Di Asia Tenggara sahaja, genus melastoma terdapat
22 spesies, termasuk 12 spesies di Malaysia.
Senduduk juga dikenali keduduk merupakan pokok
belukar kecil lazimnya tumbuh di kawasan tanah lapang, kawasan terbiar dan juga
di tepi jalan.
Pokok senduduk merupakan tumbuhan renek kecil
dan bercabang. Boleh tumbuh sehingga 3m tinggi. Daunnya berbentuk ringkas,
lanseolat dan panjangnya boleh mencapai sehingga 7 cm.
Daunnya hijau, tekstur kasar, ditutupi dengan
bulu-bulu halus. Bunganya besar dan boleh mencapai 5-7 cm lebar.
Tumbuhan ini boleh dibiak dengan mudah melalui
biji benih. Selepas 2 minggu, biji benih di tapak semaian akan cambah. Pokok
ini boleh dipindahkan ke lapangan selepas 6 minggu.
Pokok ini dapat menyesuaikan dalam semua
keadaan tanah dan memerlukan cahaya matahari.
Daun dan pucuk secara tradisinya dimakan untuk
memulihkan cirit-birit. Di Malaysia, daun senduduk yang dibuat ubat pupuk
digunakan untuk mencegah parut-parut luka kesan daripada kelemumur atau cacar.
Air rebusan akarnya digunakan untuk melegakan
sakit gigi, melembutkan kaki dan mengurangkan kembung perut. Manakala air rebusan
daun dan akar diminum untuk rawatan selepas bersalin.
Air rebusan campuran daun-daun senduduk, cuka,
halia bara (Zingiber officinale) dan bonglai (Zingiber cassumnar)digunakan
untuk rawatan leucorrhea.
Air rebusan campuran daun dan pucuk senduduk
serta dicampur dengan kulit manggis atau kulit buah manggis yang dibakar
menjadi arang digunakan untuk merawat cirit-birit.
Serbuk daun senduduk juga digunakan untuk
merawat disenteri, luka-luka dan juga digunakan sebagai tonik.
Buah senduduk berwarna coklat, berbentuk
seperti cawan, berangkai dan mengandungi banyak biji berwarna hitam serta rasa
manis. Buah keduduk muda pula dijadikan ‘peluru’ senapang getah.
Keseluruhan pokoknya bermula dari pucuk,
batang, buah hinggalah ke akarnya semuanya berfungsi sebagai ejen penyembuhan.
Daun, akar, batangnya boleh dijadikan mandian untuk
wanita lepas bersalin dan juga diminum untuk memulihkan sistem dalaman
peranakan dan juga buasir.
Pucuknya yang muda boleh dijadikan ulam untuk
cirit birit. Manakala daunnya yang kering boleh merawat keputihan jika direbus
bersama dengan halia, bonglai dan sedikit gula.
Untuk menghilangkan kesan parut terutamanya
cacar, giling akarnya bersama daun dan tampal di bahagian bermasalah.
Selain ungu dan biru, keduduk putih adalah
satu-satunya bunga keduduk yang menjadi buruan dan bernilai di pasaran satu
masa dulu. Diburu bukan saja pada nilai perubatannya, malahan pada aura dan
mistiknya yang tersendiri.
Banyak terdengar mitos dan cerita misteri mengenai
senduduk putih. Antara yang terkenal adalah pencarian untuk mendapatkan batu
geliganya. Ramai orang percaya mereka akan mendapat harta karun jika tiba-tiba
terjumpa pokok keduduk putih dalam hutan.
Namun, itu semua hanya mitos. Sekarang ini
banyak senduduk putih diperoleh dengan mudah jika pergi ke nurseri. Ia juga
mudah dibiarkan sama seperti pokok senduduk jenis lain.
No comments:
Post a Comment