengan sebaik mungkin. Mulakan sikap menabung biarpun dalam jumlah yang sedikit.

Sebenarnya, amalan menabung di kalangan pelajar dan remaja banyak dipengaruhi peranan ibu bapa. Ibu bapa pada perlu mengawal perbelanjaan anak dan memberi contoh yang baik mengurusan kewangan peribadi. Pengawalan perbelajaan anak bukan bermakna ibu bapa berkira atau kedekut untuk memberi wang belanja kepada anak, tetapi satu latihan yang memberi kebaikan besar kepada anak. Maka, pelajar dan remaja tidak wajar merungut jika ibu bapa tidak menunaikan sepenuhnya permintaan mereka untuk berbelanja.

Tabiat berbelanja boros dan tidak berhemah memang memberi kesan buruk kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara. Sebab itu, kerajaan mengadakan pelbagai kempen dan dasar untuk menggalakkan pengguna supaya lebih berhemah dalam perbelanjaan seharian. Bukti betapa pentingnya perkara ini, kerajaan menubuhkan pelbagai agensi untuk membantu pengguna dalam perancangan perbelanjaan mereka.

Antaranya, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sebuah agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada April 2006 untuk membantu individu menguasai situasi kewangan mereka dan mencapai ketenangan minda hasil daripada penggunaan kredit secara bijak

Langkah terbaik untuk mengatasi kesan buruk ketidakupayaan menguruskan kewangan ialah mendidik pelajar dan remaja amalan menabung dan berbelanja secara berhemah sejak kecil lagi. Justeru, amalan ini perlu dijadikan antara nilai-nilai murni yang ditanam dan dibudayakan dalam kehidupan seharian pelajar dan remaja.

Bagi remaja dari keluarga kurang berkemampuan amat perlu mengamalkan sikap berjimat cermat. Wang yang diperoleh daripada ibu bapa atau sumber lain perlu digunakan dengan sebaik mungkin. Mulakan sikap menabung biarpun dalam jumlah yang sedikit.

Tanpa menabung, pelajar daripada golongan miskin akan menghadapi masalah jika ingin melanjutkan pelajaran peringkat pengajian tinggi. Kos belajar diinstitusi pengajian tinggi agar mahal dan tidak mampu disediakan oleh golongan miskin. Biarpun pihak kerajaan ada menyediakan bantuan, pinjaman atau biasiswa, di pihak pelajar sendiri perlu menyediakan sejumlah wang yang mencecah beberapa ribu ringgit untuk permulaan pendaftaran dan sepanjang tempoh pengajian.

Permasalahan ini dapat diatasi sekiranya mereka mempunyai tabungan yang telah dikumpul sejak awal lagi. Kaedah ini biasanya dilakukukan di kalangan keluarga bukan Melayu yang telah menyediakan simpanan untuk setiap anak sejak usia kanak-kanak untuk persediaan kos pendidikan tinggi nanti.

Monday 11 June 2018

KENA PAKSA DIRI BUAT IBADAT

Dalam Islam tidak ada paksaan untuk orang yang bukan Islam menganut agama Islam atau menerima akidah Islam. Dengan sebab itu kita dalam Islam beriman, menerima dan meyakini suatu perkara iaitu pertama Islam mendasarkan kepada ilmu pengetahuan, bukan mendasarkan kepada paksaan.

Kedua, keyakinan dan ketiga ialah hatinya reda menerima apa yang dikemukakan kepada dia. Sebab itu kalau kita lihat dalam ayat al-Quran tugas para Nabi SAW terfokus iaitu menyampaikan, mengingatkan dan memberitahu kepada manusia.

Beriman kepada al-Quran satu daripada Rukun Iman. Apabila disebut beriman kepada al-Quran, ia membawa maksud beriman kepada apa sahaja yang ada di dalam al-Quran. Sebab itu Allah SWT mengherdik mereka yang memilih hukum selain al-Quran sehingga mungkin keluar pernyataan-pernyataan yang menyatakan hukum ini ketinggalan zaman dan sebagainya.

Ini kewajipan umat Islam, setiap yang mengaku muslim tidak boleh memilih-milih dan ia sudah berada di dalam kepompong Islam, maka ia terikat dengan apa sahaja peraturan yang ditetapkan oleh Islam.

Bila kita menerima Islam ertinya kita menerima kesemuanya. Jangan terima apa yang kita suka kerana kita manusia dan bukannya Tuhan dan yang mengetahui tentang kita keseluruhannya adalah Allah SWT. Dengan sebab itu, kita harus menerima Islam dengan secara reda, senang, ilmiah dan sebagainya.

Jika ada yang ingkar atau tidak melaksanakan hukum agama, jangan melatah melabelkan mereka dengan gelaran yang buruk. Sebaliknya, serulah agar mereka kembali melakukan tuntutan agama.

Firman Allah SWT: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (Surah an-Nahl, ayat 125).

Janganlah mudah mengkafirkan orang lain disebabkan kita tidak sealiran pendapat dan kefahaman terhadap sesuatu perkara. Adalah ditakuti nanti apa yang kita pegang itulah sebenarnya salah dan pihak yang dikatakan salah itu adalah benar. Perbanyakkan amalan muhasabah dari sebelum menghukum pihak lain bersalah.

Kefahaman seseorang terhadap agama tidak sama. Begitu juga tahap keimanan yang berbeza-beza. Di sinilah pentingnya kita saling menasihati dan mengingatkan agar melakukan perkara kebaikan dan menjauhkan amalan buruk.

Orang alim tidak sepatutnya bermegah dengan keilmuan dan keimanannya. Hati atau keimanan seseorang mudah dibalik-balikkan atau bertukar. Justeru, sentiasalah berdoa agar Allah memelihara dan mengekalkan keimanan kita.

Banyak beramal soleh, akan menguatkan iman kita. Jika kita berterusan dengan amal-amal soleh, Allah akan mencintai kita. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menerangkan bahawa Allah berfirman, “Hamba-Ku sentiasa bertaqarrub kepada-Ku dengan mengerjakan nafilah sehingga Aku mencintainya.” (Sahih Bukhari no. 6137)

Banyak melakukan berbagai macam ibadah bukan hanya membuat baju iman kita makin baru dan cemerlang, tapi juga menyediakan bagi kita begitu banyak pintu untuk masuk syurga.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menafkahi dua istri di jalan Allah, maka dia akan dipanggil dari pintu-pintu syurga: ‘Wahai hamba Allah, ini adalah baik.’ Lalu sesiapa yang menjadi orang yang banyak mendirikan solat, maka dia dipanggil dari pintu solat. Barangsiapa menjadi orang yang banyak berjihad, maka dia dipanggil dari pintu jihad. Barangsiapa menjadi orang yang banyak melakukan puasa, maka dia dipanggil dari pintu ar-rayyan. Barangsiapa menjadi orang yang banyak mengeluarkan sedekah, maka dia dipanggil dari pintu sedekah.“ (Riwayat Bukhari no. 1798)

Mengingati kematian dan kehidupan di akhirat juga satu motivasi untuk melakukan kebaikan. Kita sedar hidup ini tidak selama-lamanya. Akan tiba masanya kita menemui kematian dan seterusnya dibangkitkan di akhirat. Maka, itu mengingati mati satu cara memperkasakan keimanan dan meningkatkan amalan baik.

Rasulullah SAW bersabda: “Dulu aku melarangmu menziarahi kubur, ketahuilah sekarang ziarahilah kubur kerana hal itu boleh melunakan hati, membuat mata menangism mengingatkan hari akhirat, dan janganlah kamu mengucapkan kata-kata yang kotor.”

Rasulullah SAW bersabda: “Banyak-banyaklah mengingati penebas kelazatan-kelazatan, iaitu kematian.” (Tirmidzi no. 230)

Mengingat-ingat mati boleh mendorong kita untuk mengelakkan diri dari berbuat durhaka kepada Allah dan dapat melunakkan hati kita yang keras. Kerana itu Rasulullah menganjurkan kepada kita, “Kunjungilah orang sakit dan iringilah jenazah, niscaya akan mengingatkanmu terhadap hari akhirat.”

Melihat orang sakit yang sedang sakaratul maut sangat memberi bekas. Saat berziarah kubur, bayangkan keadaan orang yang sudah mati. Tubuhnya rosak membusuk. Ulat memakan daging, isi perut, lidah, dan wajah. Tulang-tulang hancur.

Bayangan seperti itu jika membekas di dalam hati, akan membuat kita menyegerakan taubat, membuat hati kita puas dengan apa yang kita miliki, dan tambah rajin beribadah.

Saturday 9 June 2018

GOLONGAN MAHRAM BAGI WANITA

Definisi mahram ialah orang (lelaki ataupun perempuan) yang haram dinikahi (mengikut hukum Islam) kerana hubungan kekeluargaan yang rapat, hu­bungan susuan dan sebagainya (seperti ibu, anak susuan, adik beradik dan sebagainya) - (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Persoalan mahram bukan sahaja berkaitan perkahwinan, tetapi juga dalam soal batasan aurat. Maka, amat penting diketahui tentang siapa yang dianggap sebagai mahram dan bukan mahram bagi menjaga batasan aurat dan hal lain yang berkaitan hukum Islam yang ada kaitan dengannya.

Aurat diambil dari perkataan Arab 'Aurah' yang bererti keaiban. Manakala dalam istilah fiqah pula aurat diertikan sebagai bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan.

Aurat wanita adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Hal ini termasuk ketika berada di rumah bila mana ada lelaki bukan mahram. Menutup aurat bukan sahaja menutup dengan kain atau pakaian, tetapi mesti tidak ketat dan tidak nipis. Juga bukan jenis kain yang 'melekat' pada badan.

SIAPAKAH YANG DIKATAKAN GOLONGAN MAHRAM BAGI WANITA.
1. Bapa sendiri ( bapa kandung).
2. Bapa suami (bapa mertua).
3. Anak lelaki.
4. Anak lelaki suaminya (anak tirinya atau anak isteri lain bagi suaminya sama ada isteri itu masih hidup atau telah bercerai atau meninggal) tetapi bukan anak dari bekas isteri suaminya dengan suami yang lain yang dikahwininya setelah bercerai dengan suaminya.
5. Saudara lelaki (adik atau abang seibu sebapa atau seibu sahaja atau sebapa sahaja).
6. Anak lelaki kepada saudara lelaki (anak saudara).
7. Anak lelaki kepada saudara perempuan (anak saudara).
8. Kanak-kanak lelaki yang bukan mahram yang belum mengerti tentang aurat wanita (belum mumayyiz).
9. Anak lelaki susuan.
10. Bapa susuan.
11. Saudara susuan.
12. Bapa saudara sususan, datuk saudara susuan hingga ke atas, dan anak saudara susuan hingga ke bawah.
13. Menantu lelaki.

MAKA SELAIN YANG DISENARIKAN DI ATAS ADALAH BUKAN MAHRAM BAGI WANITA. 

Berhati-hatilah dalam soal aurat, termasuk berada di dalam rumah.

Saturday 2 June 2018

RUANG KEBEBASAN BERSUARA MENGIKUT PERLEMBAGAAN

Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10 (1) (a) memberi ruang luas kepada hak dan kebebasan bersuara di negara kita sebagai satu kebebasan asasi rakyat Malaysia. Namun, pada masa sama, Perkara 10 di bawah Fasal (2), (3) dan (4) menjelaskan mengenai batasan atau sekatan untuk memastikan kebebasan yang diberikan itu tidak memberi kesan negatif kepada masyarakat secara keseluruhan. 

Kebebasan hakiki memang tidak wujud dalam apa jua keadaan jika melibatkan kepentingan individu dan pihak lain. Tidak ada undang-undang yang membenarkan atas dasar kebebasan untuk melakukan sesuatu tindakan yang boleh mendatangkan keburukan kepada pihak lain. 

Undang-undang negara terdapat akta khusus untuk menangani masalah fitnah iaitu Akta Fitnah 1957. Akta itu membolehkan seeorang dihadapkan ke muka pengadilan sekiranya didapati melakukan perbuatan yang boleh merendahkan diri seseorang pada mata masyarakat; tindakan yang boleh menyebabkan seseorang dicemuh, dihina, dibenci dan dikeji; perlakuan yang boleh merosakkan reputasi dalam jawatan, profesion dan perniagaan seseorang; dan bertujuan merosakkan kredibiliti seseorang.

Jika fitnah itu mengandungi unsur jenayah, tuduhan boleh dikenakan di bawah Seksyen 499 sehingga Seksyen 502 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-dua-duanya sekali.   

Selain itu, mereka yang melakukan perbuatan yang boleh membahayakan keselamatan negara melalui perbuatan menghasut boleh didakwa mengikut kesalahan Akta Hasutan 1948. Di bawah Seksyen 4 (1) (b), jika disabitkan bersalah boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 dan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Biarpun negara mempunyai undang-undang yang tegas untuk menghalang perbuatan yang mendatangkan mudarat kepada negara dan rakyat, pihak yang tidak bertanggungjawab tidak takut melakukan perbuatan itu kerana yakin terdapat ruang-ruang yang dapat digunakan untuk terlepas dairpada tindakan undang-undang. 

Bahkan, mereka mendakwa tindakan pihak berkuasa menahan dan mendakwa penyebar fitnah dan hasutan sebagai bermotifkan politik dan menindas rakyat.  Sikap sedemikian membuktikan penyebar fitnah tidak menghormati undang-undang negara dan sentiasa mencari jalan untuk memberi tekanan kepada pihak kerajaan dengan cara terus mencipta fitnah.  

Sebenarnya apa saja tuduhan tidak berasas yang dilemparkan kepada individu, organisasi dan kerajaan menambahkan lagi krisis jatidiri rakyat yang semakin dikelirukan dengan berita dan dakwaan yang tidak berasaskan kepada fakta. Oleh sebab itu, budaya ini perlu dihentikan bagi memberi ruang untuk rakyat lebih memberi tumpuan kepada soal lebih berfaedah untuk menjayakan program transformasi negara.

FITNAH ALAM SIBER MUDAH TERSEBAR

Fitnah melalui alam siber mudah tersebar kerana bilangan pengguna internet di Malaysia bertambah setiap masa. Pengguna internet di Malaysia mencatatkan lebih 25 juta yang majoritinya terdiri golongan muda. Justeru, fitnah alam siber sukar dibendung.

Jika dulu, perkhidmatan internet hanya boleh digunakan melalui peralatan komputer yang tidak boleh dibawa secara mudah, tetapi kini segala-galanya 'terlalu mudah' apabila terdapat perkhidmatan 3G dan 4G membolehkan penggunaan telefon bimbit dan gajet lain mengakses perkhidmatan internet di mana-mana saja yang ada liputan isyarat. 

Berita dan cerita fitnah, terutama berkaitan dangan politik disebarkan secara meluas di internet sebagai sebahagian bahan kempen politik kerana lebih mudah dan berkesan. Dengan sedikit usaha mencipta fitnah yang dibuat secara bentuk rencana, gambar, carta atau catatan ringkas, ia dapat disebarkan secara meluas melalui blog, laman web dan laman sosial yang menjadi sebahagian cara hidup masyarakat hari ini.

Pihak yang mencipta fitnah terus galak mencipta berita dan dakwaan yang tidak benar kerana masih banyak orang yang mempercayainya. Walaupun banyak fitnah dan pembohongan telah terbukti tidak benar melalui penjelasan dan pembuktian mengenai fakta yang sebenar, masih ramai yang tidak menerima kenyataan, tetapi sebaliknya masih menganggap berita fitnah sebagai benar.

Fitnah dan pembohongan akan terus berlaku selagi pihak yang melakukannya yakin bahawa apa yang dilakukan itu akan dipercayai oleh golongan tertentu yang mudah tertipu dengan propaganda tidak bertanggungjawab.

Banyak pihak yang mempercayai berita fitnah mendakwa ia benar kerana pihak yang difitnah tidak membuat saman di mahkamah. Perlu diingat, tidak semua berita fitnah dapat dibawa ke mahkamah bertujuan menghalang atau menuntut ganti rugi.  

Ini kerana banyak fitnah disebarkan tidak secara jelas mensabitkan berita itu berkaitan individu tertentu, fakta atau tuduhan yang samar dan beberapa masalah teknikal tertentu yang tidak sesuai untuk tindakan mahkamah.

Atas sebab inilah mengapa mereka yang menyebarkan fitnah tidak takut untuk melakukan perbuatan yang amat keji itu. Malah ada pihak yang menjadikan kerja mencipta fitnah ini sebagai satu kerjaya dengan mendapat upah daripada pihak tertentu. Tidak sepatutnya kebebasan yang diamalkan di negara kita disalahgunakan. 

EMPAYAR ISLAM RUNTUH AKIBAT FITNAH

Sejarah dunia banyak mencatatkan mengenai kehancuran kuasa besar berpunca berleluasa fitnah disebarkan dalam masyarakat sehingga berlaku pemberontakan terhadap pemerintah. Rakyat yang percaya dengan berita fitnah berasa marah terhadap pemerintah, lebih-lebih lagi jika berita fitnah itu melibatkan kepentingan dan hak mereka sebagai rakyat. 

Berita fitnah yang disebarkan yang pada hakikatnya tidak benar telah dipercayai sebagai cerita benar. Berita fitnah yang disebarkan adalah berkaitan sesuatu yang tidak baik mengenai seseorang, organisasi mahupun negara.

Secara tuntasnya, berita fitnah akan menyebabkan dua individu, kumpulan atau negara bermusuhan kerana pihak yang difitnah akan bertindak balas melakukan sesuatu yang menjadi hak, mempertahankan diri atau apa yang difikirkan sepatutnya dilakukan.   

Tindakbalas mana-mana pihak tentunya pula akan menyebabkan tindakan sama dari sebelah pihak yang lain. Keadaan menjadi lebih memburukkan lagi apabila fitnah lain pula yang dicipta dan disebarkan. Maka disebabkan itu, lebih banyak lagi kemarahan yang timbul menyebabkan tindak balas menjadi lebih hebat.

Umat Islam wajar mengambil pengajaran bagaimana buruknya kesan fitnah yang berleluasa pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman yang menyebabkan khalifah ketiga itu dibunuh oleh pemberontak. 

Namun, kematian Uthman tidak memberi pengajaran kepada penduduk Madinah ketika itu tentang bahaya fitnah. Sebaliknya, penyebaran berita fitnah terus berlaku sehingga berlaku perpecahan sesama umat Islam yang sekaligus mengembirakan puak yang sengaja ingin melihat umat Islam menjadi lemah.  

Akibat fitnah yang tidak dapat dibendung dan saling menyalahkan antara dua pihak, umat Islam ketika itu telah berpecah dua iaitu kumpulan menyokong Ali dan satu lagi menyebelahi Aisyah. Kemuncak konflik itu menyebabkan berlakunya Perang Jamal yang mengorbankan ribuan umat Islam berbunuhan sesama sendiri.

Fitnah juga yang menjadi punca masalah pentadbiran Bani Umaiyyah dan Bani Abbasiyah sehingga menyebabkan kejatuhan kedua-dua empayar Islam itu. Di alam dunia Melayu, kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka juga tidak terlepas berpunca amalan fitnah yang berlaku di kalangan pemimpin ketika itu disebabkan berebut kuasa, pengaruh dan kekayaan.

Rakyat seharusnya mengambil pengajaran daripada sejarah lampau kerana perkara sama boleh berlaku di negara kita. Sekarang ini budaya fitnah sudah menjadi perkara biasa apabila ia disebarkan dengan meluas melalui kemudahan teknologi maklumat yang sepatutnya digunakan untuk tujuan baik, sudah disalahgunakan menjadi medan untuk menyebarkan fitnah.

PAKAI PAKAIAN PENGANTIN SEMASA PROSES PERCERAIAN

Di Ghana, Afrika, pasangan yang hendak bercerai diwajibkan mengenakan pakaian yang sama dengan yang dikenakan saat mereka menikah dulu di sidang perceraian. 

Jika pasangan yang hadir tidak memakai pakaian yang sama dengan yang dikenakan ketika majlis perkahwinan dahulu, sidang pberbicaraan akan dibatalkan serta-merta. 

Alhasil, 91% dari mereka pada awalnya ingni bercerai membatalkan sendiri niat tersebut. 

Hakim yang sepatutnya membuat keputusan tentang permohonan itu tidak membuat apa-apa keputusan. Pasangan mengambil keputusan sendiri menarik diri atau membatalkan permohonan perceraian

Selalu saja ada kenangan manis pada masa paling pahit sekalipun. Hargai saat-saat itu. Jadikan kenangan manis untuk menghilangkan sedikit keadaan genting dalam melayari rumah tangga.

Hebatnya majis perkahwinan. Satu kenangan terhebat dalam kehidupan. Seluruh alam semesta dicanang tentang majlis gilang gemilang itu. Maka, saat itu perlu dikenang kembali. 

Tentunya moment yang hebat itu ingin diputuskan disebabkan masalah yang sebenarnya boleh diselesaikan.

Friday 1 June 2018

KEISTIMEWAAN RUMPUT NAPIER

Penternak ternakan seperti kambing dan lembu perlu menyediakan makanan untuk haiwan ternakan. Cara jimat menyediakan makanan untuk binatang ternakan ialah menanam rumput napier (Pennisctum purpureum) atau rumput gajah.

Rumput napier merupakan rumput paling sesuai untuk ditanam bagi tujuan makanan haiwan ternakan. Rumbut napier mudah tubuh subur dan besar yang menyediakan kuantiti banyak untuk setiap pokok. Sekali pandang dari jauh, rumput napier seakan-akan pokok jagung. Fizikal yang tinggi dan besar mungkin mengapa ia dipanggil rumput gajah.

Proses menanam rumput napier amat mudah. Dengan menggunakan keratan batang, rumput napier terus ditanam di kawasan yang dipilih. Tumbesaran mengambil masa yang singkat dan tidak memerlukan penjagaan.

Amat elok ditanam oleh penternak untuk menyediakan sumber makanan kepada ternakan dan mengelak ternakan dibiarkan bebas merayau meragut rumput. Rumput napier juga dapat mengurangkan kos penyediaan makan berupa dedak ternakan yang biasa digunakan dalam penternakan secara kandang atau fidlot.

Kandungan zat pemakanan yang terdapat dalam rumput napier memenuhi keperluan pemakanan untuk haiwan ternakan.

Rumput napier sesuai dimesin kecil sebelum diberikan kepada binatang ternakan. Namun, rumput napier tanpa dimesin juga boleh terus diberikan kepada binatang ternakan.

Selain ditanam oleh penternak, ada petani yang mengkomersilkan penanaman rumput napier. Rumput napier ada beberapa varieti yang sesuai dikomersilkan dan diproses menjadi produk makanan haiwan ternakan.

Petani menjadikan penanaman rumput napier untuk memaksimakan penggunaan tanah kerana ia boleh ditanam di antara tanaman lain.

Selain mendapat hasil rumput, tanaman rumput sesuai digunakan dalam usaha memelihara kestabilan tanah dengan cara mencegah daripada hakisan teruk. Ini disebabkan rumpu jenis ini merupakan tumbuhan yang mampu tumbuh dengan cepat sehingga dalam waktu singkat ia mampu meliputi tanah dengan kadar rapat dan tebal.

Selain itu tumbuhan rumput yang ditanam menjadikan bahagian atas daunnya mampu melindungi permukaan tanah dari percikan air hujan dan melambatkan pengaliran air di permukaan. Selain itu pada bahagian bawah tumbuhan atau akarnya  boleh menguatkan struktur tanah dan membantu melancarkan resapan air kedalam tanah.