Monday, 27 June 2022

PANTAI CAHAYA BULAN KEKAL MENARIK

 
Nama Pantai Cahaya Bulan terkenal di Kelantan. Pantai Cahaya Bulan adalah antara pusat peranginan terawal di Kelantan yang telah mula dikenali pada awal tahun 1900 dan pernah dijadikan pusat istirahat pegawai dan tentera Jepun ketika Jepun menjajah negara kita. 

Kawasan di pantai berkenaan juga menjadi lokasi pendaratan tentera Jepun ketika menyerang Tanah Melayu. Selain di Pantai Cahaya Bulan, kawasan lain pendaratan tentera Jepun ialah di Pulau Panjang dan Pantai Sabak.

Pada awalnya Pantai Cahaya Bulan dikenali Pantai Semut Api sempena nama kampung di mana pantai itu terletak. Bagaimanapun kemudiannya dikenali Pantai Cinta Berahi.

Nama Pantai Cinta Berahi, dikatakan diberi oleh seorang tentera British ketika dia berada di pantai ini pada masa Perang Dunia Kedua. Pada masa itu, askar tersebut sedang menderita kerana cintanya tidak berbalas.

Nama Pantai Cinta Berahi atau ringkasnya PCB menjadi gah dan cukup terkenal. Pada tahun 1972, Ratu Elizabeth Kedua dari Britain bersama suami baginda Putera Philip dan puteri baginda Puteri Anne pernah melawat PCB.

Namun bagi kebanyakan rakyat Kelantan, ringkasan PCB telah dianggap nama khas dan sebab itu apabila merujuk PCB, dipanggil Pantai PCB, walaupun perkataan pantai telah diwakili huruf ‘P’. 

Pada tahun 1990, Pantai Cinta Berahi telah ditukar nama Pantai Cahaya Bulan. Namun, pertukaran nama itu masih mengekalkan nama Pantai PCB.  

Pantai PCB disenaraikan antara pantai peranginan tercantik di negara kita. Hembusan bayu Laut China Selatan dan keadaan pantai yang bersih menjadikan tumpuan ramai setiap hari dan menjadi sesak dengan pengunjung pada hari cuti.

Kedudukan Pantai PCB yang hanya kira-kira 9 kilometer dari Kota Bharu menjadi faktor mudah dikunjungi. Penduduk Kota Bharu menjadikan Pantai PCB tempat ambil angin pada sebelah petang bersama keluarga maupun kawan-kawan.

Selain itu, sepanjang Jalan PCB merupakan tempat menjadi kunjungan pelancong seperti kedai songket di Penambang, kedai pertukangan tembaga di Badang dan kedai membuat wau hiasan di Kedai Buluh. Malah, beberapa ratus meter dari tepi pantai terdapat berpuluh buah kedai batik yang menjadi tumpuan pelancong. 

Jadi, selepas berkunjung ke tempat-tempat tersebut, langsung pelancong terus ke Pantai PCB. Pengunjung yang datang ke Kelantan tidak sah jika tidak menjenguk biarpun sekejap di Pantai PCB. Nama Pantai PCB memang sinonim dengan Kelantan. 

Namun sejak tahun 80an, nasib Pantai PCB semakin malang akibat proses hakisan pantai yang teruk, terutama pada musim tengkujuh Monsun Timur Laut. Ketika itu ombak besar memukul pantai. 

Setiap kali musim tengkujuh, kawasan pantai terhakis sedikit demi sedikit. Hakisan itu menyebabkan kemusnahan bangunan, gerai dan pokok yang berada di tepi pantai. Kira-kira 100 meter kawasan pantai telah dihakis dan menjadi sebahagian daripada laut.   

Sebuah montel terkenal di Pantai PCB yang banyak menyimpan sejarah  terpaksa menutup operasinya dan bangunannya telah dirobohkan. Kawasan menempatkan berpuluh-puluh gerai makan yang menjual pelbagai jenis colek makanan laut kini telah tiada. Semuanya telah ditelan ombak. 

Bermula penghujung tahun 2004, Jabatan Pegairan dan Saliran (JPS) telah membina sistem lapis lindung menggunakan batu besar di Pantai PCB yang mampu mengatasi masalah hakisan. 

Namun, pembinaan itu secara langsung mengubah sepenuhnya wajah Pantai PCB. Pantai yang satu ketika dahulu terkenal dengan pantai yang landai, serta hamparan pasir yang putih, kini bertukar menjadi pantai batu. 

Pun begitu, satu perkara yang agak unik, pada masa tertentu akan wujud hamparan pasir di Pantai PCB. Ini kerana pasir yang dihakis oleh ombak akan ‘kembali’ ditolak ombak untuk berada di tempat asal.

Pengunjung yang datang akan berasa ‘pelik’ apabila dataran yang asalnya ada, kemudian akan wujud kembali, sebelum ia ‘pergi’ untuk tempoh masa tertentu.

Kewujudan dataran itu tidak ada kaitan dengan pasang surut air laut seperti yang terjadi di kawasan lain. Akan kelihatan dataran ketika air surut dan menjadi lautan apabila air pasang.

Biarpun Pantai PCB telah bertukar wajar, kehadiran pelancong masih ramai biarpun tidak sehebat dahulu. Peluang untuk Pantai PCB kembali gah di persada lokasi pelancongan utama negara masih ada.  

Kepada pengunjung, jangan ragu-ragu untuk kembali melawat Pantai PCB. Pantai PCB masih ada berahinya dan bulannya masih terang.

No comments:

Post a Comment