Ketika penubuhan pemerintahan Islam di
Madinah, Rasulullah SAW membuat perjanjian dengan kabilah atau puak yang
mendiami kota itu dan kawasan sekitarnya.
Kabilah berkenaan perlu menerima kedudukan Rasulullah SAW sebagai pemimpin dan
sebagai balasannya, kabilah itu diberi kebenaran terus tinggal di tempat
masing-masing dan mendapat hak dilindungi jika diserang oleh musuh mereka.
Namun, terdapat puak yang tidak mematuhi
perjanjian itu, lalu mereka dihalau keluar. Ia bermula dengan pengusiran Yahudi
Bani Qainuqa yang dicetuskan oleh sikap biadab Yahudi terhadap penganut Islam.
Kemudian diikuti oleh Yahudi Bani Nadhir yang merancang satu konspirasi untuk
membunuh Nabi Muhamad SAW
Melihat kepada perkembangan ini, kaum
Yahudi berfikir, sama ada mereka ingin biarkan keadaan terus begini (dihalau)
dan mengalah, atau mereka mesti melakukan sesuatu untuk membalas dendam, di
mana mereka boleh menghasut orang-orang Arab untuk membalas dendam terhadap
Nabi Muhammad SAW. Mereka berfikir bahawa jika keadaan ini dibiarkan, umat
Islam akan menjadi semakin kuat manakala mereka pula (Yahudi) menjadi pelarian.
Bermatlamat untuk menghapuskan Rasulullah
SAW Muhammad dan Islam, maka Yahudi mula berfikir bagaimana hendak menghasut
orang-orang Arab demi mencapai tujuan mereka. Untuk melaksanakan rancangan ini, beberapa orang dari kalangan Yahudi pergi
menemui kafir Quraisy di Makkah.
Mereka terdiri dari Huyay bin Akhtab,
Sallam bin Abil-Huqaiq dan Kinana bin Abil-Huqaiq. Ketika bertemu dengan
penduduk Makkah, Huyay ditanya oleh kafir Quraisy mengenai (persediaan)
kaumnya.
Maka dia menjawab, “Mereka saya biarkan
mundar-mandir ke Khaibar dan ke Madinah sehingga tuan nanti datang ke tempat
mereka dan berangkat bersama-sama menghadapi Muhammad dan sahabat-sahabatnya”.
Ketika dia diajukan soalan tentang Bani
Quraizah, dia menjawab, “Mereka tinggal di Madinah sekadar mahu mengaburi mata
Muhammad. Seandainya pihak tuan datang, mereka akan bersama-sama memihak kepada
tuan”.
Kafir Quraisy menjadi ragu-ragu sama ada
mahu terlibat atau menarik diri. Untuk menenangkan keadaan ini, kafir Quraisy
bertanya kepada Yahudi berkenaan status mereka (Quraisy) berbanding Muhammad,
jika ada jawapan yang kukuh (dari Yahudi) maka mereka akan menyertai pakatan
Yahudi menyerang Madinah.
Niat jahat Yahudi ini menjadi asbab kepada
penurunan ayat yang bermaksud: “Apakah kamu (wahai Muhammad) tidak
memperhatikan orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari al-Kitab
(Taurat)? Mereka percaya kepada jibt dan taghut (benda-benda yang disembah
selain dari Allah), dan mereka mengatakan kepada orang-orang kafir (kaum
Musyrik di Mekah) bahawa mereka (kaum musyrik itu) lebih benar jalannya dari
orang-orang yang beriman” (Surah an-Nisa, ayat 51)
Di sini jelas menunjukkan bahawa kaum
Yahudi ini sanggup memuji dan menyatakan kafir Quraisy adalah lebih baik
berbanding mereka sendiri. Mereka telah jelas-jelas menafikan ajaran kitab
(Taurat) mereka sendiri.
No comments:
Post a Comment