Monday, 1 June 2026

PENGALAMAN NAIK KERETA API KE GUA MUSANG

 
Sebelum 1983, jalan penghubung untuk ke Gua Musang hanya menggunakan kereta api dan laluan sungai. Ada juga laluan balak yang boleh dilalui menggunakan kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan tidak bertar dan melalui kawasan hutan tebal.

Laluan kereta api antara Kuala Lipis dan Tumpat dibuka secara berperingkat dan siap sepenuhnya apabila landasan kereta api Gua Musang-Kuala Gris siap pada tahun 1931.

Jadi, sesiapa ingin ke Gua Musang, penangkutan paling sesuai adalah menggunakan kereta api.

Di sini dicatatkan pengalaman mereka yang pernah menggunakan perkhidmatan kereta api dari Kuala Krai ke Gua Musang. Pengalaman Nik Ahmad dikongsikan di Muka Buku.

Tulisnya:

Ambo ada sedikit catatan pengalaman pasal menaiki keretapi.

Pada tahun 1978, ambo dipercayai dan dilantik oleh Datuk Syed Ahmad Syed Kuning, Setiausaha Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) untuk tolong memberi kursus asas (sangat basic) undang-undang  bola sepak kepada sekumpulan belia di Gua Musang.

Ambo masih ingat di antara peserta ketika itu ialah Cikgu Zulkifli, asal Kota Bharu yang bertugas mengajar di Gua Musang masa tu.

Tiada jalan penghubung dari Kota Bharu untuk ke Gua Musang. Terpaksa sambung perjalanan dengan menaiki kereta api dari Kuala Krai. Perjalanan ambo dengan kereta api ditemani Yusoff, seorang pegawai dari Pejabat Belia Kuala Krai.

Kursus pendek selama 2 hari dibuat di Rumah Persinggahan Gua Musang berdekatan pejabat pos yang mana sekarang ini kawasan itu jadi kedai makan.

Ambo masih ingat juga, jalan turap (tar) yang ada di Gua Musang ketika jaraknya hanya kurang 1 km itu, jalan tar hanyalah dari Stesen Keretapi Gua Musang yang lama (sekarang dijadikan kedai makan) sampai kawasan Balai Polis Gua Musang.

Balik dari Gua Musang, ambo dan Yusoff menumpang Land Rover Pejabat KESEDAR sehingga ke Kuala Krai.

Pada masa tu, sebahagian besar laluan hanya jalan tanah dan batu kecil, sepanjang laluan masih banyak hutan, kawasan tanah yang baru dibersihkan dan anak pokok kelapa sawit di kiri kanan jalan baru ditanam.

Nostalgia perjalanan Kota Bharu-Kuala Krai-Gua Musang 48 tahun yang lalu!

Nik Ahmad

Gambar - Stesen Kereta Api Gua Musang (lama)

Kredit pemilik gambar

No comments:

Post a Comment