Saturday 21 July 2018

DITEGAH MENCACI SESAMA ISLAM

Dilarang bagi seorang mukmin caci-mencaci apalagi sampai saling bunuh-membunuh sesama saudaranya. Sikap saling mencaci sesama muslim membawa kepada fasik dan apabila sampai membunuh saudara sesama muslim bererti kafirlah dia.

Dari Ibnu Masud, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mencaci-maki orang Islam bererti menyalahi agama (fasik), sedangkan memerangi orang Islam bererti kafir.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Disebutkan dalam hadis lain, dari Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling aku cintai di antara kalian adalah orang yang paling baik budi pekertinya, yang lembut perangainya lagi murah hati iaitu mereka yang ramah lagi simpati.”(Hadis Riwayat Tabrani)

Amat jelas kewajiban seseorang muslim adalah saling mencintai, membantu, bersikap peduli dan juga mengasihi saudara seagamanya. Kisah-kisah para sahabat yang rela berkorban dan berjuang untuk para sahabat yang lainnya, semestinya itu menjadi contoh teladan kepada generasi muslim.

Kemudian daripada itu, agar caci-mencaci sesama umat muslim tidak terjadi atau setidaknya dikurangkan, maka ada beberapa hal yang perlu dilakukan. 

Pertama, memohon kepada Allah SWT agar menghilangkan segala prasangka di hati terhadap sesama muslim lainnya. Kedua, jangan putuskan silaturahim. Ketiga, saling berkirim kabar atau nasihat-menasihati walau hanya melalui alam maya. Keempat, jangan segan untuk bantu-membantu sesama muslim.

Dari Aisyah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa berbuat zalim sekalipun hanya sejengkal tanah, pasti akan dibelenggu hingga tujuh petala bumi.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya, umat Islam tidak boleh menzalimi saudaranya sesama muslim dalam bentuk apapun. Tidak boleh mendiamkan untuk tidak menolongnya jika melihat ia dizalimi. Setiap mukmin diperintahkan saling tolong-menolong.

Muktakhir ini telah merebak di masyarakat amalan perbincangan melalui media sosial dalam pelbagai isu oleh mereka yang dilihat bukanlah tergolong bijak pandai. Mereka tidak menjadikan panduan berbincang yang ditetapkan oleh Islam. Sebab itu, berlaku provokasi dan kenyataan yang keterlaluan hingga boleh mencetusakan perbalahan sesama muslim.

Perbuatan itu bertentangan dengan maksud hadis riwayat Anas bin Malik bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu saling membenci, saling mendengki dan saling bermusuhan, tetapi jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal seorang muslim tidak bertegur sapa saudaranya lebih dari tiga hari.” (Sahih Muslim No 4641)

Cuba fahami maksud hadis: “Barang siapa yang menghunuskan senjata ke arah saudaranya, maka malaikat akan terus mengutuknya sampai ia melepaskannya meskipun dia itu adalah saudara kandungnya sendiri.” (Sahih Muslim No.4741)

Sesungguhnya orang mukmin itu adalah bersaudara, jikalau mereka berselisih damaikanlah, barang siapa yang melepaskan kesulitan orang Islam niscaya Allah SWT akan melepaskan kesulitannya di hari kiamat kelak. Dan kita sebagai orang mukmin janganlah saling menganiaya, menghina dan memojokkan. Dan juga janganlah kita berprasangka buruk terhadap sesama umat Islam.

Setiap muslim harus berusaha semaksima mungkin agar anugerah dari Allah SWT tersebut tetap terjaga dan terpelihara pada diri kita. Di antara usaha yang harus ditempuh agar persaudaraan sesama umat Islam tetap terjaga pada diri kita, maka kita perlu memperhatikan hak-hak dalam ukhuwwah.

Hendaklah dia mencintai saudaranya semata-mata kerana Allah SWT dan bukan kerana tujuan-tujuan duniawi. Jika seseorang mencintai saudaranya kerana Allah SWT, maka kecintaan tersebut akan tetap terjaga. Jika dia melakukannya kerana tujuan duniawi, maka lambat laun kecintaan tersebut akan pupus di tengah jalan.

Menjaga kehormatan dan harga diri saudaranya. Kehormatan seorang muslim terhadap muslim yang lainnya adalah haram secara umum. Untuk itu, jangan menyebutkan aib saudaranya, baik ketika dia hadir di hadapannya maupun ketika tidak ada. Tidak mencampuri urusan pribadinya. Menjaga rahasianya. Menjauhi prasangka buruk terhadap saudaranya. 

Allah SWT telah melarang perbuatan tersebut dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan), kerana sebahagian dari prasangka itu dosa.” (Al-Hujurat, ayat 2)

Menjauhi perdebatan dengan saudaranya. Sesungguhnya perdebatan akan menghilangkan sifat mahabbah (saling mencintai) dan persahabatan. Dan akan  mewariskan kemarahan, dendam dan pemutusan persaudaraan. Maka meninggalkan sikap perdebatan merupakan tindakan yang terpuji.

Hendaklah kita selalu mengucapkan kalimah-kalimah yang baik kepada sesama Islam. Hendaklah sentiasa memaafkan atas kesalahan-kesalahan yang diperbuat oleh saudara kita. Sesungguhnya setiap orang pasti memiliki kesalahan.

Cara lain untuk menhubungkan silatulrahim ialah berasa gembira dengan kenikmatan yang Allah SWT berikan kepada saudara kita. Allah SWT telah memberikan keutamaan dan kelebihan yang berbeza-beza pada  setiap  orang. Baik dalam hal kepemilikan harta, keilmuan, banyak melakukan amalan-amalan ibadah, kebaikan akhlaknya dan lain sebagainya.

Kita patut merasa gembira dengan nikmat Allah yang diberikan kepada saudara kita baik dari sisi harta, ilmu, semangat dalam beribadah, dan lain-lain. Kita harus menghilangkan sifat hasad dengki terhadap keutamaan yang diberikan oleh Allah kepada saudara kita.

Hendaklah juga kita saling membantu dengan saudara dalam perkara-perkara kebaikan.  Sungguh Allah SWT telah memerintahkan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kalian dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.” (Surah Al-Maidah, ayat  2)

Maka kita memohon kepada Allah agar menjadikan kita semua termasuk dari orang-orang yang saling tolong-menolong dalam kebaikan dan ketakwaan, saling nasihat-menasihati dalam kebenaran dan kesabaran, serta menjadikan persaudaraan kita semata-mata kerana mengharap reda-Nya. Dan semoga Allah SWT memberikan taufik-Nya kepada kita, kerana sesungguhnya tidak ada daya dan upaya pada diri kita, kecuali kekuatan dari Allah SWT.

Wednesday 18 July 2018

TREND WANITA MEROKOK

Bilangan wanita yang merokok semakin meningkat. Fenomina ini agak menyedihkan, terutama ketika kerajaan mengadakan kempen anti merokok kepada golongan sasaran iaitu remaja dan orang dewasa lelaki, golongan wanita yang merokok dulunya begitu asing, kini seperti sudah jadi satu kebiasaan, terutama mereka yang tinggal di kota raya.
 
Amat menyedihkan remaja perempuan yang cantik, anggun dan menarik, sayangnya mereka menjadi perokok yang secara langsung merosakkan imej mereka. Mereka tidak ambil kisah merokok dan tidak merasa janggal atau malu biarpun melakukan di khalayak ramai.

Persoalannya, mengapa remaja perempuan masih memilih untuk merokok sedangkan mereka sedia maklum kesan buruk merokok. Bahkan, jika ditanya keburukan itu, mereka dapat menyebut dan memperincikan setiap keburukan itu.

Biarpun nyata trend merokok di kalangan wanita kini menjadi lumrah, ia tidak wajar dibiarkan terus menjadi satu budaya. Kita bukan saja tidak mahu melihat remaja perempuan merokok, bahkan sepatutnya tidak ada seorang pun di negara kita yang merokok.  

Kebanyakan remaja perempuan yang merokok mengakui punca merokok hanya sekadar untuk melepaskan perasaan sedih dan tertekan ketika tidak mempunyai sesiapa untuk mengadu masalah.

Remaja perempuan biasanya tidak ketagih rokok seperti remaja lelaki, tetapi merokok apabila berada bersama-sama rakan yang merokok dan untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

Terdapat juga remaja perempuan merokok untuk menambah keyakinan diri dan meletakkan mereka setaraf dengan remaja lelaki yang berani melakukan perbuatan yang ditegah oleh ibu bapa. 

Remaja perempuan yang merokok sebenarnya tidak menghargai kehidupan mereka. Rokok tidak baik dan memburukkan kesihatan yang menyebabkan kulit mudah menjadi kering, tekak sentiasa berasa haus dan bibir kering. Remaja perempuan yang merokok akan hilang nilai-nilai kewanitaan yang secara langsung tidak lagi menarik di mata lelaki.

Remaja perempuan yang merokok melanggar tatasusila sebagai wanita. Perbuatan itu mesti ditegah dan elok jika mereka dipulau dikalangan wanita kerana telah mencemarkan imej wanita secara keseluruhannya.

Monday 16 July 2018

BERAZAM BERUBAH MELAKUKAN KEBAIKAN

Yusof Qaradhawi berkata: “Mensia-siakan waktu, walaupun hanya sedetik sekalipun, sama halnya dengan mensia-siakan kehidupan. Bagi seseorang Muslim sedetik saja dia tidak dapat memanfaatkan waktunya, maka akan kehilangan sebahagian daripada kehidupannya.”

Ungkapan itu jelas menunjukkan kepada kita betapa perlunya setiap individu meningkatkan usaha dan nilai kehidupan setiap masa, sehari demi sehari dan setahun demi setahun sehinggalah meninggal dunia. Setiap detik kehidupan memerlukan hijrah atau perubahan ke arah kebaikan yang tidak terhenti-henti.

Masa untuk berubah tidak kira waktu. Setiap perkara buruk perlu digantikan kebaikan dengan segera. Mana yang baik dikekalkan atau ditambahkan lagi.  Inilah yang dimaksudkan hijrah perlu dilakukan sepanjang masa. Jika kita bertangguh bermakna akan ada kebaikan yang dicapai berkurangan berbanding sepatutnya atau keburukan akan terus berlaku hingga menambahkan lagi kerugian.    

Namun begitu, kita tentu lebih teruja untuk melakukan perubahan setiap kali masuk tahun baru. Mungkin perubahan itu melibatkan sesuatu azam yang lebih besar dan khusus. Perkara ini tidak salah sekiranya untuk tujuan kebaikan. Menjadikan sambutan tahun baru atau awal tahun sebagai pencetus semangat memang digalakkan.

Sesungguhnya, kita harus menerima hakikat bahawa kita telah memasuki satu tempoh masa baru yang memerlukan semangat, iltizam dan cita-cita untuk menghadapinya. Hanya orang yang tabah dapat menghadapi setiap cabaran hidup dengan baik. Hidup adalah perlumbaan untuk merebut peluang yang ada yang akan dimenangi oleh individu yang pantas dan bijak merebutnya.

Setiap individu tidak seharusnya mempersiakan masa yang menjadi nadi kehidupan. Masa mendatang adalah cabaran kepada kehidupan. Kejayaan hanya dikecapi sekiranya dilakukan dengan bersungguh dan sanggup berkorban. Tidak ada kejayaan datang dengan mudah. Seperti kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang.

Semua yang kita harapkan perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Malah kita mesti sanggup berkorban jika inginkan kejayaan yang lebih gemilang. Pengorbanan itu dalam segi masa, tenaga, kewangan dan sebagainya.    

Setiap tahun berlalu kita merasakan umur semakin bertambah. Hakikatnya yang bertambah hanyalah kiraan bilangan tahun telah kita hidup, sedangkan umur kita sebenarnya semakin berkurang.

Renungkan kata-kata Imam Hasan al-Bashri tentang apa yang ‘kurang’ terhadap diri kita setiap detik masa berlalu. Katanya: “Hai anak cucu Adam, sesungguhnya engkau adalah kumpulan daripada hari-harimu. Maka, setiap kali hari itu berlalu, maka berlalu juga sebahagianmu.”

Dengan kata lain, kita perlu fikirkan apa yang telah berkurangan dengan bertambahnya masa hidup yang telah ditempuh. Jika kita lalai, maka masa itu berlalu begitu saja. Masa tidak pernah meningatkan kita bahawa telah banyak masa dilepaskan pergi setiap masa. Kita tidak akan perasan masa telah berlalu melainkan setelah sedar apa yang gagal dilakukan pada masa lalu yang memberi kesan rugi kepada kita.

Fikirkan apa akan dilakukan pada masa hadapan. Jangan takut untuk berfikir melakukan perkara hebat dan besar. Individu yang berjaya bermula dengan cara berfikir yang positif. Tetapkan satu matlamat kejayaan besar dalam tempoh tertentu. Jangan sekali-kali malu untuk bercita-cita besar kerana takut dikatakan ’Angan-angan Mat Jenin’.

Kita jangan peduli apa orang kata. Apa yang penting kita melakukan dengan perancangan dan azam yang betul. Memang kita akan ditertawakan jika apa yang ingin dilakukan itu tidak dibuat bersungguh-sungguh kemudiannya. Maksudnya, apa yang diimpikan itu mesti diusahakan seperti mana yang sepatutnya. Baru orang lain tidak akan mengelarkan kita sebagai Mat Jenin.  

Thursday 12 July 2018

MENCARI ERTI PERSAUDARAAN

Seluruh dunia akan terasa sempit
Jika hidup tanpa toleransi
Jika hidup tanpa kasih saying
Jika hidup penuh dengki
Namun jika hidup dengan perasaan cinta
Miski bumi sempit kita akan rasa bahagia
Suburkan rasa cinta dan kasih saying
Sebarkan salam dengan hati suci
Campakkan keikhlasan dari lubuk persaudaraan
Wajah berseri manis menyakinkan
Bina perilaku dan peradaban
Hiasi hidup dengan rasa hormat

Inilah Islam agama perdamaian
Inilah Islam agama persaudaraan
Inilah Islam agama dari Maha Pencipta

Monday 9 July 2018

HAK WANITA KE ATAS MAS KAHWIN

Dalam setiap perkahwinan wajib ada mas kahwin. Mas kahwin adalah sesuatu yang bernilai yang diberikan oleh suami kepada isteri dikira sebagai hadiah. Pemberian mas kahwin wajib disebabkan nikah yang sah ataupun bersetubuh. Mas kahwin diberikan sebagai tanda memuliakan kaum wanita. 

Mas kahwin atas dasar nikah yang sah ialah pernikahan yang berterusan sah. Jadi pembayaran mas kahwin wajib disebabkan akadnya. 

Sekiranya pasangan itu bercerai, walaupun sebelum bersetubuh, maka mas kahwin masih perlu dijelaskan, tetapi sekadar separuh daripada jumlah yang disebutkan ketika akad atau yang ditetapkan.  

Firman Allah bermaksud: “Andainya kamu ceraikan isteri-isterimu sebelum kamu bercampur dengan mereka, pasahal sesungguhnya kamu sudah tentukan maharnya, maka byarlah satu perdua daripada mahar yang kamu tentukan.” (Surah al-Baqarah, ayat 237).

Mas kahwin atas dasar bersetubuh pula ialah perkahwinan yang fasid (atas sebab tidak sah yang hanya diketahui selepas perkahwinan). Mas kahwin itu tidak wajib disebabkan akad, tetapi kerana bersetubuh. Dengan kata lain, jika perkahwinan itu rosak dan kedua-duanya belum bersetubuh, maka tidaklah wajib mas kahwin itu dijelaskan.

Perintah memberi mas kahwin dalam perkahwinan dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian dengan penuh rela. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu yang sedap lagi baik akibatnya” (Surah an-Nisa, ayat 4).

Mas kahwin tidak ditetapkan jenisnya dan jumlah nilaian, asalkan sesuatu yang wujud dan ada nilainya. Pemberian itu hendaklah sempurna (sepenuhnya dan pada masa ditetapkan) dan diberikan secara ikhlas.

Firman Allah dalam surah an-Nisa, ayat 24 bermaksud: “Maka isteri-isteri yang telah kamu campuri antara mereka, berilah kepada mereka mas kahwin dengan sempurna sebagai sesuatu kewajipan.”

Mas kahwin wajib disediakan oleh lelaki biarpun sekadar satu barang yang murah harganya. Sabda Rasulullah bermaksud: “Jadikan mas kahwin sekalipun dengan sebentuk cincin daripada besi.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebentuk cincin besi tentulah amat murah harganya. Tetapi itulah perintah daripada Rasulullah agar memberatkan soal mas kahwin, yang wajib disediakan walaupun dalam nilaian amat rendah. Penyerahan mas kahwin boleh dilakukan secara tunai atau hutang.

Diharamkan menggunakan sumber atau barang diperoleh secara haram sebagai mas kahwin seperti harta riba, barang dicuri, samar-samar sifatnya, dan belum wujud.

Mas kahwin boleh juga terdiri faedah daripada penggunaan sesuatu barang, nilai sewaan, mengajar al-Quran atau ilmu yang bermanfaat. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Kalau sekiranya seseorang pemuda memberi makanan sepenuh kedua tangannya saja untuk mas kahwin seseorang wanita, sesungguhnya wanita itu halal baginya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Hakikatnya, mas kahwin adalah simbol permulaan tanggungjawab seorang suami kepada isteri. Kemudian, menyusul tanggungjawab yang lebih berat terpaksa dipikul oleh suami.  

Jika mas kahwin tidak dibayar oleh pihak suami, isteri berhak tidak tergesa-gesa menyerahkan dirinya. Dari Ibnu Abbas menceritakan ketika Saidina Ali menikahi Fatimah dan bersedia untuk bersetubuh, lantas Rasulullah menegahnya sebelum dijelaskan mas kahwin (dengan diberikan sesuatu). 

Saidina Ali memberitahu dia tidak mempunyai apa-apa yang boleh diserahkan.  Lantas, Rasulullah bersabda: “Berikan baju perangmu itu.” Setelah Saidina Ali menyerahkannya kepada Fatimah, baru dibenarkan kedua-duanya sebagaimana lazim suami isteri.  (Riwayat Abu Daud).

Antara mas kahwin dan hantaran adalah dua perkara yang berbeza. Mas kahwin adalah wajib, sedangkan hantaran adalah hadiah yang hanya harus hukumnya. Mas kahwin ditetapkan jumlahnya dan biasanya disebut ketika akad nikah. Namun, sah nikah sekiranya mas kahwin tidak disebut ketika akad nikah. 

Di negara kita terdapat perbezaan maksud mas kahwin, hantaran dan belanja hangus dalam urusan perkahwinan mengikut amalan di setiap negeri. Ada yang menyebut mas kahwin dan hantaran sebagai satu. 

Ada amalan di sesetengah negeri yang mana jumlah mas kahwin disebut semasa akad nikah. Biasanya jumlah itu ditetapkan oleh keluarga perempuan, contohnya RM5,000. Mas kahwin itu turut bermaksud hantaran. Jumlah ini menjadi milik pengantin perempuan sebagai mas kahwin. 

Manakala hantaran ialah barang-barang yang dibawa ketika rombongan keluarga lelaki bertandang ke rumah keluarga perempuan semasa kenduri. Belanja kenduri dan persiapan perkahwinan ditanggung sepenuhnya oleh keluarga perempuan mengikut kemampuan.  

Sunday 8 July 2018

DISEBUT JANGAN DIKENANG JANGAN

Biarpun banyak kebaikan yang telah dilakukan dan manfaatnya dinikmati oleh orang ramai, namun perkara yang buruk nan satu itulah yang disebut-sebut dan diulang-ulang. Sama seperti panas setahun hanya dilupakan kebaikannya disebabkan hujan sehari. Manusia mudah lupa tentang kebaikan orang lain, tetapi selalu ingat satu keburukan yang dilakukan insan mulia itu.

Lalu, biarpun ada keburukan dan kejahatan besar yang dilakukan diri sendiri atau kumpulan yang disukainya, ia akan hilang begitu sahaja. Dia dianggap seperti tidak pernah melakukan perkara buruk. Janji yang tidak ditepati dianggap sekadar satu jenaka kehidupan. Bahkan dikira satu perbuatan ‘salah’ jika menunaikan janji. Keburukan diri sendiri dilontarkan kononnya orang lain yang punca perkara itu.   

Biarlah kisah indah itu berlalu pergi. Lupakan kebaikan yang telah dilakukan, tetapi jangan pula kebaikan itu dijadikan perkara untuk diumpat dan dikeji. Manusia apakah ini yang menjadikan kebaikan ditukar menjadi perkara paling hina di sisi mereka.

Sesungguhnya, hanya Allah yang mengetahui segala-galanya. Allah tidak perlu mendapat ‘nasihat’ manusia untuk menentukan kebaikan yang telah dilakukan oleh seseorang.

DISEBUT JANGAN DIKENANG JANGAN – RAFEAH BUANG

Sebutir embun menitis
Seribu kuntum mengembang
Sepatah aku berjanji
Kau sebut kau ulang-ulang

Mencurah hujan membatu
Meresap ditelan bumi
Segala sumpah janji mu
Tak satu yang kau tepati

(korus)
Tiada ku duga
Tiada ungkitan
Bagi mu tuan
Ku rela dilupakan
Ku diumpat jangan
Dikenang jangan

Berlalu kisah di taman
Bak mimpi diganggu siang
Disebut diingat jangan
Tak guna dikenang-kenang

Berlalu kisah di taman
Bak mimpi diganggu siang
Disebut diingat jangan
Tak guna dikenang-kenang


https://www.youtube.com/watch?v=67Gz6QqjNn0

Thursday 5 July 2018

JADI MANGSA ROGOL KENALAN BARU MEDIA SOSIAL

Kes dirogol kawan dikenali di media sosial kerap dilaporkan. Mereka menjadi mangsa pada kali pertama pertemuan. Tentu sekali perkara itu telah dirancang oleh pelaku dan ada modus operandi dilakukan untuk menjayakan.

Ambil satu contoh kes seorang remaja perempuan berusia 19 tahun menjadi mangsa rogol secara bergilir-gilir oleh tiga lelaki yang juga kenalan di aplikasi WeChat.  Berdasarkan keterangan, mangsa baru mengenali seorang daripada suspek melalui WeChat dan kes berlaku ketika mereka kali pertama bertemu.

Remaja berkenaan mendakwa mengenali seorang suspek melalui aplikasi WeChat dan kali pertama keluar dari rumah dijemput kenalan itu bersama seorang lagi suspek pada jam 12 tengah malam dengan alasan untuk lepak di Ipoh.

Tentu sekali sepanjang perkenalan itu, suspek telah ‘mengenali’ sikap mangsa dalam hal tertentu. Suspek boleh membuat jangkaan terhadap sikap mangsa dalam hubungan sosial.

Dalam kes itu, amat janggal sebenarnya remaja perempuan berusia 19 tahun bersedia untuk keluar dengan teman yang baru dikenali pada pukul 12 malam. Suspek boleh menilai peluang dan kebarangkalian untuk melakukan sesuatu terhadap mangsa.

Sikap remaja perempuan itu memang menempah bala dan tidak berhati-hati untuk menjaga kehormatan diri. Bukan membuat tuduhan, tetapi rasanya sikap keluar malam telah kerap dilakukan oleh remaja perempuan itu dengan rakan-rakan lain.

Sikap keluar malam terutama sehingga larut malam memang membahayakan terutama di kalangan ramaja perempuan. Pada waktu malam, macam-macam perkara buruk boleh berlaku.

Ibu bapa perlu mengawal pergerakan anak mereka pada waktu malam, tidak kira lelaki atau perempuan. Namun, tentu sukar untuk menghalang sepenuhnya anak keluar pada waktu malam. Kawalan yang boleh dilakukan ialah tetapkan waktu anak perlu pulang. Jangan biarkan pulang lewat malam. Pulang pukul 12 malam sudah dianggap terlalu lewat.