Wednesday 18 July 2018

TREND WANITA MEROKOK

Bilangan wanita yang merokok semakin meningkat. Fenomina ini agak menyedihkan, terutama ketika kerajaan mengadakan kempen anti merokok kepada golongan sasaran iaitu remaja dan orang dewasa lelaki, golongan wanita yang merokok dulunya begitu asing, kini seperti sudah jadi satu kebiasaan, terutama mereka yang tinggal di kota raya.
 
Amat menyedihkan remaja perempuan yang cantik, anggun dan menarik, sayangnya mereka menjadi perokok yang secara langsung merosakkan imej mereka. Mereka tidak ambil kisah merokok dan tidak merasa janggal atau malu biarpun melakukan di khalayak ramai.

Persoalannya, mengapa remaja perempuan masih memilih untuk merokok sedangkan mereka sedia maklum kesan buruk merokok. Bahkan, jika ditanya keburukan itu, mereka dapat menyebut dan memperincikan setiap keburukan itu.

Biarpun nyata trend merokok di kalangan wanita kini menjadi lumrah, ia tidak wajar dibiarkan terus menjadi satu budaya. Kita bukan saja tidak mahu melihat remaja perempuan merokok, bahkan sepatutnya tidak ada seorang pun di negara kita yang merokok.  

Kebanyakan remaja perempuan yang merokok mengakui punca merokok hanya sekadar untuk melepaskan perasaan sedih dan tertekan ketika tidak mempunyai sesiapa untuk mengadu masalah.

Remaja perempuan biasanya tidak ketagih rokok seperti remaja lelaki, tetapi merokok apabila berada bersama-sama rakan yang merokok dan untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

Terdapat juga remaja perempuan merokok untuk menambah keyakinan diri dan meletakkan mereka setaraf dengan remaja lelaki yang berani melakukan perbuatan yang ditegah oleh ibu bapa. 

Remaja perempuan yang merokok sebenarnya tidak menghargai kehidupan mereka. Rokok tidak baik dan memburukkan kesihatan yang menyebabkan kulit mudah menjadi kering, tekak sentiasa berasa haus dan bibir kering. Remaja perempuan yang merokok akan hilang nilai-nilai kewanitaan yang secara langsung tidak lagi menarik di mata lelaki.

Remaja perempuan yang merokok melanggar tatasusila sebagai wanita. Perbuatan itu mesti ditegah dan elok jika mereka dipulau dikalangan wanita kerana telah mencemarkan imej wanita secara keseluruhannya.

No comments:

Post a Comment