Thursday, 4 March 2021

UMNO PUKUL ANAK SINDIR MENANTU

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  mengenai keputusan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Surat itu jelas mengenai pendirian UMNO dalam soal hubungan dengan Bersatu. Tidak lagi berselindung atau sembunyi-sembunyi. Kalau sebelum ini ada pemimpin Bersatu yang ingin agar keputusan mesyuarat di Janda Baik didedahkan kepada umum, maka itu dibuat secara jelas dan rasmi.

Diharapkan tidak perlulah ada pula yang menjadi seperti kata peribahasa; rebung tidak miang, bemban pula miang.

Keputusan MKT UMNO itu adalah interpretasi kepada kehendak ahli akar umbi. Majoriti ahli akar umbi telah menyatakan pendirian mereka untuk tidak akan bersama dengan Bersatu dalam PRU15 nanti.

Sebenarnya keputusan MKT UMNO itu juga memberi kesan kepada hubungan UMNO dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN). Ini kerana Pas juga pada masa sama berada dalam Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Bersatu.

Bahkan, bentuk hubungan Pas dengan Bersatu lihat lebih ‘kukuh’ kerana ia diikat dalam satu bentuk parti yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Sedangkan hubungan UMNO dengan Pas hanya dalam bentu persefahaman bersama.

Maka, dengan kata lain, surat Zahid kepada Muhyiddin juga membawa maksud ia ditujukan juga kepada Pas. Kata pepatah, pukul anak sindir menantu.

Pas selama ini telah berulang kali mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan tetap bersama dengan Bersatu melalui PN. Walaupun Pas juga menyatakan akan memperkasakan MN, ia tidak menyakinkan kerana selepas menyertai PN, hubungan Pas lebih rapat dan mesra dengan Bersatu berbanding UMNO.

Kalau UMNO telah secara tegas menyatakan tidak akan berkerjasama dengan Bersatu, maka ia secara tidak langsung juga menyatakan tidak dapat berkerjasama dengan Pas jika parti itu ingin terus kekal bersama dengan Bersatu.

Kalau Pas memilih setia dengan Bersatu, bermakna UMNO perlu bertanding solo dengan hanya bersama-sama rakan dalam komponen Barisan Nasional (BN). UMNO dan Bersatu telah membuat keputusan. Sekarang ini keputusan Pas pula yang dinantikan. 

Jika ini menjadi jalan pilihan UMNO, seluruh pemimpin dan ahli UMNO perlu bersedia menggerakkan seluruh jentera pilihan raya secara bersendirian dan melakukan apa yang termampu.

No comments:

Post a Comment