Friday 30 December 2016

Padah langgar baiah

Baiah adalah perjanjian atau persetujuan yang dibuat secara kerelaan antara individu dengan individu atau pihak lain dengan bersaksikan kalimah Wallahi, Wabillahi dan Watallahi.

Terdapat beberapa ayat dalam al-Quran dan salah satunya ialah ayat 111 dalam Surah at-Taubah menerangkan tentang janji dan baiah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (Surah at-Taubah, ayat 111)

Setiap baiah perlu dilaksanakan atau dipatuhi. Jika ada dalam baiah itu melibatkan ikatan perkahwinan seperti jika melanggar baiah itu akan menyebabkan tercerai isteri, maka baiah itu turut melibatkan unsur taklid.  Maka, jika dilanggar baiah itu, maka jatuhlah talak kerana ia sudah menjadi seperti taklid.

Justeru jangan mudah melakukan baiah hanya kerana inginkan kepada sesuatu. Kaji dulu kesan baik dan buruknya, terutama apabila tidak mampu untuk mengikuti dan melaksanakan baiah itu.

Mungkin pada ketika ingin melakukan baiah itu dirasakan mampu menunaikan kandungan baiah itu, tetapi keadaan hidup kita sentiasa diuji dan mengalami perubahan. Apa yang dipersetujui itu mungkin berubah kepada sebaliknya.

Sesiapa yang melanggar baiah bukan saja mendapat pembalasan di akhirat, namun sumpah itu ditakuti akan terkena balasannya di dunia ini. Ia bukan saja memberi kesan kepada individu terbabit, bahkan ahli keluarga dan masyarakat.

Setiap baiah tidak boleh ditarik balik kecuali diterima atau dibenarkan oleh pihak yang menerima baiah itu. 

Janganlah kita melakukan dosa setelah sebelum itu kita benar-benar ingin melakukan kebaikan.  Jangan kerana awalnya kebaikan ingin dicapai, sebaliknya keburukan pula yang terpaksa ditanggung disebabkan kejahilan dan sikap tidak usul periksa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Allah tidak sekali-kali menjadikan sesuatu kaum itu sesat sesudah Ia memberi hidayah petunjuk kepada mereka, sebelum Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka wajib memelihara dan melindungi diri daripadanya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah at-Taubah, ayat 115)

No comments:

Post a Comment