Wednesday 27 June 2018

BIJAK URUS KEWANGAN KELUARGA PUNCA BAHAGIA

Banyak faktor menyumbang kebahagian hidup berkeluarga. Pengurusan kewangan yang teguh antara aspek perlu diberi perhatian. Keluarga perlu memiliki sumber kewangan mencukupi untuk memenuhi keperluan keluarga.

Sesungguhnya rezeki tidak datang bergolek. Tugas mencari rezeki untuk diri sendiri dan keluarga adalah sebahagian daripada jihad. Allah menyediakan balasan yang setimpal kepada sesiapa melakukan tugas untuk memenuhi keperluan hidupnya.

Usaha mencari rezeki hendaklah dengan cara yang halal bagi memastikan keberkatan hidup. Sesungguhnya mana-mana sumber rezeki yang diperoleh secara tidak halal akan membawanya ke neraka. 

Hadis diriwayatkan oleh Ad-Dailamy bermaksud: “Barangsiapa tidak peduli dari mana ia diperoleh, maka Allah pun tidak akan peduli dari pintu mana akan memasukkan ia ke neraka.”

Dalam hadis lain pula Rasulullah bersabda bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh dari yang haram, maka nerakalah tempat yang layak baginya.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Perbuatan mencuri, pecah amanah, menipu, rasuah dan melakukan kerja yang haram di sisi agama dan undang-undang kerajaan adalah antara cara haram mendapatkan rezeki. 

Berusaha lebih gigih, meningkat prestasi dan kemahiran adalah cara mendapat rezeki lebih banyak bagi memenuhi keperluan keluarga. Usaha itu perlu dilakukan dengan betul dan mengikut tuntutan syariat. 

Setiap rezeki yang diperoleh perlu dibelanjakan kepada tujuan kebaikan. Pengurusan kewangan keluarga yang teratur, berhemah dan bijak perlu dilakukan. 

Keperluan hidup dalam dunia serba memerlukan wang memerlukan sejumlah wang yang banyak disediakan. Jika tidak bijak menguruskan kewangan, individu berpendapatan tinggi pun tidak mampu memenuhinya secara teratur. 

Untuk mengelak krisis kewangan keluarga, amalkan kaedah merancang perbelanjaan keluarga. Berbelanjalah hanya kepada yang betul-betul perlu. Pada masa yang sama berusahalah meningkatkan perolehan rezeki yang halal.

Berbelanja tidak berhemah dan mengikut kehendak nafsu menyebabkan pengurusan kewangan tidak teratur. Keluarga berdepan dengan masalah kewangan untuk memenuhi keperluan yang penting disediakan.

Sistem kapitalis yang mengamalkan konsep bertuhankan kekayaan (wang, harta, jenama dan pemilikan) meletakkan wang sebagai haraki tertinggi. Pepatah mengatakan; ada wang semua boleh jadi adalah manifestasi kuasa wang dalam kehidupan moden.

Sikap berbelanja berlebih-lebihan adalah ditegah sama sekali dalam Islam. Banyak keburukan berlaku akibat sikap tersebut.  

Firman Allah bermaksud: “Dan jangan kamu berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-Anam, ayat 141). 

Berbelanja secara boros adalah sifat syaitan. Syaitan menggalakkan sifat boros untuk melalaikan manusia daripada patuh kepada perintah Allah. Sesiapa menjadi kawan syaitan, maka seluruh hidupnya dikuasai oleh syaitan.   

Firman Allah dalam surah al-Isra, ayat 26-27 bermaksud: “Jangan kamu boros.  Sesungguhnya orang yang boros adalah kawan syaitan.”

Islam mengajar agar berbelanja mengikut kemampuan. Istilah biar papa asal bergaya tidak sesuai digunakan dalam kamus kehidupan Muslim. Ukurlah baju di badan sendiri bagi menentukan kemampuan perbelanjaan.

Mengapakah perlu menunjuk-nunjuk untuk mengelirukan orang lain tentang kemampuan sebenar. Sikap itu mendatangkan keburukan kepada diri dan keluarga kerana lambat laun keadaan sebenar akan diketahui oleh orang lain juga. 

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Muslim bermaksud: “Tiga jenis orang yang Allah tidak mahu berbicara dengan mereka pada hari kiamat dan Allah tidak pula menganggap mereka orang bersih daripada dosa. Malah, Allah tidak mahu melihat mereka. Bahkan mereka akan memperoleh seksaan yang amat pedih. Mereka ialah orang yang berzina, pemerintah yang suka berbohong dan orang miskin yang sombong.”

Mengambil hutang memang tidak ditegah dalam Islam. Tetapi, Islam mengharuskan hutang sebagai satu cara untuk menyelesaikan keperluan hidup yang mendesak. Harus berhutang untuk keperluan asas seperti pakaian, makanan, tempat tinggal, kesihatan dan pendidikan. 

Islam menegah mengambil hutang untuk tujuan bermewah-mewah. Sikap itu jauh menyimpang daripada ajaran Islam yang menganjurkan agar bersederhana dalam perbelanjaan harian.

Rasulullah sentiasa beringat dan berusaha mengelak diri daripada berhutang.  Rasulullah sentiasa berdoa agar tidak berhutang. Doa baginda bermaksud: “Ya Tuhanku! Aku berlindung diri kepadamu dari terlanda hutang dan dalam kekuasaan orang lain.” (Riwayat Abu Daud).

Haram bagi isteri membelanjakan wang tanpa kerelaan suaminya. Sesungguhnya isteri paling baik ialah dapat memberi kegembiraan kepada suami dan bukannya menyusahkan suaminya. 

Sabda Rasulullah yang diriwayatkan Tabrani bermaksud: “Sebaik-baik wanita ialah sesiapa yang dapat mengembirkanmu apabila dilihat. Mentaatimu apabila disuruh. Menjaga dirinya dan hartamu apabila kamu tiada.”

Wang lebih yang dimiliki sepatutnya disimpan untuk kegunaan pada masa terdesak. Beringat dan waspada keperluan masa hadapan adalah satu langkah bijak.    

Sesungguhnya Allah merahmati seseorang yang berusaha mendapatkan rezeki yang baik dan berbelanja dengan sederhana, serta memperuntukkan terlebih dulu sedikit daripada pendapatannya untuk disimpan bagi keperluan masa hadapan.          

Bagi remaja dari keluarga kurang berkemampuan amat perlu mengamalkan sikap berjimat cermat. Wang yang diperoleh daripada ibu bapa atau sumber lain perlu digunakan dengan sebaik mungkin. Mulakan sikap menabung biarpun dalam jumlah yang sedikit.

Sebenarnya, amalan menabung di kalangan pelajar dan remaja banyak dipengaruhi peranan ibu bapa. Ibu bapa pada perlu mengawal perbelanjaan anak dan memberi contoh yang baik mengurusan kewangan peribadi. Pengawalan perbelajaan anak bukan bermakna ibu bapa berkira atau kedekut untuk memberi wang belanja kepada anak, tetapi satu latihan yang memberi kebaikan besar kepada anak. Maka, pelajar dan remaja tidak wajar merungut jika ibu bapa tidak menunaikan sepenuhnya permintaan mereka untuk berbelanja.

Tabiat berbelanja boros dan tidak berhemah memang memberi kesan buruk kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara. Sebab itu, kerajaan mengadakan pelbagai kempen dan dasar untuk menggalakkan pengguna supaya lebih berhemah dalam perbelanjaan seharian. Bukti betapa pentingnya perkara ini, kerajaan menubuhkan pelbagai agensi untuk membantu pengguna dalam perancangan perbelanjaan mereka.

Antaranya, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sebuah agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada April 2006 untuk membantu individu menguasai situasi kewangan mereka dan mencapai ketenangan minda hasil daripada penggunaan kredit secara bijak

Langkah terbaik untuk mengatasi kesan buruk ketidakupayaan menguruskan kewangan ialah mendidik pelajar dan remaja amalan menabung dan berbelanja secara berhemah sejak kecil lagi. Justeru, amalan ini perlu dijadikan antara nilai-nilai murni yang ditanam dan dibudayakan dalam kehidupan seharian pelajar dan remaja.

Bagi remaja dari keluarga kurang berkemampuan amat perlu mengamalkan sikap berjimat cermat. Wang yang diperoleh daripada ibu bapa atau sumber lain perlu digunakan dengan sebaik mungkin. Mulakan sikap menabung biarpun dalam jumlah yang sedikit.

Tanpa menabung, pelajar daripada golongan miskin akan menghadapi masalah jika ingin melanjutkan pelajaran peringkat pengajian tinggi. Kos belajar diinstitusi pengajian tinggi agar mahal dan tidak mampu disediakan oleh golongan miskin. Biarpun pihak kerajaan ada menyediakan bantuan, pinjaman atau biasiswa, di pihak pelajar sendiri perlu menyediakan sejumlah wang yang mencecah beberapa ribu ringgit untuk permulaan pendaftaran dan sepanjang tempoh pengajian.

Permasalahan ini dapat diatasi sekiranya mereka mempunyai tabungan yang telah dikumpul sejak awal lagi. Kaedah ini biasanya dilakukukan di kalangan keluarga bukan Melayu yang telah menyediakan simpanan untuk setiap anak sejak usia kanak-kanak untuk persediaan kos pendidikan tinggi nanti.

1 comment:

  1. Zaman kini, mengurus kewangan satu perkara. Menambah sumber kewangan pun satu perkara juga. Pandai urus keduanya, inshaAllah mampu jadi pemberi zakat yang besar nanti :)

    ReplyDelete