Sunday 31 January 2021

MENANTI SAAT ISLAM BERKUASA KEMBALI

Lipatan sejarah mencatatkan kedudukan kuasa umat Islam ada pasang surut. Cabaran paling mencemaskan pertama kali berlaku sebaik sahaja kewafatan Rasulullah SAW. 

Ketika itu, cabaran paling besar ialah dalam menentukan siapa paling layak dilantik menjadi pemimpin menggantikan baginda. Isunya bukan perebutan jawatan, tetapi menentukan siapa paling layak sehingga akhirnya Abu Bakar diangkat sebagai khalifah yang pertama.

Cabaran krisis lebih besar berlaku selepas pembunuhan Saidina Uthman Bin Affan. Situasi itu hampir menggugat penyebaran Islam yang telah melepasi sempadan Semenanjung Arab. 

Namun, keyakinan terhadap benarnya janji Allah atas kemenangan Islam, masalah itu dapat diselesaikan dengan baik. Islam terus berkembang dan berkuasa.

Kecemerlangan pusat pentadbiran kerajaan Umaiyyah berkembang di kota Damsyik membawa Islam menguasai Cardova. Apabila ada krisis kepimpinan di Damsyik, ia berpindah pula ke Cardova dan bangkit bersama kerajaan Abbasiyyah di Kota Baghdad.

Pusat tamadun Cardova dan Baghdad berpindah ke kerajaan Uthamaniah di Turki. Kemudian Empayar Uthmaniah turut tersungkur dan diikuti kehancuran Baghdad sekali lagi pada zaman moden oleh serangan tentera bersekutu pimpinan Amerika Syarikat.

Islam akan tetap berkembang. Hatta di Asia Tengah ketika umat Islam ditindas dengan kejamnya, namun pergerakan umat Islam berjalan, walaupun dalam keadaan lembap. Hanya menunggu saat kelahiran kuasa umat Islam baharu.

Sebenarnya bukan Islam sentiasa berhati-hati dengan kebangkitan Islam. Sebab itu, bukan Islam sentiasa memberi tekanan kepada umat Islam agar tidak mampu bangkit.

Orang Islam tidak harus bersikap pesimis. Banyak gambaran dalam al-Quran yang membicarakan tentang khabar gembira masa depan dan kemenangan yang dijanjikan kepada umat Islam.

Hanya umat Islam harus sentiasa berfikir dan bertindak secara strategik menghadapi apa-apa keadaan pun. Kadangkala keadaan yang sentiasa tenang dan relaks itulah yang melalaikan banyak pihak.

Kemelut dan krisis membuatkan orang semakin waspada. Justeru itu umat Islam tidak harus takut menghadapi apa-apa keadaan sekalipun, asalkan sahaja mereka tahu mengambil kesempatan strategik atas apa keadaan yang berlaku.

Janji Allah wajib kita percaya bahawa umat Islam tetap akan meneruskan tugas sebagai khalifah Allah. Mereka akan menjadikan dunia ini lebih baik, aman. 

Demikian janji Tuhan kemenangan akan sentiasa berada pada pihak Islam, asalkan kita tidak terperangkap dengan fahaman sempit kepuakan dan kelompok.

Banyak juga ayat al-Quran yang menggambarkan ketika menerima ujian, ketika itulah umat Islam lebih dekat dengan kemenangan sebenar.

Mana-mana pihak yang gagal mempertahankan Islam akan ditukar dengan pihak yang lebih berpotensi untuk menjaga risalah Allah SWT itu. Malah Rasulullah SAW menjanjikan Islam akan terus berkembang seantero dunia.

Keadaan inilah menyebabkan orang Barat semakin menunjukkan kebencian kepada orang Islam, kerana Islam makin bertapak di Amerika mahupun di Eropah termasuk Belanda.

Hadis Nabi juga ada menjanjikan kemunculan kemakmuran di negara-negara umat Islam sehingga sampai ketikanya tidak ada lagi mereka yang akan menerima sedekah (zakat). Ini menunjukkan berkat keadilan Islam.

Namun semua itu tidak akan datang bergolek. Umat Islam lebih dahulu harus bersatu padu, membariskan kepimpinan yang mapan dan munculnya pembaharuan demi pembaharuan untuk lebih kukuh dan utuh.

No comments:

Post a Comment