Tanpa
mengurangkan hormat kepada Presiden PAS, saya menganggap kenyataan beliau mengenai
pendirian majoriti ahli Majlis Kerja Tertinggi sebagai kenyataan yang kurang
wajar dikeluarkan oleh pimpinan parti lain.
Sepertimana
tidak wajar saya mengajar PAS tentang hal dalaman PAS, saya berharap kepimpinan
PAS juga menghormati "decorum" dalam hubungan antara parti dan
mengelak dari membuat komen bagi pihak UMNO.
Sama
ada majoriti ahli MKT menyokong atau tidak menyokong sesuatu perkara, menjadi
rahsia dalaman mesyuarat yang tidak wajar diiklankan atau disahkan di luar.
Yang penting ialah pendirian dan keputusan parti kelak.
Seperti
mana-mana organisasi yang punyai struktur, setelah dimurnikan semua suara dalam
badan pembuat keputusan, sesuatu pendirian rasmi dikeluarkan. Soal pandangan
mana-mana individu yang dibincang atau dibahas dalam mesyuarat, itu soal
dalaman organisasi yang tak perlu dispekulasi oleh pihak lain. Apatah lagi
semua ahli MKT telah bersumpah rahsia sejak awal penggal lagi.
Tetapi
dalam soal hubungan dalam MN yang dibangkitkan oleh Presiden PAS, untuk rekod,
UMNO tidak sesekali menolak MN. Malah pendirian rasmi PAU 2020 juga menyebut
keinginan memperkasa Muafakat Nasional. Cuma, ia perlu diselaraskan dengan
suatu lagi pendirian rasmi bahawa parti menolak kerjasama dengan PPBM semasa
PRU15.
Maka,
apabila PAS bertegas mahu meneruskan jalinan kerjasama pilihanraya bersama
Perikatan Nasional, maka ia meletakkan UMNO dalam keadaan sukar untuk
merancakkan MN sepertimana dahulu - sehingga terpaksa ada pertembungan pelbagai
penjuru apatah lagi jika PAS bertanding atas lambang PN seperti di PRN Melaka.
Semua perkara ini telah diulas berkali-kali dan umum mengetahui dilema yang
wujud disebabkan pendirian PAS.
Meskipun
begitu, yang paling penting, UMNO menghormati pendirian PAS dan tidak memaksa
PAS melakukan apa yang ia tidak mahu. Jadi, sebagai tanda keikhlasan
persahabatan, harapnya PAS juga menghormati pendirian UMNO dan tidak memaksa
kami atau menghebahkan spekulasi dengan harapan kami melakukan sesuatu yang
sememangnya sukar - khususnya berkenaan hubungan bersama pihak ketiga.
Mungkin
dengan penghormatan dua hala itu, barulah ada sinar untuk menyelamatkan
sekurang-kurangnya sebahagian daripada kerjasama yang pernah mewarnai pentas
politik penggal ini.
Wallahu'alam.
FB
Shahril Hamdan
Ketua
Penerangan UMNO
31
Disember 2021
No comments:
Post a Comment