Tidak
patut kita marah-marah dan kecam Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail
Sabri Yaakob yang mengumumkan keputusan kerajaan tidak membenarkan rentas
negeri untuk tujuan sambutan Aidilfitri.
Ismail Sabri selaku jurucakap kerajaan berkaitan Covid-19 tidak mengumumkan keputusan itu sekadar suka-suka atau tidak sensitif dengan perasaan serta kehendak rakyat. Sebaliknya ia berdasarkan kepada keperluan semasa demi untuk keselamatan rakyat.
Kementerian Kesihatan mengesan 13 kluster jangkitan Covid-19 berkaitan aktiviti rentas negeri sejak April lalu, termasuk satu kluster di Kelantan yang dikesan berkaitan varian Afrika Selatan membabitkan 10 individu.
Kluster rentas negeri itu adalah Kluster Kabu di Kedah yang berasal dari Pulau Pinang; Kluster Taman Malim Jaya di Melaka (berasal dari Selangor); Kluster Jalan Gapam di Negeri Sembilan (berasal dari Melaka); Kluster Taman Rakyat diTerengganu (berasal dari Sabah); Kluster Kampung Domis, Kelantan (berasal dari Selangor); Kluster Kampung Bunut Sarang Burung, Kelantan (berasal dari Kuala Lumpur); Kluster Seri Kuantan, Pahang (berasal dari Kuala Lumpur); Kluster Pengkalan Batik, Melaka (berasal dari Selangor); Kluster Taman Changkat, Perak (berasal dari Selangor); Kluster Jalan Kesidang, Kluster Kota Shahbandar dan Kluster Air Budi yang dikesan di Melaka dan berasal dari Perak, Selangor dan Kuala Lumpur serta Kluster Jarang Emas, di Melaka dan dikesan berasal dari Selangor.
Justeru, mengapa masih banyak yang beria dan bersungguh mendesak kerajaan untuk benarkan rentas negeri. Apakah kita tidak sedikit pun risau akan jangkitan yang boleh berlaku kepada sesiapa pun. Apakah kita masih tidak belajar normal baharu yang menghalang kita dari terus bergerak ke merata negeri tanpa tujuan penting.
Ya... pada musim perayaan ini banyak yang rindu kepada ibu bapa yang sudah lama tidak bertemu. Namun, adakah kita bersedia untuk berkemungkinan membawa virus Covid-19 kepada ibu bapa dan ahli keluarga?
Apabila disebut ibu bapa, ia sudah tentu merujuk kepada golongan warga emas atau sekurang-kurangnya telah memasuki usia 40an. Mengikut rekod, golongan ini mempunyai resiko mendapat jangkitan serius yang boleh membawa maut.
Adakah kita bersedia untuk pulang membawa virus maut kepada ibu bapa?
Kita tentu tidak mahu apa yang berlaku di India berlaku di negara kita. Pada dasarnya, India sudah hampir berjaya mengawal Covid-19. Namun, akibat lalai dan ingin merayakan kejayaan lebih awal, gelombang wabak kembali dengan begitu teruk sekali sehingga sukar dikawal.
Aktiviti rentas kawasan dan aktiviti keagamaan serta perhimpunan sosial yang tidak terkawal menyebabkan India berdepan malapetaka yang dianggap kecelakaan besar abad ini.
Tentu sekali gambaran apa yang berlaku di India kita tidak mahu ia berlaku di negara kita, lebih-lebih lagi ia melibatkan ibu bapa dan ahli keluarga kita. Jangan kerana ingin bergembira, dua yang datang bertimpa-timpa.
Sesungguhnya, kerajaan telah mengambil langkah tepat tidak membenarkan rentas negeri untuk tujuan sambutan Aidilfitri.
No comments:
Post a Comment