Tuesday, 14 July 2026

DUTA KENALI UBAT ANDA

 
Duta Kenali Ubat Anda. Peranan utama Duta Kenali Ubat Anda (KUA) adalah sebagai ejen penghubung kesihatan masyarakat yang dilatih oleh Kementerian Kesihatan (KKM). 

Mereka bertanggungjawab menyebarkan kesedaran, mempromosikan penggunaan ubat secara selamat dan berkesan, serta membantu pesakit mengambil ubat secara sistematik dalam kalangan komuniti dan ahli keluarga.

Duta KUA adalah sukarelawan yang dilatih secara profesional oleh pakar farmasi sebelum mereka layak untuk dilantik menyebarkan maklumat tepat mengenai penggunaan ubat, pelupusan ubat selamat dan mengelakkan keracunan kepada komuniti.

Di seluruh Malaysia kini terdapat lebih 2000 orang Duta KUA yang terlatih. Mereka membantu KKM dan memainkan peranan penting dalam literasi kesihatan dengan melaksanakan tanggungjawab untuk menyampaikan maklumat tepat berkaitan ubat.

Melalui penyampaian itu dapat membantu merapatkan jurang komunikasi antara profesional kesihatan (pegawai farmasi dan doktor) dengan masyarakat awam.

Duta KUA berfungsi mendidik orang awam tentang cara pengambilan ubat yang betul, teknik penyimpanan yang selamat, dan kaedah pelupusan ubat yang betul.

Sukarelawan KUA juga membantu menangkis maklumat palsu atau mitos mengenai ubat-ubatan yang sering tular di media sosial.

Selain itu, mereka juga membantu ahli keluarga terutamanya warga emas dan golongan yang memerlukan agar ubat diambil mengikut jadual dan dos yang ditetapkan.

Gambar - Majlis penyerahan watikat pelantikan kepada Wan Noriza binti Wan Hassan. (kiri) sebagai Duta KUA oleh Pengarah Farmasi Kelantan


No comments:

Post a Comment