Monday, 9 July 2018

HAK WANITA KE ATAS MAS KAHWIN

Dalam setiap perkahwinan wajib ada mas kahwin. Mas kahwin adalah sesuatu yang bernilai yang diberikan oleh suami kepada isteri dikira sebagai hadiah. Pemberian mas kahwin wajib disebabkan nikah yang sah ataupun bersetubuh. Mas kahwin diberikan sebagai tanda memuliakan kaum wanita. 

Mas kahwin atas dasar nikah yang sah ialah pernikahan yang berterusan sah. Jadi pembayaran mas kahwin wajib disebabkan akadnya. 

Sekiranya pasangan itu bercerai, walaupun sebelum bersetubuh, maka mas kahwin masih perlu dijelaskan, tetapi sekadar separuh daripada jumlah yang disebutkan ketika akad atau yang ditetapkan.  

Firman Allah bermaksud: “Andainya kamu ceraikan isteri-isterimu sebelum kamu bercampur dengan mereka, pasahal sesungguhnya kamu sudah tentukan maharnya, maka byarlah satu perdua daripada mahar yang kamu tentukan.” (Surah al-Baqarah, ayat 237).

Mas kahwin atas dasar bersetubuh pula ialah perkahwinan yang fasid (atas sebab tidak sah yang hanya diketahui selepas perkahwinan). Mas kahwin itu tidak wajib disebabkan akad, tetapi kerana bersetubuh. Dengan kata lain, jika perkahwinan itu rosak dan kedua-duanya belum bersetubuh, maka tidaklah wajib mas kahwin itu dijelaskan.

Perintah memberi mas kahwin dalam perkahwinan dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian dengan penuh rela. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu yang sedap lagi baik akibatnya” (Surah an-Nisa, ayat 4).

Mas kahwin tidak ditetapkan jenisnya dan jumlah nilaian, asalkan sesuatu yang wujud dan ada nilainya. Pemberian itu hendaklah sempurna (sepenuhnya dan pada masa ditetapkan) dan diberikan secara ikhlas.

Firman Allah dalam surah an-Nisa, ayat 24 bermaksud: “Maka isteri-isteri yang telah kamu campuri antara mereka, berilah kepada mereka mas kahwin dengan sempurna sebagai sesuatu kewajipan.”

Mas kahwin wajib disediakan oleh lelaki biarpun sekadar satu barang yang murah harganya. Sabda Rasulullah bermaksud: “Jadikan mas kahwin sekalipun dengan sebentuk cincin daripada besi.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebentuk cincin besi tentulah amat murah harganya. Tetapi itulah perintah daripada Rasulullah agar memberatkan soal mas kahwin, yang wajib disediakan walaupun dalam nilaian amat rendah. Penyerahan mas kahwin boleh dilakukan secara tunai atau hutang.

Diharamkan menggunakan sumber atau barang diperoleh secara haram sebagai mas kahwin seperti harta riba, barang dicuri, samar-samar sifatnya, dan belum wujud.

Mas kahwin boleh juga terdiri faedah daripada penggunaan sesuatu barang, nilai sewaan, mengajar al-Quran atau ilmu yang bermanfaat. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Kalau sekiranya seseorang pemuda memberi makanan sepenuh kedua tangannya saja untuk mas kahwin seseorang wanita, sesungguhnya wanita itu halal baginya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Hakikatnya, mas kahwin adalah simbol permulaan tanggungjawab seorang suami kepada isteri. Kemudian, menyusul tanggungjawab yang lebih berat terpaksa dipikul oleh suami.  

Jika mas kahwin tidak dibayar oleh pihak suami, isteri berhak tidak tergesa-gesa menyerahkan dirinya. Dari Ibnu Abbas menceritakan ketika Saidina Ali menikahi Fatimah dan bersedia untuk bersetubuh, lantas Rasulullah menegahnya sebelum dijelaskan mas kahwin (dengan diberikan sesuatu). 

Saidina Ali memberitahu dia tidak mempunyai apa-apa yang boleh diserahkan.  Lantas, Rasulullah bersabda: “Berikan baju perangmu itu.” Setelah Saidina Ali menyerahkannya kepada Fatimah, baru dibenarkan kedua-duanya sebagaimana lazim suami isteri.  (Riwayat Abu Daud).

Antara mas kahwin dan hantaran adalah dua perkara yang berbeza. Mas kahwin adalah wajib, sedangkan hantaran adalah hadiah yang hanya harus hukumnya. Mas kahwin ditetapkan jumlahnya dan biasanya disebut ketika akad nikah. Namun, sah nikah sekiranya mas kahwin tidak disebut ketika akad nikah. 

Di negara kita terdapat perbezaan maksud mas kahwin, hantaran dan belanja hangus dalam urusan perkahwinan mengikut amalan di setiap negeri. Ada yang menyebut mas kahwin dan hantaran sebagai satu. 

Ada amalan di sesetengah negeri yang mana jumlah mas kahwin disebut semasa akad nikah. Biasanya jumlah itu ditetapkan oleh keluarga perempuan, contohnya RM5,000. Mas kahwin itu turut bermaksud hantaran. Jumlah ini menjadi milik pengantin perempuan sebagai mas kahwin. 

Manakala hantaran ialah barang-barang yang dibawa ketika rombongan keluarga lelaki bertandang ke rumah keluarga perempuan semasa kenduri. Belanja kenduri dan persiapan perkahwinan ditanggung sepenuhnya oleh keluarga perempuan mengikut kemampuan.  

No comments:

Post a Comment