Friday, 20 May 2022

DOA MOHON SELAMAT DALAM PERJALANAN

 
Malang tidak berbau. Antara kecelakaan sering tidak diduga ialah ketika memandu kenderaan atau dalam perjalanan. Tidak kiralah kenderaan darat, laut mahupun udara.

Biarpun sebaik mana kita berusaha mengelak berlaku kemalangan atau kecelakaan, perkara itu mungkin berlaku berpunca kecuaian pihak lain, masalah cuaca, keadaan kenderaan dan sebagainya.

Selain cara pencegahan secara fizikal atau tindakan keselamatan, Islam menganjurkan agar kita berdoa sebelum mula bermusafir. Doa satu permintaan kepada Allah yang Maha Berkuasa menetapkan apa yang bakal berlaku.

Hal ini dapat dicontohi seperti mana dilakukan oleh Rasulullah setiap kali baginda memulakan sesuatu perjalanan. 

Diriwayatkan Muslim, setiap kali sebelum memulakan perjalanan jauh, Rasulullah bertakbir sebanyak tiga kali. Selepas bertakbir, Rasulullah teruskan pula dengan doa bermaksud: “Maha Suci Tuhan yang memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum ini tidak berdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kami akan kembali.”

Selepas doa permulaan, Rasulullah membaca doa seterusnya. Doa tersebut bermaksud: “Ya Allah, ya Tuhanku, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kebaikan dan takwa dalam pelayaran kami ini dan amal yang soleh yang Engkau redai. Ya Allah, ya Tuhan kami permudahkanlah pelayaran kami ini, dan dekatkanlah jarak jauhnya (supaya kami segera sampai ke tempat ditujui). Ya Allah, ya Tuhan kami, Engkaulah rakan di dalam pelayaran, dan wakil pengganti yang menjaga keluarga kami (yang ditinggalkan). Ya Allah, ya Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesukaran (yang lazim berlaku) dalam pelayaran dan (daripada keadaan yang menyebabkan aku) berupa hodoh dan muram, juga (daripada sebarang peristiwa yang menyebabkan aku) kembali dalam keadaan yang buruk mengenai harta benda, keluarga dan anak pinak.” - (Hadis riwayat Muslim).

Memang sesungguhnya perjalanan jauh memungkinkan pelbagai perkara yang boleh berlaku sepanjang perjalanan. Berdoa memohon keselamatan dalam perjalanan merupakan satu pengharapan kepada Allah agar diselamatkan sepanjang perjalanan pergi dan balik. 

Amalan berdoa juga merupakan satu peringatan kepada diri sendiri tentang bahaya di perjalanan. Dengan cara itu kita akan lebih berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak diri daripada terlibat dalam sebarang kecelakaan di jalan raya. 

No comments:

Post a Comment