Wednesday, 7 July 2021

TEPAT PELANTIKAN ISMAIL SABRI SEBAGAI TIMBALAN PERDANA MENTERI

Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai sebagai Timbalan Perdana Menteri tidak seharusnya dipersoalkan oleh mana-mana pihak kerana ia adalah berada di dalam prerogatif Perdana Menteri, apatah lagi bila ia telah diperkenankan oleh Yang DiPertuan Agong.

Lantikan ini tepat pada masanya kerana ia mampu untuk menstabilkan kemelut politik dalaman UMNO yang sebelum ini turut menjejaskan keutuhan kedudukan kerajaan.

Lantikan ini mampu menangkis tuduhan bahawa BERSATU mengenepikan kedudukan UMNO selaku komponen terbesar kerajaan sekali gus meredakan kemarahan sesetengah ahli dan pemimpin UMNO.

Kedudukan Ismail Sabri sebagai pemimpin UMNO terkanan dari segi senioriti dalam Kabinet, iaitu selaku Naib Presiden UMNO dan Menteri Kanan, mewajarkan beliau dilantik ke jawatan itu.

Dari segi merit juga Ismail Sabri tidak mempunyai masalah kerana beliau berkelulusan undang-undang selain merupakan antara pemimpin yang paling cemerlang dan paling menonjol dalam usaha memerangi Covid-19 dengan keluar hampir setiap hari di dalam media sosial bagi membuat pengumuman mengenai keadaan terkini negara.

Beliau juga tiada isu peribadi dan tidak terpalit dengan sebarang kontroversi, malah dilihat amat tegas dalam penguatkuasaan undang-undang hingga menimbulkan simpati rakyat bila ketegasan beliau dilihat dipermainkan oleh pihak lain.

Beliau juga dilihat mampu meredakan ketegangan dalam UMNO kerana beliau tidak dilihat berkonfrontasi dengan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dua sosok penting dalam UMNO sekarang, sekali gus boleh mendamaikan pihak-pihak yang bertelagah dalam parti.

No comments:

Post a Comment