Thursday, 28 November 2024

UBI KAYU MAKANAN MUSIM BANJIR

 
Ubi kayu atau singkong mendapat sambutan tinggi pada musim banjir. Hujan lebat sahaja terus teringat kepada ubi kayu. Itulah budaya rakyat Kelantan. Budaya atau cara hidup bermusim.
 
Ubi kayu dikaitkan dengan menu musim banjir seperti putu halba, kuih poli, kuih tonyoh, rebus dan sebagainya. Banyak penjual akan membuka gerai menjual putu halba biarpun ketika hujan lebat. Bahkan, kerana hujan itulah putu halba “timbul”. Tidak hujan, maka tidak ada putu halba.
 
Budaya makan ubi kayu musim banjir sebenarnya berkaitan dengan “darurat”. Pada masa dahulu, pada musim hujan sukar untuk mendapat sumber makanan. Musim hujan yang panjang menyebabkan aktiviti kerja harian terbantut.
 
Kadaan hujan juga sering dikaitkan dengan perut berasa lapar. Kebiasaan perut akan cepat berasa lapar pada hari hujan kerana badan perlukan lebih banyak tenaga untuk memanaskan badan dalam keadaan cuaca sejuk. Lebih-lebih lagi ada yang terpaksa bekerja di tungah hujan atau dalam air banjir.
 
Jadi, satu sumber makanan yang ada ialah ubi kayu. Penduduk pada masa dahulu boleh dikatakan menanam sendiri ubi kayu di kawasan rumah. Apabila musim hujan, ubi kayu boleh dijadikan sumber makanan.
 
Tambah lagi, ubi kayu perlu dicabut atau digali isinya jika kawasan ditenggelami air. Ubi kayu mudah menjadi carok atau pokok menjadi mati dan ubinya akan rosak. Ubi kayu yang telah dicabut dan disimpan di tempat kering boleh tahan lama sehingga seminggu.
 
Ubi kayu rebus paling mudah disediakan. Buang kulit dan potong kecil, kemudian rebus. Ubi kayu rebus dimakan dengan macam-macam pencicah mengikut cita rasa penggemarnya. Boleh cicah dengan gula, cicah kelapa parut, cicih sambal ikan bilis dan sebagainya.
 
Jangan bimbang makan ubi kayu kerana makanan itu tersenarai sebagai sumber makanan ketika terbesar di dunia. Maksudnya ia menjadi makanan ruji disesetenah dunia. Ubi kayu dimakan oleh kira-kira 500 juta penduduk dunia secara keseluruhan. 

Ubi kayu memiliki kadar kolesterol dan lemak yang rendah. Ini bermakna ubi kayu adalah makanan yang baik untuk menambah berat badan secara sihat.

Ubi kayu adalah salah satu makanan yang mempunyai serat pemakanan yang boleh membantu untuk mengurangkan kolesterol, risiko penyakit kardiovaskular, mengurangkan kadar kanser usus serta membantu mencegah penyakit kencing manis dan penyakit jantung.

Ubi kayu bebas daripada gluten maka sangat sesuai bagi orang yang mengidap penyakit celiac, sejenis penyakit yang membawa kepada kerosakan usus kecil dan gangguan penyerapan nutrien daripada makanan. Makan ubi kayu merupakan altenatif bagi orang yang alah kepada makanan dari tepung gandum yang mengandungi banyak gluten.

Ubi kayu mengandungi mineral seperti kalsium, fosforus, kalium dan magnesium. Walaupun kuantitinya rendah, ubi kayu boleh digunakan untuk bancuhan mengganti bahan-bahan lain seperti susu. Ia amat kaya dengan zat besi dan vitamin B termasuk asid folik yang amat penting bagi ibu-ibu hamil. 
 
Ubi kayu adalah sumber sederhana kumpulan B-kompleks vitamin seperti folates, thiamin, pyridoxine (vitamin B6), riboflavin dan asid pantothenic. 
 
Jom, makan ubi kayu bukan sahaja musim banjir, tetapi juga pada musim-musim lain.

No comments:

Post a Comment