Gajah Asia merupakan mamalia darat terbesar di Malaysia. Habitat
Gajah Asia adalah di pelbagai seperti hutan tebal, hutan sekunder dan belukar
dengan keadaan jenis muka bumi yang pelbagai. Berat badan Gajah Asia boleh
mencecah sehingga 5000 kilogram dan tinggi boleh mencapai sehingga 3 meter.
Gajah Asia boleh didapati di India, Nepal, Sri Lanka, Myanmar, Thailand, Laos, Vietnam, Cambodia, Malaysia dan Indonesia. Di Semenanjung Malaysia, Gajah Asia boleh didapati di Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah dan Negeri Sembilan. Gajah Asia merupakan spesies mamalia yang dilindungi sepenuhnya dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].
Gajah Asia memerlukan makanan sebanyak 4 peratus hingga 8 peratus daripada berat badanya sehari. Gajah Asia jantan dewasa memerlukan 300 hingga 400 kilogram makanan sehari manakala Gajah Asia betina dewasa memerlukan 200 hingga 300 kilogram makanan sehari.
Gajah Asia membiak semasa berumur antara 8 hingga 12 tahun. Tempoh bunting di antara 18 hingga 22 bulan dan boleh melahirkan seekor anak pada satu-satu masa. Berbanding gajah Afrika, hanya gajah Asia jantan sahaja bergading.
Seekor gajah betina biasanya hanya melahirkan anak sebanyak empat atau lima ekor sahaja sepanjang hayat. Selang masa gajah betina melahirkan anak seterusnya ialah kira-kira empat tahun. Hanya kira-kira satu peratus daripada kelahiran gajah adalah kembar.
Seekor gajah betina tua mengetuai setiap kumpulan. Apa yang unik dalam sistem sosial gajah ialah lakuan yang dipanggil "allo-mothering", di mana semua gajah betina akan bersama-sama menjaga anak gajah walaupun bukan anaknya.
No comments:
Post a Comment