Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat,
definisi fasilitator ialah orang yang membimbing (memandu) sesuatu program
pembelajaran dan pengajaran. Disebabkan peranan fasilitator adalah membimbing,
maka ada juga menamakan fasilitator sebagai pembimbing.
Mengikut Carl Rogers, (1983) dalam bukunya
Freedom To Learn, perkataan fasilitasi diambil daripada Bahasa Latin “facilis”
yang membawa maksud untuk mempermudah.
Manakala Trevor Bently, (1994) pula
memberikan erti fasilitator sebagai menawarkan atau menyediakan peluang
pembelajaran.
Dengan kata lain, tugas fasilitator adalah
sebagai pemudah cara yang berperanan membantu peserta dalama sesebuah kumpulan
latihan melalui suatu proses pembelajaran dan komunikasi yang berkesan bagi
mencapai matlamat sesebuah kelompok atau perbincangan.
Fasilitator berperanan memudahkan proses
perbincangan supaya dapat berjalan dengan lebih lancar dan licin.
Dalam melaksanakan tugas, fasilitator perlu kepada pemerhatian, menasihati,
membantu, membimbing dan kaunseling secara maksimum. Manakala mengurus,
mengarah dan mengawal sesuatu kumpulan dan perbincangan mesti pada tahap yang
paling minimum.
Fasilitator mesti memahami dengan mendalam sama ada dari segi teknikal mahupun
konsep dan etika. Justeru, penting bagi seorang fasilitator mempelajari dan
memahami hal yang berkaitan dengan apa yang akan dibincangkan dalam kumpulan.
Fasilitator adalah agen perubahan. Namun, perlu
diingat fasilitator bukannya mengubah keseluruhan hidup seseorang. Ia hanya
satu sistem bagi membantu mengubah minda dan meningkatkan kefahaman mengenai
perkara yang dibincangkan.
Seorang fasilitator dijangkakan dapat memberikan dorongan kepada semua
pesertanya. Dalam hal ini, peserta diharap dapat mengaplikasikan fakta,
mengutarakan pendapat sendiri dan memanfaatkan segala idea secara bebas dan
tidak perlu diarahkan oleh sesiapa.
Pendekatan yang digunakan biasanya sesuai
dengan keperluan dan keadaan semasa peserta sendiri. Sekiranya ini dapat
dilaksanakan, peserta akan merasa lebih selesa menerima pembelajaran yang
disampaikan oleh fasilitator. Pembelajaran yang berlaku dalam kumpulan sepatutnya
serius, tetapi berlaku dalam keadaan yang menggembirakan.
Apabila peserta yang diterima oleh
fasilitator pada sesuatu masa itu berlainan latar belakang, masalah, minat dan
keperluan, fasilitator akan berusaha mencari kaedah yang paling sesuai
digunakan supaya bukan sahaja dirinya dapat diterima oleh kumpulan, tetapi apa
juga yang disampaikan oleh fasilitator dapat diterima oleh semua ahli kumpulan.
Mungkin peserta yang hadir pada sesuatu
kursus itu sudah pun kaya dengan ilmu dan pengalaman. Namun mereka masih perlu
dibantu bagi menyelaraskan perbezaan yang wujud dalam dirinya dan orang-orang
yang bekerja di sekelilingnya.
Menjadi tanggungjawab fasilitator
memastikan apa juga yang berlaku dalam perkongsian kumpulan dan pembelajaran
yang berlaku dalam proses kumpulannya, adalah wajar semua bimbingannya itu
menuju ke arah memenuhi keperluan kumpulan dan khususnya bermanfaat kepada diri
setiap ahli kumpulan.
Fasilitasi atau kefasilitatoran lebih
berhasrat mengamanatkan kuasa kepada seseorang supaya mengawal malah
bertanggungjawab terhadap usaha serta berusaha sedaya upaya mencapai matlamat
yang diinginkan.
Proses kefasilitatoran hanya akan dirasakan
kemajuannya apabila fasilitator berjaya mendorong setiap ahli dalam kumpulannya
memainkan peranan masing-masing. Adalah perlu dipastikan setiap pandangan dan
cadangan yang disampaikan oleh setiap ahli kumpulan diproses dengan baik dan
keputusan dibuat dengan konsensus kumpulan.
Seorang fasilitator akan berusaha memandu
ke tahap pemikiran dan penaakulan berasaskan bakat dan keupayaan kepimpinan
seseorang itu. Sekiranya setiap individu mempunyai daya kepimpinan dalam
dirinya, maka usaha menggerakkan individu masyarakat dalam kategori ini adalah
lebih mudah.
Apabila setiap seorang mempunyai keinginan
membangunkan dirinya sendiri, sebenarnya dia sudah memilih meningkatkan
martabat dirinya. Bentuk kehidupan masa akan datang yang kita inginkan adalah
pilihan kita sendiri dan hanya orang bijak sahaja yang akan sedar perkara ini
dan dia akan berusaha mencapai keinginannya itu.
Dalam kumpulan yang ditangani, fasilitator
boleh bertindak sebagai pemimpin dan sebagai rakan seperti ahli yang lain. Dia
akan bersama melakukan aktiviti dalam kumpulan.
Dengan kepakarannya dia akan
membimbing, memujuk, memimpin dan membantu bersama dalam kumpulan dengan
sepenuh keikhlasan hati, sehingga setiap ahli kumpulan merasakan dirinya adalah
sebahagian daripada kumpulan. Kumpulan akan rasa selesa dengan kehadirannya dan
mudah bekerjasama.
No comments:
Post a Comment