Monday 16 July 2018

BERAZAM BERUBAH MELAKUKAN KEBAIKAN

Yusof Qaradhawi berkata: “Mensia-siakan waktu, walaupun hanya sedetik sekalipun, sama halnya dengan mensia-siakan kehidupan. Bagi seseorang Muslim sedetik saja dia tidak dapat memanfaatkan waktunya, maka akan kehilangan sebahagian daripada kehidupannya.”

Ungkapan itu jelas menunjukkan kepada kita betapa perlunya setiap individu meningkatkan usaha dan nilai kehidupan setiap masa, sehari demi sehari dan setahun demi setahun sehinggalah meninggal dunia. Setiap detik kehidupan memerlukan hijrah atau perubahan ke arah kebaikan yang tidak terhenti-henti.

Masa untuk berubah tidak kira waktu. Setiap perkara buruk perlu digantikan kebaikan dengan segera. Mana yang baik dikekalkan atau ditambahkan lagi.  Inilah yang dimaksudkan hijrah perlu dilakukan sepanjang masa. Jika kita bertangguh bermakna akan ada kebaikan yang dicapai berkurangan berbanding sepatutnya atau keburukan akan terus berlaku hingga menambahkan lagi kerugian.    

Namun begitu, kita tentu lebih teruja untuk melakukan perubahan setiap kali masuk tahun baru. Mungkin perubahan itu melibatkan sesuatu azam yang lebih besar dan khusus. Perkara ini tidak salah sekiranya untuk tujuan kebaikan. Menjadikan sambutan tahun baru atau awal tahun sebagai pencetus semangat memang digalakkan.

Sesungguhnya, kita harus menerima hakikat bahawa kita telah memasuki satu tempoh masa baru yang memerlukan semangat, iltizam dan cita-cita untuk menghadapinya. Hanya orang yang tabah dapat menghadapi setiap cabaran hidup dengan baik. Hidup adalah perlumbaan untuk merebut peluang yang ada yang akan dimenangi oleh individu yang pantas dan bijak merebutnya.

Setiap individu tidak seharusnya mempersiakan masa yang menjadi nadi kehidupan. Masa mendatang adalah cabaran kepada kehidupan. Kejayaan hanya dikecapi sekiranya dilakukan dengan bersungguh dan sanggup berkorban. Tidak ada kejayaan datang dengan mudah. Seperti kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang.

Semua yang kita harapkan perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Malah kita mesti sanggup berkorban jika inginkan kejayaan yang lebih gemilang. Pengorbanan itu dalam segi masa, tenaga, kewangan dan sebagainya.    

Setiap tahun berlalu kita merasakan umur semakin bertambah. Hakikatnya yang bertambah hanyalah kiraan bilangan tahun telah kita hidup, sedangkan umur kita sebenarnya semakin berkurang.

Renungkan kata-kata Imam Hasan al-Bashri tentang apa yang ‘kurang’ terhadap diri kita setiap detik masa berlalu. Katanya: “Hai anak cucu Adam, sesungguhnya engkau adalah kumpulan daripada hari-harimu. Maka, setiap kali hari itu berlalu, maka berlalu juga sebahagianmu.”

Dengan kata lain, kita perlu fikirkan apa yang telah berkurangan dengan bertambahnya masa hidup yang telah ditempuh. Jika kita lalai, maka masa itu berlalu begitu saja. Masa tidak pernah meningatkan kita bahawa telah banyak masa dilepaskan pergi setiap masa. Kita tidak akan perasan masa telah berlalu melainkan setelah sedar apa yang gagal dilakukan pada masa lalu yang memberi kesan rugi kepada kita.

Fikirkan apa akan dilakukan pada masa hadapan. Jangan takut untuk berfikir melakukan perkara hebat dan besar. Individu yang berjaya bermula dengan cara berfikir yang positif. Tetapkan satu matlamat kejayaan besar dalam tempoh tertentu. Jangan sekali-kali malu untuk bercita-cita besar kerana takut dikatakan ’Angan-angan Mat Jenin’.

Kita jangan peduli apa orang kata. Apa yang penting kita melakukan dengan perancangan dan azam yang betul. Memang kita akan ditertawakan jika apa yang ingin dilakukan itu tidak dibuat bersungguh-sungguh kemudiannya. Maksudnya, apa yang diimpikan itu mesti diusahakan seperti mana yang sepatutnya. Baru orang lain tidak akan mengelarkan kita sebagai Mat Jenin.  

No comments:

Post a Comment