Monday, 5 July 2021

Ismail Sabri buat laporan polis terhadap pemilik akaun FB Lokman Adam

 
Setiausaha Politik Menteri Kanan Keselamatan Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad membuat laporan polis berhubung kenyataan pemilik akaun Facebook bernama Lokman Adam berhubung tuduhan fitnah terhadap Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini. 
 
Menurut Syed Mohd Fazmi, beliau telah diarahkan untuk membuat laporan tersebut berkaitan dengan video yang beliau telah teliti ketika berada di sekitar Pusat Dagangan Dunia (WTC) lebih kurang jam 11 pagi bertarikh 4 Julai 2021. 
 
Rakaman video berdurasi 1 jam dan 42 saat yang telah dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook bernama Lokman Adam didapati telah membuat fitnah dan hasutan kepada Naib Presiden UMNO Malaysia itu bermula minit ke 3.00 sehingga akhir video. 
 
Pemilik akaun Facebook Lokman Adam ini membuat tuduhan bahawa Ismail Sabri cuba meyakinkan ahli-ahli Parlimen UMNO untuk menjadi calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika tidak dipilih sebagai calon UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang dengan ayat antara lain. 
 
Menurut Syed Mohd Fazmi, Ismail Sabri memberitahunya bahawa beliau tidak pernah membuat sebarang penyataan-penyataan yang dihuraikan pada perenggan berikut: 
 
“Untuk makluman tuan-tuan, lagi menyedihkan, ketika menteri Perintah Kawalan Pergerakan ini cuba meyakinkan dan sampai ke tahap tuan-puan mengatakan bahawa sekiranya kita tidak dipilih menjadi calon pilihanraya yang akan datang, bila-bila masa kita boleh menjadi calon parti Bersatu yang hari ini kita tahu tidak cukup orang yang berwibawa’ dan seterusnya.” (Petikan dalam video Lokman Adam) 
 
Syed Mohd Fazmi menjelaskan laporan itu bertujuan untuk memohon pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat mengikut akta-akta berkaitan dengan fitnah iaitu Akta Hasutan 1948, Akta AntiBerita Tidak Benar (Akta 803) dan Akta SKKM (Akta 1998) kerana secara jelas pemilik akaun tersebut telah sewenangnya membuat tuduhan terbuka dan menyebabkan kerosakan kepada imej Ahli Parlimen Bera itu.

No comments:

Post a Comment