Friday, 4 October 2024

LARANGAN MENGHINA ORANG LAIN

Orang bertaraf tinggi, kaya, berpangkat besar mahupun bijak tiada hak untuk menghina orang lain yang berkedudukan rendah. Mungkin orang dihina itu lebih baik kedudukannya di sisi Allah SWT yang tidak memandang taraf berdasarkan keinginan manusia, sebaliknya melihat tingginya takwa. 

Dalam surah al Hujurat, Allah SWT memberikan kita petunjuk dalam berakhlak yang baik. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik.” (Surah al Hujurat, ayat 11)
 
Ibnu Katsir berkata bahawa ayat di atas bermaksud larangan menghina orang lain. Sifat melecehkan dan menghina termasuk dalam kategori sombong sebagaimana sabda Rasulullah SAW:  “Sombong adalah sikap menolak kebenaran dan meremehkan manusia.” (Hadis riwayat Muslim no. 91).
 
Ingatlah orang menjadi mulia di sisi Allah SWT dengan ilmu dan takwa. Jangan sampai orang lain dihina dan dipandang rendah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kalian dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah al Mujadilah, ayat 11)
 
Seorang bekas budak suruhan pun boleh menjadi mulia daripada yang lain lantaran ilmu. Cuba perhatikan kisah seorang bekas budak suruhan ini.
 
Dari Nafi bin Abdil Harits, dia pernah bertemu dengan Umar.  Umar memerintahkan Nafi untuk mengurus Makkah. Umar pun bertanya, “Siapakah yang mengurus penduduk Al Wadi?” “Ibnu Abza”, menjawab Nafi’. Umar balik bertanya, “Siapakah Ibnu Abza?” “Dia adalah salah seorang bekas budak daripada budak-budak kami”, jawab Nafi’.
 
Umar pun berkata, “Kenapa kalian menyuruh bekas budak untuk mengurus seperti itu?” Nafi menjawab, “Dia adalah seorang yang faham Kitabullah. Dia juga faham ilmu faraid (hukum waris).”
 
Umar pun berkata bahawa sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda, “Sesungguhnya suatu kaum boleh dimuliakan oleh Allah lantaran kitab ini, sebaliknya mungkin  dihinakan pula kerananya.” (Hadis riwayat Muslim no. 817).

No comments:

Post a Comment