Apabila disebut SOP Covid-18, individu yang dikaitkan dengannya adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan sehingga beliau digelarkan Menteri SOP.
Memandangkan banyak SOP yang dikuatkuasakan dianggap menyusahkan rakyat, maka Ismail Sabri menjadi sasaran kemarahan rakyat. Beliau menjadi bahan cacian dan makian waga maya. Banyak warga maya meluahkan kemarahan kepada beliau apabila pengumuman beliau tidak menepati kehendak dan kemahuan peribadi sesetengah pihak.
Hakikat sebenarnya, apa yang diputuskan kerajaan adalah demi untuk kebaikan rakyat. Perkara ini ditegaskan berkali-kali oleh Ismail Sabri. Namun, banyak warga maya sengaja buat-buat tidak fahaman apabila terpedaya dengan dakyah disebarkan sesetengah pihak berkepentingan.
Sempena akhir Ramadan ini, mari kita fikir sejenak tentang firman Allah SWT dengan situasi yang dihadapi sekarang ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Barangkali kamu membenci sesuatu pada hal ia amat baik bagimu, dan barangkali kamu menyukai sesuatu pada hal ia amat buruk bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 216)
Segala yang terjadi kepada kita dalam kehidupan ini adalah ketentuan yang telah ditakdirkan cukup baik untuk setiap hamba-Nya. Allah SWT yang Maha Bijaksana lebih mengetahui sesuatu yang terbaik dan sesuai untuk setiap manusia.
Namun, sebagai insan yang banyak kekurangan, kita sering mempersoal sesuatu perkara yang tidak kita sukai.
Mari kita ambil pengajaran daripada peristiwa Nabi Musa yang telah mula hilang sabar apabila menyaksikan tindakan Nabi Khidir dalam tiga peristiwa yang dianggap oleh Nabi Musa sebagai tidak wajar dilakukan.
Sebagaimana dinukilkan dalam surah al-Kahfi, Allah SWT menceritakan tiga peristiwa yang berlaku antara Nabi Musa dan Nabi Khidir. Peristiwa pertama adalah ketika mereka menaiki sebuah perahu, tetapi Nabi Khidir telah membocorkan perahu berkenaan.
Tindakan itu mendatangkan pertanyaan kepada Nabi Musa. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Lalu berjalanlah keduanya (Nabi Khidir dan Nabi Musa) sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, kemudian dia (Nabi Khidir) membocorkannya." (Surah al-Kahfi, ayat 71)
Peristiwa kedua pula menyaksikan tindakan Nabi Khidir yang membunuh seorang anak kecil dan perbuatan itu menimbulkan tanda tanya serta perasaan kurang sabar kerana dari sudut pandangan mata kasar, perbuatan membunuh kanak-kanak itu tidak wajar.
Disebutkan dalam ayat suci al-Quran yang bermaksud: "Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya." (Surah al-Kahfi, ayat 74)
Peristiwa ketiga juga menimbulkan pertanyaan bagi Nabi Musa apabila Nabi Khidir menegakkan dinding yang hampir roboh. Peristiwa itu dinukilkan dalam ayat suci al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang di situ, lalu orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu ia membinanya. Nabi Musa berkata: Jika Engkau mahu, tentulah Engkau berhak mengambil upah mengenainya." (Surah al-Kahfi, ayat 77)
Secara ringkas, falsafah dan pengajaran di sebalik tiga peristiwa itu ialah perahu dibocorkan kerana hendak menyelamatkan perahu itu daripada raja zalim yang suka merampas perahu yang baik. Dibunuh anak itu, kerana anak itu akan membesar dan menyesatkan kedua-dua ibu bapanya. Dibina semula dinding kerana di situ terdapat harta untuk dua anak yatim yang tinggal di negeri itu. Dibina semula untuk melindungi harta mereka supaya nanti apabila anak itu dewasa kelak, mereka akan mendapatkannya.
Melalui ketiga-tiga peristiwa di atas kita akan dapati begitu besar hikmah yang tersembunyi atas apa juga ketentuan Allah SWT kepada kita, walaupun saat kita diuji atau diberi sesuatu musibah, fitrahnya kita sebagai manusia biasa pasti merasakan ia sesuatu yang menyakitkan.
Ibadat puasa yang kita lakukan selama sebulan sepanjang Ramadan yang penuh keberkatan dan rahmat dapat mendidik kita menjadi insan yang lebih bersabar dan takwa.
Jangan hanya kerana kita tidak mendapat apa yang kita inginkan atau diuji dengan sedikit kesukaran, lalu kita menjadi hamba yang tidak syukur. Terlalu banyak yang telah kerajaan sediakan untuk kesejahteraan rakyat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Surah ar-Rahman, ayat 16)
No comments:
Post a Comment