Dapat disimpulkan betapa Islam tidak membenarkan paksaan berlaku
dalam perkara akidah dan agama. Ini isyarat jelas bahawa Islam mengambil kira
kebebasan individu dan masyarakat ramai dalam kebanyakan urusan kehidupan.
Perlu ditegaskan di sini, tiada satu pun agama di dunia yang
mengambil berat isu kebebasan melainkan Islam yang mengiktiraf keperluan hidup
asasi manusia di muka bumi Allah SWT. Dengan ini, Islam menonjolkan ciri
keistimewaan dan keunikannya yang mampu memancarkan sinar kesejahteraan serta
kebahagiaan.
Islam memperakui kebebasan individu, kebebasan masyarakat,
kebebasan bernegara, kebebasan pendapat, kebebasan pemilikan sebagai pecahan
kecil daripada kebebasan lebih asasi iaitu kebebasan beragama atau kebebasan
berakidah.
Dalam bab kebebasan beragama, Islam memerintahkan umatnya supaya melaksanakan
pendekatan dakwah secara berhikmah dan penuh dengan nasihat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu
(wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik
dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih
baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang
sesat dari jalan-Nya dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang
mendapat hidayah petunjuk.” (Surah an-Nahl, ayat 125)
Tidak ada sama sekali unsur paksaan dalam dakwah Islam seperti
didakwa orientalis Barat dan musuh Islam. Musuh Islam memandang serong dan
negatif terhadap Islam sehingga mereka memutar belitkan fakta mengenai Islam.
Islam disebarkan secara aman dan selamat. Tiada paksaan terhadap sesiapa
pun agar menerima Islam. Kerajaan Islam memberi dan menghormati kebebasan beragama
kepada setiap rakyatnya.
No comments:
Post a Comment