Untuk berjaya kita kena ada sasaran atau
matlamat. Satu sikap orang berjaya ialah tidak ambil peduli akan gosip dan
urusan manusia lain. Tidak peduli tenang kata-kata negatif daripada orang
sekeliling. Prinsip mereka ada aku kesah. Tingkatkan hidup tanpa banyak sangat
ambil tahu urusan orang.
Prinsip tidak ambil peduli tentang orang
sekeliling bukan bermakna hanya mementingkan diri sendiri. Kita tetap ambil
peduli tentang perkara yang baik. Tetap membantu jika ada yang perlu kepada
bantuan. Tetap bertanya khabar tentang adik beradik, jiran tetangga dan rakan.
Tidak ambil peduli yang dimaksudkan ialah dalam
hal urusan yang tidak mendatangkan faedah untuk kita ambil tahu mengenainya. Tidak
ambil kisah tentang kehidupan mewah mereka. Tidak berdengki atau buruk sangka
tentang apa yang mereka lakukan. Biarkan mereka dengan cara hidup mereka.
Kita perlu amalkan kehidupan dalam orbit
sendiri. Itu kehidupan yang paling indah dan selamat. Berputar tanpa melanggar
sesiapa. Bergerak tanpa perlu menjaga tepi kain orang. Paling penting jangan
sekali-kali menyelak kain orang. Dedah keburukan orang sana-sini. Semua apa
yang orang lain buat tidak betul. Yang betul hanya diri dia.
Kena utamakan diri sendiri. Buat sesuatu
yang membawa kepada kejayaan. Terus istiqamah dengan apa yang dilakukan. Jangan
calarkan minda dengan kisah dongeng yang melingkari kehidupan orang lain. Kita
ambil peduli hanya dalam hal-hal yang perlu sahaja.
Kekuatan terpenting dalam hidup adalah
meyakini Allah SWT adalah satu-satunya pemberi rezeki. Dia yang Maha Kuasa. Dia Maha
Pengasih dan Penyayang. Buat perkara yang Allah suruh dan menjauhkan apa yang
dilarang.
Tetapkan matlamat hidup dan teruskan
perjalanan menuju apa yang diinginkan. Jika itu sudah terpeta dalam diri, insyha-Allah
laluan kita akan selamat biarpun berdepan sejuta halangan. Suburkan jiwa dengan
sentiasa ingat, rezeki itu di tangan Allah SWT dan Dia sebaik baik pemberi
rezeki.
Terus berusaha dan berdoa demi satu
kejayaan. Jangan biarkan api batin diri terpadam. Nyalakan dengan bara luar
biasa dari dalam. Bara mahu berjaya demi keluarga tercinta dan membantu ramai
manusia. Bertawakal dan berharap hanya kepada Alllah.
Jika ada halangan, jangan mudah berhenti.
Cari cara untuk halangan itu tidak menjadi penghalang untuk terus maju. Cari
jalan lain atau runtuhkan halangan itu. Asingkan diri dari rawa putus asa, sebaliknya
kekal fokus kepada destinasi yang telah ditetapkan.
Rasa kecewa memang lumrah. Itu sifat semula
jadi manusia. Jadikan rasa kecewa itu sekadar seketika. Ia perlu digantikan
dengan semangat lebih membara. Lebih bermotivasi. Kuat usaha kerana yakin
setiap usaha dilakukan akan mendapat balasan setimpal di sisi Allah.
Kehidupan di dunia ini akan jadi nikmat
besar apabila punya keyakinan. Kekalkan keyakinan itu dan lakukan tanpa
tangguh, terus berusaha.
No comments:
Post a Comment