Biarpun hadis tidak ditulis pada zaman
Rasulullah dan hanya dikumpulkan serta dibukukan selepas kewafatan baginda,
keaslian atau ketepatan hadis tidak dapat diragui.
Perawi dan pengumpul hadis melaksanakan
tugas mereka dengan penuh teliti. Mereka mengumpul dan menyaring hadis
melibatkan disiplin yang tinggi. Sebab itu, terdapat kategori hadis
mutawatir dan ahad. Serta kategori ketiga iaitu hadis mawdhu, iaitu
sesuatu yang direka-reka oleh pihak tertentu.
Alasan pihak antihadis mengatakan mudah
berlaku kesilapan atau ketinggalan dalam penulisan hadis, hanya satu
andaian. Pakar hadis telah melakukan tugas penuh teliti dan melalui proses
ketetapan tertentu menentukan sama ada sesuatu bentuk hadis boleh diamalkan
atau sebaliknya.
Jika kita mempelajari dan mengkaji
bagaimana sesebuah hadis itu melalui proses ketat sebelum disahkan sebagai hadis
sahih, kita pasti tidak akan menolak kebenaran hadis seperti dilakukan oleh
golongan antihadis.
Himpunan Sahih Bukhari sebanyak 7,563
adalah disaring dan dipilih serta diakui kesahihannya daripada jumlah asal
kira-kira 600 ribu. Proses pengumpulannya mengambil masa kira-kira 16
tahun.
Justeru, sebagai muslim yang mengaku Nabi
Muhammad itu Pesuruh-Nya, jangan kita ragu-ragu untuk berpegang pada hakikat
bahawa sunnah adalah sebahagian sumber hukum Islam yang perlu diyakini.
Para ulama sepakat mengatakan hadis sahih
adalah wajib beramal dengannya dalam perkara akidah, ibadat, muamalat dan hukum
hakam yang lain.
No comments:
Post a Comment