Monday, 21 March 2022

CARA BERI HORMAT JENAZAH BUKAN ISLAM

 
Islam membenarkan menziarah dan memberi penghormatan kepada jenazah bukan Islam. Bagaimanapun, penghormatan itu tidak boleh dilakukan mengikut ritual atau amalan penganut agama lain, atau agama anutan jenazah itu kita hayatnya.

Ketika ziarah itu, jaga adab dan hormati kepercayaan penganut agama lain, tanpa kita mengikut apa yang mereka lakukan.

Boleh berdiri berhampiran jenazah, mengikut kesesuaian adat diamalkan penganut agama lain.

Jika ingin tanda menghormati jenazah, memadai dengan menunduk bahagian kepala tanpa membongkokkan badan.

Asas terhadap keharusan tersebut boleh diambil dari perbuatan Rasulullah yang bangun menghormati jenazah seorang Yahudi yang lalu di hadapan baginda atas dasar kemanusiaan.

Begitu juga dengan kisah seorang Sahabat Nabi bernama Qays Ibn Syamas yang pernah menyatakan hasratnya kepada Rasulullah untuk menghadiri majlis kematian ibunya yang beragama Nasrani, Nabi membenarkan dan menyuruhnya berjalan di hadapan jenazah sebagai tanda hormat. (Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Ahkam ahl Zimmah, vol.2 ms. 434).

Sekiranya perbuatan tersebut disertai dengan ritual keagamaan agama lain seperti menyalakan lilin, hadir di tempat keagamaan serta melakukan amalan tertentu, wujud unsur penyembahan atau bacaan-bacaan tertentu maka ia menjadi tidak selari dengan amalan Islam dan dilarang oleh syarak.

Jika dengan situasi tersebut, elok jika kita sekadar berada di luar kawasan atau sekadar memberi penghormatan ketika jenazah diusung keluar.

Sesungguhnya dalam Islam ada panduan dan batasan yang perlu diikuti demi untuk menjaga akidah.

No comments:

Post a Comment