Friday, 13 January 2023

WAKAF TUAN FARRER PASIR PUTEH

 
Wakaf Tuan Farrer merupakan sebuah mercu tanda bandar Pasir Puteh yang dianggap bersejarah. Mercu tanda ini terletak di bulatan pertemuan Jalan Nara, Jalan Manan dan Jalan Tok Tok Janggut.  
 
Wakaf adalah sebuah tempat yang dibina bagi pengembara berhenti rehat seketika sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing. Di Kelantan memang tidak asing dengan nama wakaf. Banyak tempat di Kelantan dinamakan dengan nama wakaf seperti Wakaf Mek Zainab, Wakaf Stan, Wakaf Aik, Wakaf Che Yeh dan banyak lagi.
 
Ketika Wakaf Tuan Farrer dibina, kedudukannya bukan di tengah-tengah bulatan seperti sekarang. Sebaliknya, ia berada pada tepi jalan untuk memudahkan pengembara berhenti berehat.
 
Wakaf Tuan Farrer dipercayai dibina sekitar tahun 1917 - 1919 dan dinamakan sempena nama Ketua Jajahan Pasir Puteh, merangkap Pemangku Penasihat British di Kelantan pada ketika itu iaitu Roland John Farrer.
 
Pada 2007, satu kemalangan telah berlaku di Wakaf Tuan Farrer lalu meranapkan keseluruhan struktur wakaf ini. Pihak Majlis Daerah Pasir Puteh dan agensi-agensi kerajaan telah membina semula wakaf ini bagi mengekalkan nilai sejarah tempat ini.
 
Pada tahun 2010, wakaf ini dibina semula dengan berdasarkan rupa dan reka bentuk yang asal. Wakaf ini dibina menggunakan konkrit, berbeza dengan struktur asal yang dibina berasaskan kayu. Struktur asal seperti kayu alang dan kasa jantan masih dibina menggunakan bahan asal.
 
Wakaf Tuan Farrer ini bercirikan gabungan seni bina Inggeris dan Melayu di mana bumbung berbentuk 'A' yang dilihat pada pandangan hadapan yang menggambarkan seni bina Inggeris dan bumbung perabung lima adalah bercorakkan seni bina Melayu.
 
Bentuk bumbung perabug lima yang bercirikan seni bina Melayu ini mempunyai keunikan tersendiri di mana terdapat seni ukiran yang begitu menarik dan halus yang terdapat pada bahagian bumbung berkenaan.

No comments:

Post a Comment