Seseorang Muslim itu menjadi baik apabila
Allah menggerakkannya untuk melakukan amal soleh.
Nabi SAW bersabda: “Apabila Allah
menghendaki kebaikan kepada seseorang, maka Allah akan membuatnya beramal.”
Para sahabat bertanya; “Bagaimana membuatnya beramal?” Baginda bersabda: “Allah
membukakan pintu kepadanya untuk beramal soleh sebelum kematiannya, sehingga ia
diredai orang-orang sekelilingnya ”. (Hadis riwayat Ahmad)
Di samping itu, seorang Muslim hendaklah
sentiasa berdoa memohon kepada Allah agar diberi taufik untuk melakukan amalan
soleh seperti doa Nabi Sulaiman.
Firman Allah SWT bermaksud: Maka
tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan
berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan
nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku
tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan
limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh". (Surah
an-Naml, ayat 19)
Allah membukakan pintu, relung serta
penjuru bagi mendorong seseorang melakukan amal soleh yang berterusan sehingga
orang sekelilingnya merasai dan memperakukan amal tersebut. Apatah lagi apabila
usia sudah menginjak angka 40, sentiasa istiqamah menjaga amalan soleh
khususnya solat lima waktu.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan Kami
wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah
mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung
susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan
susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat
dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh
tahun, berdoalah ia dengan berkata: " Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku
supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada
ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai ; dan
jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku.
Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang
Islam (yang tunduk patuh kepadamu)". (Surah al-Ahqaf, ayat 15)
Sesungguhnya, setiap amalan soleh yang
dikerjakan ada ganjaran di sisi Allah tanpa disia-siakan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dengan
yang demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang ia
beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya ; dan sesungguhnya Kami tetap
menulisnya.” (Surah al-Anbiya, ayat 94)
Semoga kita sentiasa ditunjukkan
pintu-pintu serta penjuru untuk melakukan amal soleh, bukan sahaja amal
peribadi malah juga untuk masyarakat dan negara.
Berusahalah bersungguh-sungguh
dengan amal soleh dan berdoalah agar kita sentiasa ditunjukkan pintu-pintu
untuk beramal soleh hingga akhir hayat kita.
No comments:
Post a Comment