Monday, 21 November 2022

CARA AGIH HARTA KEPADA WARIS SEMASA HIDUP

 
Adalah harus atau dibolehkan oleh syarak bagi pemilik harta ketika ia sihat dan berakal waras menghibahkan hartanya kepada sesiapa yang dia kehendaki, tanpa berniat menganiayai waris-warisnya.

Adapun menghibahkan harta kepada anak-anak, wajib berlaku adil kepada semua anak-anak, yakni; tanpa mengecualikan seorang pun dari mereka.

Ini sebagaimana terdapat dalam hadis Sahih Imam al-Bukhari riwayat dari an-Nukman bin Basyir yang menceritakan bahawa bapanya memberi kepadanya satu pemberian, lalu dia berjumpa Nabi supaya Nabi menjadi saksi terhadap pemberian tersebut.

Maka Nabi bertanya kepadanya; "Adakah semua anak-anak kamu, kamu berikan pemberian yang sama?".

Jawab bapaku; "Tidak".

Lantas Nabi berkata; "Bertakwalah kepada Allah dan berlaku adillah sesama anak-anak kamu".

Lalu bapaku pulang dan dan mengambil kembali pemberian tersebut. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat yang lain, Nabi SAW bersabda maksudnya; "Jangan bersaksikan aku, kerana sesungguhnya aku tidak akan menjadi saksi atas suatu kezaliman".

Berdasarkan hadis tersebut, adalah dituntut oleh syariat, hibah (pemberian) kepada anak-anak dilakukan sama rata, tanpa pilih kasih termasuk antara lelaki dan perempuan.

Sebahagian ulama berkata: diberikan kepada anak lelaki sekali ganda dari yang diberikan kepada anak perempuan (iaitu sebagaimana dalam faraid).

Jika seorang bapa melakukan pilih kasih, apakah hibahnya itu sah? Terdapat beza pandangan di kalangan ulama:

- Sebahagian ulama (antaranya as-Sauri, Imam Ahmad dan Daud az-Zahiri) menyatakan: hibah tersebut haram, tidak sah (batal) dan wajib ditarik kembali.

Dikecualikan jika ada suatu sebab tertentu seperti ada anak yang kurang upaya, ketika itu harus ia dilebihkan dari anak-anak lain mengikut pandangan Imam Ahmad.

- Menurut jumhur ulama (merangkumi mazhab Imam Abu Hanifah, Malik dan Syafiie); hibah tersebut makruh (tidak haram) dan ianya sah (yakni tidak batal dan tidak wajib ditarik kembali).

Hanya disunatkan sahaja bapa mengambil kembali hibah tersebut dan membahaginya sama rata kepada semua anaknya.

Jumhur ulama memahami tegahan Nabi dalam hadis di atas sebagai tegahan makruh, bukan tegahan haram berbeza dengan golongan pertama tadi.

Adapun perbezaan antara hibah dan wasiat?

Hibah ialah pemberian yang diberikan ketika masih hidup. Adapun wasiat, ia adalah pemberian yang diikat dengan selepas mati, seperti seorang berkata; "Bila aku mati nanti, tanahku di tempat sekian sekian hendaklah diwakafkan kepada pihak sekian sekian".

Hibah harus diberikan kepada anak-anak atau waris-waris lain dengan syarat berlaku adil tadi.

Adapun wasiat tidak harus diberikan kepada orang akan mewarisi harta selepas mati termasuk anak-anak.

Gambar - Sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment