Saturday 2 June 2018

FITNAH ALAM SIBER MUDAH TERSEBAR

Fitnah melalui alam siber mudah tersebar kerana bilangan pengguna internet di Malaysia bertambah setiap masa. Pengguna internet di Malaysia mencatatkan lebih 25 juta yang majoritinya terdiri golongan muda. Justeru, fitnah alam siber sukar dibendung.

Jika dulu, perkhidmatan internet hanya boleh digunakan melalui peralatan komputer yang tidak boleh dibawa secara mudah, tetapi kini segala-galanya 'terlalu mudah' apabila terdapat perkhidmatan 3G dan 4G membolehkan penggunaan telefon bimbit dan gajet lain mengakses perkhidmatan internet di mana-mana saja yang ada liputan isyarat. 

Berita dan cerita fitnah, terutama berkaitan dangan politik disebarkan secara meluas di internet sebagai sebahagian bahan kempen politik kerana lebih mudah dan berkesan. Dengan sedikit usaha mencipta fitnah yang dibuat secara bentuk rencana, gambar, carta atau catatan ringkas, ia dapat disebarkan secara meluas melalui blog, laman web dan laman sosial yang menjadi sebahagian cara hidup masyarakat hari ini.

Pihak yang mencipta fitnah terus galak mencipta berita dan dakwaan yang tidak benar kerana masih banyak orang yang mempercayainya. Walaupun banyak fitnah dan pembohongan telah terbukti tidak benar melalui penjelasan dan pembuktian mengenai fakta yang sebenar, masih ramai yang tidak menerima kenyataan, tetapi sebaliknya masih menganggap berita fitnah sebagai benar.

Fitnah dan pembohongan akan terus berlaku selagi pihak yang melakukannya yakin bahawa apa yang dilakukan itu akan dipercayai oleh golongan tertentu yang mudah tertipu dengan propaganda tidak bertanggungjawab.

Banyak pihak yang mempercayai berita fitnah mendakwa ia benar kerana pihak yang difitnah tidak membuat saman di mahkamah. Perlu diingat, tidak semua berita fitnah dapat dibawa ke mahkamah bertujuan menghalang atau menuntut ganti rugi.  

Ini kerana banyak fitnah disebarkan tidak secara jelas mensabitkan berita itu berkaitan individu tertentu, fakta atau tuduhan yang samar dan beberapa masalah teknikal tertentu yang tidak sesuai untuk tindakan mahkamah.

Atas sebab inilah mengapa mereka yang menyebarkan fitnah tidak takut untuk melakukan perbuatan yang amat keji itu. Malah ada pihak yang menjadikan kerja mencipta fitnah ini sebagai satu kerjaya dengan mendapat upah daripada pihak tertentu. Tidak sepatutnya kebebasan yang diamalkan di negara kita disalahgunakan. 

No comments:

Post a Comment