Friday 30 December 2016

Jubah ganti baju Melayu

Kehidupan manusia suka kepada perkara baru. Berubah daripada yang kebiasaan. Biarpun budaya dan adat dikatakan amalan turun temurun, ia juga berubah secara perlahan-lahan. 

Perubahan itu ada kalanya berpunca kepada keperluan semasa dan setengahnya pula disebabkan pengaruh daripada luar.

Contohnya pemakaian baju kurung di kalangan wanita Melayu. Sekarang ini trend sudah berubah. Wanita Melayu kini semakin ramai memakai jubah berbanding baju kurung.

Perubahan ketara itu bukan saja ketika hari-hari biasa, bahkan semasa sambutan Hari Raya. Sekarang semakin ramai memilih jubah. 

Fenomina ini berlaku kerana kuatnya proses Arabisasi yang melanda pada hari ini, sudah sukar untuk melihat baju kurung teluk belanga, cekak musang, Kedah, Melaka dan Pahang dipakai wanita Melayu. Begitu juga dengan baju kebaya.

Tidak kurang juga pengaruh terhadap kaum lelaki yang semakin selesa mengenakan jubah berbanding dengan baju Melayu. Biarpun jubah yang dipilih memperlihatkan fesyen lebih moden dan menepati citarasa terkini, hakikatnya ia tetap dikenali sebagai jubah.

Sedikit demi sedikit kebudayaan Melayu runtuh dan digantikan dengan kebudayaan Arab.

Ini kerana, majoriti orang-orang Melayu sudah tidak dapat membezakan lagi di antara Arab dan Islam. Bagi mereka Arab itu Islam dan Islam itu Arab.

Fenomena ini ditambah lagi dengan pulangnya ramainya pemuda-pemudi Melayu dari Timur Tengah masuk bekerja di jabatan-jabatan kerajaan.

Perlahan-lahan juga bahasa Melayu diresapi oleh bahasa Arab. Jika dulu hanya orang berpendidikan Arab saja menggunakan istilah-istilah Arab, tetapi kini ia semakin meluas digunakan termasuk dalam istilah ekonomi seperti sukuk, takaful, wadiah, wakalah, mudarabah dan sebagainya. 

Begitu juga dengan penggantian istilah daripada buka puasa kepada iftar, sembahyang kepada solat, syurga kepada jannah, ibu kepada ummi dan sebagainya.

Tidak pasti mengapa perubahan itu berlaku. Adakah orang Melayu menganggap “kurang Islam” jika masih menggunakan “istilah lama” dan tidak berubah kepada kepada elemen Arab.

No comments:

Post a Comment