Kalau disebut lebah, tentu sekali yang
diingati ialah madu lebah. Sedangkan sebenarnya lebah bukan sahaja memberi
manfaat kepada manusia dalam penghasilan madu lebah, tetapi sumbangan yang
lebih besar daripada itu.
Sebagai mengiktiraf kepentingan lebah dalam
kehidupan manusia, tarikh 20 Mei setiap tahun diiystiharkan sebagai Hari Lebah
Sedunia.
Lebah boleh didapati di setiap kawasan
dunia ini yang ada tumbuhan berbunga kecuali di Antartika. Terdapat kira-kira
lebih 16,000 spesies lebah dikenal pasti dalam tujuh keluarga biologi diktiraf.
Fungsi utama dimainkan lebah adalah sebagai
agen pendebungaan. Lebah sangat penting dalam ekosistem, kerana banyak spesies
tanaman memerlukan serangga ini untuk membiak.
Pendebungaan adalah proses pemindahan
debunga dari anter ke stigma. Proses ini penting bagi memastikan kejayaan
persenyawaan pokok dan seterusnya untuk kemandirian spesies tumbuhan.
Melalui proses ini dianggarkan 60 peratus
buah-buahan dan sayur-sayuran yang ada sekarang dapat dihasilkan. Sekiranya
lebah tidak memainkan peranan dalam proses pendebungaan ini dalam ekosistem,
maka semua sayur-sayuran, buah-buahan termasuk beras dan roti tidak akan ada
lagi dalam menu harian manusia.
Tanpa proses pendebungaan, tumbuhan tidak
akan mengeluarkan hasil dan tidak akan membiak dan seterusnya pupus. Kira-kira 85
peratus daripada semua tumbuhan di bumi berkembang biak melalui proses
pendebungaan. Tanpa lebah dan serangga lain yang menjalankan tugas pendebungan,
dunia akan hilang sumber makanan.
Justeru, pemahaman tentang kepentingan
serangga sebagai agen pendebungaan membuktikan bahawa lebah antara adalah
barisan hadapan (frontliners) agen pendebungaan.
Hakikatnya, lebah mempunyai peranan unik
dalam ekosistem iaitu dalam bio-kepelbagaian dan keseimbangan alam sekitar.
Jika kita membunuh serangga ini sewenang-wenangnya, ekosistem kita akan menjadi
tidak seimbang dan akhirnya menjejaskan kemandirian haiwan dan tumbuh-tumbuhan
lain.
Justeru, ramai saintis menggelarkan lebah
sebagai spesies paling berharga di dunia, mengatasi plankton, kulat dan
kelawar. Maka, kita harus sentiasa berterima kasih kepada barisan hadapan ini
yang tidak pernah gagal mewarnai hidup kita secara tidak langsung.
Buah tidak terhasil tanpa pendebungan
No comments:
Post a Comment