Thursday 31 October 2019

PERKISAHAN SEJARAH PATANI


Selalunya akan timbul kesulitan bila membicarakan sejarah Patani.

Contohnya Phya Taksin dikatakan terlibat dalam serangan pada tahun 1785 dan ketika itu Long Nuh masih hidup.

Versi lain menyatakan Phya Taksin (King Taksin The Great) dihukum mati oleh Phraya Chakri kerana "penyakit mental". Tetapi tetapi ada pula versi menyatakan Phraya Chakri telah berkahwin dengan salah seorang putri Phya Taksin.

Ada versi menyatakan bahawa Phya Taksin disembunyikan di Nakhon Sri Thammarat dan meninggal 1825 pada usia 91.

Ada versi menyatakan Long Nuh mangkat pada tahun 1771 dan semasa serangan Putera Surasi dan Phraya Senaphutan ke atas Pattani 1785, Sultan Muhammad telah mangkat syahid.

Malah ada versi yang menyatakan Sultan Muhammad tidak mangkat dalam pertempuran berkenaan.

Pada pandangan peribadi saya, dari versi saya terima selama ini, Phya Taksin telah lama menjadi ejen untuk mencari rahsia di Patani sebelum dan semasa dalam persembunyian di Nakhon Sri Thammarat.

Dia sememangnya bermusuh dengan Raja Ligor dan sentiasa mengancam untuk menyerang Patani. Satu versi menyatakan salah seorang anak Raja Ligor telah dijadikan gundek Phya Taksin.

Perkara Phya Taksin membuat risikan ke atas kekuatan Patani ini telah lama dihidu oleh Long Nuh dan telah memberikan amaran awal kepada anakanda-anakandanya.

Sama ada semasa serangan 1785, (sama ada) Long Nuh masih hidup atau serangan ini berlaku pada zaman Sultan Muhammad, itu saya serahkan pada Allah SWT.

Jangan terkejut ada versi yang tidak memasukkan Raja Bakar dan Tengku Lamidin dalam versi mereka atau silsilah mereka. Itu adalah versi masing-masing.

Cuma pada hemat saya semasa mengkaji sejarah Patani dalam tempoh yang agak lama, sememangnya wujud konspirasi meminda fakta sejarah salah satunya ialah meminda tahun-tahunnya - ini selalu dilakukan oleh pihak yang menang.

Cuma satu fakta yang konsistan, serangan ke atas Patani benar-benar berlaku dan mereka yang berundur ke Kelantan dan lain-lain negeri termasuk Kedah, Perak dan Terengganu/Pahang adalah benar.

Disalin dan ditampal dari FB Nik Zafri 

Monday 28 October 2019

PENGORBANAN CINTA ZAINAB PUTERI RASULULLAH

Kisah Zainab binti Muhammad adalah contoh terbaik dalam memperkatakan kesetiaan seorang isteri, keikhlasan cinta dan ketulusan iman. 

Zainab merupakan puteri sulung Nabi Muhammad dan Khadijah binti Khuwailid. Zainab diputerikan dua tahun selepas perkahwinan ibu bapanya.

Kelahiran Zainab memberikan kegembiraan yang tidak terhingga kepada ibu bapanya walaupun masyarakat jahiliah ketika itu tidak menyukai anak perempuan.

Zainab menjadi remaja yang tertib hasil didikan orang tuanya. Ibu saudara Zainab, Halah binti Khuwailid, telah melamar gadis itu untuk puteranya, Abu al-Ash bin Rabi.

Perkahwinan Zainab dilangsungkan meriah dan ibunya memberikan seutas kalung sebagai hadiah perkahwinan. Pasangan ini dianggap ideal dan mereka hidup aman bahagia.

Ketika Muhammad berusia 40 tahun, baginda diangkat sebagai Rasulullah. Zainab antara orang yang terawal mengikut jejak langkah bapanya menerima Islam. Bagaimanapun Abu al-Ash enggan memeluk Islam dengan pelbagai alasan.

Sebagai isteri, Zainab tidak dapat berbuat apa-apa tetapi dia masih tinggal serumah dengan suaminya. Lagipun ketika itu belum ada wahyu yang melarang suami isteri yang tidak seagama tinggal serumah. 

Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, Zainab tidak turut serta kerana masih setia kepada suaminya.

Perang Badar meletus pada tahun ke-2 Hijrah. Kaum musyrikin kalah teruk dalam pertempuran itu dan ramai yang menjadi tawanan di Madinah.

Salah seorangnya adalah Abu al-Ash, suami Zainab, menantu Rasulullah SAW. Ketika mendengar suaminya menjadi tawanan bapanya di Madinah, Zainab telah mengirimkan kalung hadiah ibunya sebagai bayaran tebusan suaminya.

Menitis air mata Rasulullah SAW kerana baginda mengenali pemilik kalung itu dan memahami cinta Zainab terhadap suaminya.

Kaum muslimin bersetuju memulangkan kalung itu kepada Zainab dan membebaskan Abu al-Ash tanpa tebusan.

Kepulangan suaminya disambut gembira. Bagaimanapun dia amat terkejut apabila Abu al-Ash menceraikannya.

Abu al-Ash memberitahu perceraian itu atas arahan Rasulullah SAW berikutan turun wahyu yang melarang suami isteri tinggal bersama selepas salah seorangnya memeluk Islam.

Kerana itu Abu al-Ash mesti menceraikan Zainab dan memulangkan isterinya kepada bapanya di Madinah.

Kedua-dua suami isteri ini tidak dapat menahan kesedihan masing-masing apatah lagi kerana Zainab sedang hamil empat bulan. Abu al-Ash tidak tergamak untuk mengiringi Zainab keluar Mekah, lantas mengamanahkan adiknya Kinanah menghantar Zainab ke sana. Dia berpesan supaya melindungi Zainab dan mempertahankan wanita itu dengan nyawa.

Sementara di luar kota Mekah, Zaid bin Harisah dan seorang lelaki Ansar menjadi wakil Rasulullah SAW untuk membawa puteri baginda ke Madinah.

Kaum kafir Quraisy mendapat tahu mengenai keberangkatan itu. Mereka keluar mencari Zainab dan bertembung dengannya di Dzi Thuwa. Untanya ditombak menyebabkan Zainab terjatuh dan mengalami keguguran.

Abu Sufyan yang turut serta dalam kumpulan lelaki Quraisy itu memberitahu Kinanah bahawa tindakannya membawa Zainab keluar pada waktu siang adalah tidak tepat kerana ia akan menambahkan lagi malu mereka selepas kekalahan Perang Badar.

Zainab pun dibawa balik ke Mekah untuk dirawat dan diserahkan kepada wakil Rasulullah SAW pada sebelah malam.

Kedatangan Zainab ke Madinah disambut penuh gembira oleh masyarakat Madinah. Bagaimanapun Zainah dan Abu al-Ash masih merindui satu sama lain dan sentiasa berharap untuk bersama semula.

Pada tahun ke-6 Hijrah, Abu al-Ash mengikut satu rombongan dagang ke Syam. Dalam perjalanan pulang, rombongan mereka ditahan orang Islam dan semua hasil dagangannya dirampas.

Dia tidak berani pulang ke Mekah dengan tangan kosong kerana dia tahu ramai yang sedang menanti untuk mendapatkan wang masing-masing.

Abu al-Ash teringat bekas isterinya dan cuba meminta pertolongan. Dia menyusup masuk ke Madinah pada waktu malam dan meminta Zainab melindungi serta mendapatkan hartanya yang dirampas. Kerana cinta, Zainab berikrar membantu Abu al-Ash.

Rasulullah SAW mendapat tahu hal itu dan menasihatkan puterinya bahawa Abu al-Ash haram baginya sebelum dia memeluk Islam. Bagaimanapun baginda faham bahawa puterinya itu masih mempunyai perasaan terhadap bekas suaminya dan pengorbanan besar Zainab terhadap Islam.

Zainab akur dengan arahan bapanya dan menyerahkan Abu al-Ash kepada orang Islam untuk dihukum. Abu al-Ash ditanya kesediaannya untuk memeluk Islam tetapi katanya, dia perlu memulangkan hasil dagangan itu kepada rakyat Mekah terlebih dahulu.

Cara itu supaya tidak digelar pengkhianat. Jika dia memeluk Islam dahulu, imej Islam pasti akan tercemar. Lalu, harta itu dipulangkan kepada Abu al-Ash.

Dia kembali ke Mekah membahagikan hasilnya kepada rakyat dan dipuji kerana amanahnya. Selesai tugasnya, Abu al-Ash mengumumkan pengislamannya dan berhijrah ke Madinah.

Pasangan itu dikahwinkan semula mengikut syarak dan hidup bahagia.

Kesan keguguran yang pernah dialami Zainab menyebabkan kesihatannya terganggu. Dia meninggal dunia pada tahun ke-8 Hijrah, diikuti suaminya empat tahun kemudian.

Sesungguhnya, kisah cinta, kesetiaan dan pengorbanan Zainab dikenang sebagai seorang isteri yang setia, juga taat kepada Islam. 

Biarpun cinta dan kasih yang mendalam terhadap suami, Zainab tetap memilih Islam. Cinta sejati itu dimuliakan Allah SWT apabila kedua-duanya disatukan kembali sebagai suami isteri dan kekal ke akhir hayat.  

Thursday 24 October 2019

BRONOK SEDAP DIMAKAN MENTAH

Bronok atau nama saintifiknya acaudina molpadioides iaitu sejenis hidupan laut yang seakan-akan gamat. Bronok memiliki tekstur licin dan lembik seperti sotong. Isinya sangat kenyal dan agak masin.

Bronok mempunyai beberapa warna antaranya coklat kehitaman atau merah jambu.

Biasanya bronok ditemukan di kawasan berselut. Namun, pada masa tertentu ia juga ditemui di kawasan pantai berpasir ketika musim hujan dan angin kencang. 

Bronok biasanya dijadikan kerabu atau dimakan mentah. Bronok yang sudah dibersihkan akan diadun bersama sambal kelapa, cili, lengkuas dan kerisik. Resepi cara menyediakan hidangan bronok memang mudah dan ringkas.  

Cara atau menu lain yang berasaskan bronok ialah potong nipis-nipis, perah limau nipis dan digaul dengan cili. Masukkan garam sesedap rasa. Kemudian boleh terus dimakan tanpa perlu dimasak.

Bronok juga biasanya digunakan sebagai umpan memancing.

Pulau Langkawi di Kedah dan Pulau Parit Karimun di Johor antara lokasi yang terdapat banyak bronok. Resepi bronok Pulau Langkawi dikatakan menu wajib cuba kalau bertandang ke pulau bebas cukai itu. 

Thursday 17 October 2019

CARA TANAM BAYAM BRAZIL


Sejenis ulam yang mendapat perhatian ialah Bayam Brazil. Bayam Brazil atau nama saintifiknya Althernanthera sissoo adalah spesies tanaman sayuran yang berasal daripada Brazil dan Amerika Selatan.

Spesies tumbuhan ini mudah hidup dan pembiakkannya melalui keratan batang.  Cucuk sahaja di atas tanah, insyaalah tumbuhlah pokok Bayam Brazil.  

Tetapi jangan pula lupa nak siram dan bubuh baja. Itu penting untuk pokok membesar.

Pokok yang cukup air dan baja akan cepat membesar. Untuk dituai hasilnya, hanya perlu potong batangnya.

Batang yang dipotong itu akan terus tumbuh cabang atau batang lain. Batang muda yang dipotong boleh dimakan bersama dengan duannya.

Kalau ingin memperbanyakkan tanaman, hanya ambil pucuk dan daun untuk dimakan. Batang yang sudah agak tua boleh disemai untuk menumbuhkan pokok baharu.

Daunnya boleh dimakan sama ada mentah atau dimasak. Tumbuhan ini boleh membesar sehingga 30 cm tinggi. Saiz daunnya pula sekitar 2 hingga 3.5 cm lebar.

Daun Bayam Brazil tidak berlendir dan juga rangup. Oleh itu, sayuran ini sesuai dijadikan ulaman. Selain itu, Bayam Brazil juga sesuai utnuk dijadikan bahan masakan seperti salad, masakan tumis, sup atau sayuran di dalam masakan barat.