Tuesday 29 December 2020

KHASIAT ULAM BUAH KERDAS

Kerdas atau keredas (nama saintifiknya archidendron bubalinum) merupakan sejenis buah dari pokok kerdas yang sering dijadikan sebagai ulam serta dimakan bersama nasi. 

Kerdas juga dipanggil genuak dalam dialek Pulau Pinang. Pokok kerdas juga dipanggil geredas padi, giring antan dan merambung bukit.

Apapun nama panggilan, buah kerdas mengeluarkan bau yang agak kuat sama seperti ulam petai dan jering. Pokok kerdas merupakan sejenis pokok berkayu, saka dan malar hijau.

Kulit kerdas agak keras dan liat serta mempunyai saiz memanjang dan isi di dalamnya berulas-ulas. Ulas isinya agak kecil di antara (10 mm-15 mm) dan ianya berkulit nipis sama seperti kulit isi jering.

Warna isinya bergantung kepada ketuaan buah ini jika sudah tua atau disimpan lama warnanya akan menjadi kehitaman dan jika isinya masih muda atau baru dipetik ianya bewarna kuning pucat (keputih-putihan).

Isi buah kerdas agak lembut walau pun sudah tua dan matang. Selain dijadikan ulaman, buah kerdas juga boleh dimasak sambal atau dibuat jeruk. Biarpun sambal kerdas ikan bilis tidak sehebat sambal petai ikan bilis, ia tetap menyelerakan.

Selain buah kerdas, pucuk daun pokok kerdas juga ada yang memakannya sebagai ulaman. Daun pokok kerdas ini bertekstur nipis dan lembut daun mudanya pula bewarna ungu.

Buah kerdas dijadikan sebagai ulam bagi menambah selera makan. Baunya agak kuat hingga melekat pada bau nafas selepas memakan ulam ini. 

Kerdas ini boleh bertahan lama jika disimpan bersama kulitnya. Bagi penduduk luar bandar mereka sering mencari pokok kerdas yang tumbuh meliar di dalam hutan.

Memakan buah kerdas juga akan menyebabkan bau yang kurang menyenangkan pada mulut dan air kencing kita. 

Buah kerdas matang tidak boleh dimakan mentah terlalu banyak sekali gus kerana ia mengandungi bahan kapur yang boleh menyekat saluran kencing dan akan menyebabkan pemakannya sukar membuang air kecil.

Buah kerdas mengandungi nilai herba yang boleh membersihkan buah pinggang, melawaskan kencing dan dapat mengurangkan risiko penyakit kencing manis. 

Ia juga dikaitkan dengan awet muda. Yang pentingnya amalan memakan buah kerdas sebagai ulaman dengan nasi panas menjadi pembuka selera semasa kita menghadapi hidangan.

Kerdas kaya vitamin A, vitamin B dan vitamin C selain daripada kandungan protein (3.5%), karbohiderat (1.7%), lemak (0.3%) dan pelbagai zat galian seperti P, Fe, Ca dan sebagainya.

Buah kerdas juga didapati mengandungi bahan koloid yang membantu dalam melawaskan sistem perkumuhan terutama membantu dalam ransangan untuk kencing.

Terdapat dakwaan yang menyatakan buah kerdas membantu meneuteralkan kandungan gula dalam darah dan membantu dalam mengawal masalah darah tinggi.

No comments:

Post a Comment