Thursday 9 January 2020

PAHALA ALIH RANTING DI JALAN RAYA

Untuk mengumpul pahala sebagai bekalan akhirat tidak hanya apabila melakukan ibadat khusus. Banyak peluang untuk kita melakukan perkara kebaikan biarpun hanya mengalihkan ranting kayu atau halanga di jalan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Apabila seseorang berjalan atas jalan, dia menjumpai ranting berduri lalu diambilnya (untuk dibuang), dan dia bersyukur kepada Allah, dan Allah mengampunkannya” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Biarpun perbuatan itu nampak mudah dan kecil, namun setipa apa dilakukan akan tetap mendapat ganjaran pahala. Biarpun kecil tetap memberi kesan kebaikan.

Firman Allah SWT bermaksud: “Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar dzarrah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya pula.” (Surah Az-Zalzalah, ayat 7-8).

Jadi, meremehkan kebaikan kecil itu sebenarnya salah besar kerana siapa tahu, dengan kebaikan kecil itulah yang akan memberikan pahala besar, meraih rahmat dan reda Allah SWT.

Kita tidak tahu sebenarnya apakah amalan kita selama ini yang mendatangkan rahmat dan keredaan Allah. Mungkin rahmat dan reda Allah datang sewaktu kita mengukir senyuman kepada rakan, sewaktu memberi salam atau memimpin orang yang buta melintas jalan.

Setiap orang berpeluang melakukan kebaikan berdasarkan kemampuan masing-masing asalkan dilakukan dengan ikhlas dan mengharapkan keredaan Allah.

Sabda Nabi SAW bermaksud: “Sesungguhnya aku telah melihat seorang lelaki berguling-guling (bergembira) dalam syurga hanya kerana dia memotong dahan pokok di bahu jalan yang mengganggu manusia.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini mengisahkan seorang lelaki melalui sebatang jalan yang biasa dilalui kaum Muslimin dan terlihat sebatang dahan berduri seakan-akan mahu jatuh. Bimbang dahan itu jatuh dan menimpa orang ramai, lelaki berkenaan memotong dahan itu.

Disebabkan kebaikannya, Allah mengampuninya dan memasukkan dia ke syurga. Lelaki tadi kelihatannya membuat sedikit saja kebaikan, tetapi Allah merahmati dan membalas perbuatannya dengan nilai sangat besar iaitu syurga penuh kenikmatan.

Kalau kebaikan yang kecil tetap mendatangkan pahala, maka kejahatan yang kecil juga menyebabkan dosa. Jadi, jangan sekali-kali melakukan dosa biarpun kecil.

Membuang sampah merata-rata juga adalah perbuatan dosa. Jadi, jagalah kebersihan yang dengan perbuatan itu pula akan memperoleh pahala.

No comments:

Post a Comment