Friday 30 December 2016

Khaulah Azwar wanita tangkas di medan perang

Dalam sejarah kepahlawanan tentera Islam pada zaman permulaan dulu, tersenarai satu nama cukup gah dan dikenang jasa dan keberaniannya ialah Khaulah binti Al-Azwar. 

Khaulah telah dibesarkan dalam sebuah rumah keberanian, kemuliaan serta kewibawaan, mempunyai susuk tubuh tinggi lampai dan tegap. 

Ayahnya al-Azwar terbunuh ketika mempertahankan Rasulullah SAW dalam satu peperangan. 
Khaulah menyertai Perang Ajnadin pimpinan Khalid Al-Walid sebagai perawat tentera yang cedera dan memberi semangat serta bantuan bahagian belakang.   

Turut serta dalam perang tersebut ialah Dhiraar bin Al-Azwar, abang kandung Khaulah yang sememang sudah terkenal sebagai tentera dan penunggang kuda yang hebat. Namun, dalam perang itu, Dhiraar berjaya ditawan tentera Rom. Pasukan Islam berusaha untuk membebaskannya. 

Dalam satu pertempuran yang sengit untuk mengalahkan musuh dan membebaskan Dhiraar, panglima Khalid bin al-Walid telah memerhatikan seorang penunggang kuda yang tinggi, Seluruh mukanya bertutup, hanya kelihatan matanya sahaja.

Ternyata padanya tanda-tanda ketangkasan yang luar biasa, sedang dia berpakaian serba hitam dan di kepalanya berlilit satu imamah atau serban hijau, yang sisinya berjuntaian hingga ke dadanya, lalu dililitkan selebihnya ke belakang. Dia seringkali berada di hadapan lelaki, seumpama api yang marak membakar.

Khalid mengkagumi sikap pejuang itu. Maka dia bertanya kepada pejuang-pejuang yang berada di sisinya. ''Siapakah si penunggang kuda itu? Demi Allah dia adalah seorang penunggang kuda yang amat berani.''

Beliau terus memerhatikan cara serangannya ke atas tentera Rom, laksana api yang marak, lalu memecah-belahkan pasukan musuh dan memusnahkan penyusunan ketombokan mereka.

Sejurus kemudian lembaga itu hilang di tengah-tengah kumpulan pejuang Islam lain dan terus bertempur bermati-matian, kemudian kelihatan kembali semula sedang lembing yang dipegangnya bertitisan darah, entah berapa banyak orang yang sudah menjadi mangsanya. Dia kemudian terus menggempur askar-askar musuh tanpa perasaan takut atau gentar sedikit pun.

Sebenarnya kelakuan pejuang ini telah menarik perhatian kaum muslimin hingga menaikkan semangat serta meneguhkan lagi tekad mereka. Lalu berkata seorang pemuda bernama Rafik bin Umairah: "Pejuang berkuda itu adalah Khalid al-Walid, panglima kita.''

Akan tetapi sangkaan Rafik tidak tepat apabila Khalid muncul secara tiba-tiba. Lalu Rafik bertanya pada Khalid: ''Siapakah penunggang kuda yang bertarung di hadapanmu tadi, aku sangkakan kaulah penunggang kuda itu.''

Berkata Khalid, ''Demi Allah aku pun dari tadi telah memerhatikan pejuang itu, aku sendiri tidak mengenalinya. Aku kagum dengan keberanian dan ketangkasannya.''

Khalid berkata lagi: ''Wahai kaum muslimin! Satukan semua tentera dan bantulah si pejuang yang mempertahankan agama Allah itu!''

Maka bertempurlah tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid al-Walid bersama pejuang berkuda itu, maka semakin bertambahlah semangatnya laksana api yang menjulang. Akhirnya tentera Islam mengecapi kemenangan yang gilang-gemilang.

Apabila pejuang berkuda itu kembali ke garisan tentera muslimin, kelihatan keseluruhan tubuhnya bermandikan darah. Lalu Khalid al-Walid terus mengalu-alukannya seraya berkata: ''Semoga Allah memberkati susu yang kamu minum daripada ibumu sebagai pejuang yang mengorbankan diri di jalan Allah dan menunjukkan keberanianmu di hadapan musuh!''

''Siapakah kau sebenarnya? Bukalah kain penutup mukamu!'' Akan tetepi pejuang itu tetap tegak mendiamkan diri tanpa sepatah kata, maka salah seorang daripada tentera muslimin pun berkata: ''Wahai orang yang dimuliakan! Panglima perang berkata kepadamu, kenapa kamu hanya diam membisu dan memalingkn diri daripadanya? Perkenalkanlah dirimu, agar kamu mendapat penghormatan daripadanya.''

Malangnya pejuang itu masih membisu lalu menepuk-nepuk kuda dan terus meninggalkan Khalid al-Walid bersama tentera muslimin.

Tindakannya ini telah membuatkan Khalid hilang kesabaran lalu menerpa ke arahnya, seraya menjerit: ''Biadap kau! Kau telah telah mengacau hati orang ramai dan hatiku. Lebih baik kau perkenalkan saja dirimu dan dari mana kamu datang?'

Apabila pejuang itu melihat Khalid al-Walid begitu serius, maka dia pun menjawab dan kedengaran suara seorang wanita. Katanya: ''Aku tidak akan memalingkan mukaku daripadamu, melainkan kerana terasa malu''.

''Wahai panglima! Kau adalah seorang yang mulia dan besar kedudukannya, sedangkan aku seorang wanita yang selalu berlitup.''

Khalid al-Walid kagum dengan penjelasan daripada suara yang lembut itu dan terus bertanya: ''Siapakah kamu dan dari mana kamu datang?''

Suara itu menjawab, ''Aku Khaulah binti al-Azwar. Ketika aku sedang bersama-sama wanita lain, tiba-tiba datang satu berita memberitahuku, bahawa saudaraku Dhirar bin al-Azwar telah ditawan. 


Maka aku tidak dapat menahan kesabaranku, lalu aku terus menunggang kuda ke sini. Sesungguhnya aku terpaksa melakukan apa yang telah aku lakukan ini.''

Khalid al-Walid merasa begitu kagum lagi dengan jawapan dan tindakannya itu. Lantas memuji-muji Khaulah atas keberanian dan keikhlasannya terhadap saudaranya itu. 

Maka Khalid berkata kepada Khaulah lagi: ''Kita akan menggempur musuh sekali lagi selepas ini dan aku berdoa kepada Allah agar kita dapat menemui saudaramu, supaya kau dapat membebaskannya nanti.''

Peperangan itu dimenangi tentera Islam dan Dhirar berjaya dibebaskan bersama-sama tentera Islam yang lain.

Penyertaan Khaulah dalam peperangan tidak berakhir di situ sahaja. Beliau telah menyertai beberapa peperangan selepas itu termasuklah peperangan yang berlaku di Syam.

Dalam peperangan di Marj Dabik, saudaranya Dhirar telah ditawan sekali lagi. Khaulah sekali lagi telah menggempur barisan-barisan musuh.

Kesedihannya digarap pada syair dan tangisan yang mendorong semangat pasukan Islam untuk menuntut Rom membebaskan Dhiraar. Beberapa wanita lain yang suami mereka menjadi tawanan turut memberi semangat supaya tentera Islam lebih berani.

Pasukan Islam berjaya menyerbu daerah utara Syam dan mengepung Antarkia manakala beberapa tawanan dibebaskan, termasuk Dhiraar. Malangnya Khaulah dan beberapa wanita lain pula menjadi tawanan Rom.

Dalam tawanan pasukan musuh itu, Khaulah tidak menyerah kalah. Beliau berseru kepada temannya: “Hai puteri Himsyar sisa keturunan Tubba, apakah kalian rela menjadi tawanan Rom dan anak kalian menjadi budak mereka?

“Lebih baik kita mati daripada menjadi tawanan yang hina dan melayan Romawi keparat.”

Dengan semangat pantang menyerah, Khaulah mengetuai teman tawanan wanita dengan mengambil tiang khemah. Bersenjatakan tiang itu, mereka melawan pasukan Rom dengan memukul kepala mereka. Berkat keberanian itu, mereka berjaya membebaskan diri.

Selain itu, beliau juga turut terlibat dalam penaklukan Mesir, sehingga namanya disebut-sebut semua orang. Beliau terus menjadi seorang perajurit Islam, sehingga beliau menemui ajal pada zaman pemerintahan Khalifah Othman bin Affan. 

Khaulah telah meninggalkan namanya harum mewangi, yang bau-bauannya terus menerus dicium orang di sepanjang zaman.

No comments:

Post a Comment