Sebagai
penganut Islam, kita yakin tentang kesempurnaan agama Islam. Syariat Islam bukan sekadar menonjolkan soal
ibadat khusus. Sebagai agama lengkap dan sempurna, syariat Islam meliputi semua
aspek kehidupan manusia seperti kenegaraan, ekonomi, sosial dan keamanan.
Firman Allah bermaksud: “Pada hari ini Aku sudah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku sudah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku sudah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah al-Maidah, ayat 3).
Antara kandungan ajaran Islam ialah setiap individu dan kumpulan Islam diharamkan melakukkan keganasan dan ekstrim. Islam bermatlamatkan mewujudkan suasana aman dan selamat dalam semua keadaan.
Jelasnya, Islam amat bencikan keganasan, perpecahan dan peperangan. Malah, perkataan Islam sendiri membawa maksud sejahtera, aman dan selamat. Jaminan itu bukan sahaja untuk umat Islam, bahkan kepada seluruh manusia.
Allah menyeru manusia agar menikmati keamanan secara mutlak melalui Islam. Bahawa Islam mampu memberi kehidupan terbaik kepada seluruh manusia di dunia dan akhirat.
Untuk menjamin tercapai matlamat tersebut, maka hendaklah umat Islam mematuhi segala peraturan ditetapkan dalam Islam, bukannya memilih apa yang disukai, atau yang sesuai dengan kehendak hati sahaja.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam (keamanan, kesejahteraan) secara keseluruhannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 208).
Umat Islam ditegah melakukan sebarang tindakan mencetuskan keadaan tidak selamat, huru hara dan tegang, kepada sesama Islam dan bukan Islam. Tindakan itu sekarang ini dipanggil fahaman ekstrim atau pelampau.
Tidak dinafikan, dalam agama lain juga terdapat golongan pelampau yang sanggup melakukan apa saja perbuatan yang didakwa demi untuk agama mereka. Tindakan inilah yang menjadi punca kepada banyak tercetusnya masalah dalam hubungan antara agama.
Biarpun dalam sejarah Islam, peperangan dan penggunaan senjata pernah dilakukan pada zaman Rasulullah dan pemerintah Islam dahulu, cara dan matlamatnya jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh golongan ekstrim sekarang
Peperangan dan kekerasan yang diharuskan dalam Islam adalah jihad mempertahankan hak, membela kebenaran dan keadilan menurut hukum Allah. Perbuatan itu pula dilakukan mengikut cara dan batasan yang membawa kebaikan.
Perintah agar umat Islam berperang terkandung dalam firman Allah, yang bermaksud: “Diwajibkan ke atasmu berperang menentang pencerobohan, sedangkan peperangan itu adalah perkara yang kamu benci.” (Surah al-Baqarah, ayat 216).
Kita dapat membuktikan bahawa peperangan yang melibatkan umat Islam dilakukan sekadar ‘mencapai matlamat’, dan mematuhi prinsip dan etikanya. Islam menegah melakukan perang terhadap pihak yang tidak mampu mempertahankan diri dan bukan tentera, seperti orang awam, kanak-kanak, orang tua dan wanita.
Biarpun Rasulullah memimpin tentera Islam lebih daripada 27 kali peperangan, ini bukan bermakna baginda sukakan peperangan. Peperangan ada pilihan terakhir untuk mempertahankan hak dan menegakkan kebenaran.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 190 bermaksud: “Dan perangilah atas sabililah terhadap orang yang memerangi kamu. Dan janganlah kamu menceroboh (memulakan peperangan) kerana sesungguhnya Allah tidak suka orang yang menceroboh.”
Dalam setiap kali peperangan, Rasulullah sentiasa menasihatkan agar tentera Islam berperang dengan ikhlas semata-mata kerana Allah, bukan kerana tujuan lain seperti dendam, untuk mendapat harta rampasan, memiliki tawanan perang, mendapat kuasa dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment