Siput gondang emas menjadi musuh utama
kepada petani padi di Malaysia. Siput gondang emas berasal dari Amerika Selatan.
Ia kemudian telah tersebar hampir ke seluruh benua, termasuk Malaysia. Di
Malaysia, siput gondang emas menjadi perosak utama tanaman padi, khususnya pada
anak benih berusia kurang dari 40 hari.
Siput gondang emas pertama kali memasuki
Malaysia menerusi langkah komersial, sebagai sumber makanan berprotein dan
menjadi salah satu cara untuk kawalan rumpai. Namun, langkah ini tidak mendapat
sambutan yang baik di kalangan penduduk tempatan.
Apabila nilai komersialnya merosot, siput gondang
emas akhirnya dibuang ke dalam sistem pengairan tempatan tanpa mempertimbangkan
kesannnya terhadap ekologi dan biodiversiti di habitat yang baru.
Siput gondang emas memperlihatkan ciri-ciri
perosaknya dengan menyerang anak benih padi yang berusia di bawah 40 hari. Anak
padi yang terdedah kepada serangan siput gondang emas menghadapi risiko
kerugian yang serius, dengan peratusan kerosakan sawah yang mencapai tahap sehingga
93 peratus.
Salah satu cara kawalan secara biologi
menghapuskan atau mengurangkan populasi siput gondang emas ialah melalui penggunaan
itik penelur.
Penggunaan itik penelur yang yang diternak
di kawasan sawah dapat mengawal pembiakan siput itu yang memusnahkan anak pokok
padi di peringkat awal pertumbuhan.
Kaedah yang digunapakai itu dapat
menghapuskan 90 hingga 95 peratus siput tanpa perlu menggunakan racun.
Itik penelur dewasa menjadikan anak siput
sebagai makanan tambahan setiap hari sepanjang berada dalam kawasan sawah
berair dan kering. Itik penelur memiliki kemahiran memburu anak siput untuk
dijadikan makanan.
Menariknya, itik penelur yang makan siput
gondang emas lebih sihat dan hasil telurnya lebih besar, terutama kuning telur.
Telur itu menjadi pilihan pengusaha telur masim.
Dengan memelihara itik penelur di kawasan
sawah bukan sahaja menyelamatkan anak padi daripada dirosakkan oleh siput
gondang emas, pada masa sama petani mendapat hasil telur dan apabila itik tersebut
tidak lagi produktif menghasilkan telur, itik itu boleh pula disembelih dan
dijualkan dagingnya.
Dengan kata lain, usaha penanaman itik
penelur di petak sawah dapat menjimatkan perbelanjaan membeli racun,
mendatangkan hasil telur itik dan kemudian dagingnya pula boleh dijual. Inilah dinamakan
serampang banyak mata.
No comments:
Post a Comment