Monday 26 April 2021

Tiada kem Zahid atau kem Ismail Sabri dalam UMNO

 
Sesiapa sahaja boleh membuat ulasan atau memberi pendapat mengenai politik negara, termasuk apa yang berlaku dalam UMNO. Namun, ulasan atau pendapat itu tidak semestinya memberi gambaran sebenar. 
 
Sebab itu penting kita membuat penilaian sendiri dengan akal yang bijak dan mengutamakan kebenaran. Selidik dahulu sebelum bertindak.
 
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
 
UMNO sentiasa dijadikan bahan penulisan. Itu selayaknya dengan kedudukan UMNO sebagai parti terbesar bangsa Melayu Islam. Sebarang perkara berkaitan UMNO memberi kesan kepada Melayu Islam di Malaysia.
 
Sebenrnya banyak pihak tidak suka kepada perpaduan dalam UMNO yang akan menghalang cita-cita pihak lain. Lalu, pelbagai persepsi dicipta untuk menunjukkan keberantakan dalaman UMNO.
 
Pelbagai tulisan nakal dan tidak bertanggungjawab dari mereka mengaku penganalisis politik yang mahu melagakan kepimpinan UMNO untuk tujuan tertentu dan membawa naratif pihak-pihak tertentu agar UMNO berpecah dan lemah.
 
Penganalisa politik bebas membuat analisa atas dasar pendapat. Namun, pendapat mereka bukan fakta. Lebih-lebih lagi jika analisa itu dibuat sekadar untuk melaga-lagakan di kalangan pemimpin UMNO.
 
Kematangan pemimpin UMNO sentiasa diuji. Ternyata mereka memiliki sikap terpuji memberi keutamaan kepada perpaduan parti. Tindakan diambil berdasarkan minda terbuka dan hati yang tulus.
 
Semangat bahawa UMNO merupakan parti yang sentiasa memperjuangkan hak rakyat dan membantu rakyat harus dikekalkan. UMNO harus dilihat sebagai parti yang mendengar kehendak rakyat maka UMNO harus kekal begitu.
 
Pendapat penganalisa politik kononnya mendapat sumber sahih bahawa banyak perkara ‘panas’ akan dibincangkan pada mesyuarat MKT UMNO pada 25 April sekadar satu analisa murahan.
 
Mesyuarat berjalan lancar dan harmoni. Tidak ada desakan supaya menteri UMNO letak jawatan. Tidak ada perbincangan berkaitan "audio Presiden" dan tidak ada agenda Anwar dalam mesyuarat MKT UMNO pada hari tersebut.
 
Tidak ada "Kem Zahid" atau "Kem DSIS" dalam UMNO seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini. Penulisan seorang penganalisa politik yang menyatakan ada dua kem tersebut hanya sebuah provokasi tanpa fakta.
 
Apa yang ada dalam UMNO hanya ada satu kem iaitu "Kem UMNO" yang sentiasa ikhlas berjuang demi agama bangsa negara.
 
Ini merupakan kekuatan UMNO. Mereka boleh berbeza pendapat dan pandangan tetapi akhirnya setiap keputusan itu datang dari suara majoriti dan persetujuan ahli MKT secara musyawwarah.

No comments:

Post a Comment