Saturday 2 June 2018

EMPAYAR ISLAM RUNTUH AKIBAT FITNAH

Sejarah dunia banyak mencatatkan mengenai kehancuran kuasa besar berpunca berleluasa fitnah disebarkan dalam masyarakat sehingga berlaku pemberontakan terhadap pemerintah. Rakyat yang percaya dengan berita fitnah berasa marah terhadap pemerintah, lebih-lebih lagi jika berita fitnah itu melibatkan kepentingan dan hak mereka sebagai rakyat. 

Berita fitnah yang disebarkan yang pada hakikatnya tidak benar telah dipercayai sebagai cerita benar. Berita fitnah yang disebarkan adalah berkaitan sesuatu yang tidak baik mengenai seseorang, organisasi mahupun negara.

Secara tuntasnya, berita fitnah akan menyebabkan dua individu, kumpulan atau negara bermusuhan kerana pihak yang difitnah akan bertindak balas melakukan sesuatu yang menjadi hak, mempertahankan diri atau apa yang difikirkan sepatutnya dilakukan.   

Tindakbalas mana-mana pihak tentunya pula akan menyebabkan tindakan sama dari sebelah pihak yang lain. Keadaan menjadi lebih memburukkan lagi apabila fitnah lain pula yang dicipta dan disebarkan. Maka disebabkan itu, lebih banyak lagi kemarahan yang timbul menyebabkan tindak balas menjadi lebih hebat.

Umat Islam wajar mengambil pengajaran bagaimana buruknya kesan fitnah yang berleluasa pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman yang menyebabkan khalifah ketiga itu dibunuh oleh pemberontak. 

Namun, kematian Uthman tidak memberi pengajaran kepada penduduk Madinah ketika itu tentang bahaya fitnah. Sebaliknya, penyebaran berita fitnah terus berlaku sehingga berlaku perpecahan sesama umat Islam yang sekaligus mengembirakan puak yang sengaja ingin melihat umat Islam menjadi lemah.  

Akibat fitnah yang tidak dapat dibendung dan saling menyalahkan antara dua pihak, umat Islam ketika itu telah berpecah dua iaitu kumpulan menyokong Ali dan satu lagi menyebelahi Aisyah. Kemuncak konflik itu menyebabkan berlakunya Perang Jamal yang mengorbankan ribuan umat Islam berbunuhan sesama sendiri.

Fitnah juga yang menjadi punca masalah pentadbiran Bani Umaiyyah dan Bani Abbasiyah sehingga menyebabkan kejatuhan kedua-dua empayar Islam itu. Di alam dunia Melayu, kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka juga tidak terlepas berpunca amalan fitnah yang berlaku di kalangan pemimpin ketika itu disebabkan berebut kuasa, pengaruh dan kekayaan.

Rakyat seharusnya mengambil pengajaran daripada sejarah lampau kerana perkara sama boleh berlaku di negara kita. Sekarang ini budaya fitnah sudah menjadi perkara biasa apabila ia disebarkan dengan meluas melalui kemudahan teknologi maklumat yang sepatutnya digunakan untuk tujuan baik, sudah disalahgunakan menjadi medan untuk menyebarkan fitnah.

No comments:

Post a Comment