Tuesday 27 December 2016

Masalah penagihan dadah

Cegah penagih dadah. Masalah penagihan dadah tidak pernah berkurangan, bahkan bertambah setiap tahun. Tahun 2015 pernah disasarkan sebagai Tahun Sifar Dadah. Realitinya, bukan saja gagal mencapai, tetapi bertambah.

Pelbagai usaha telah dilakukan pelbagai pihak untuk mengatasi masalah dadah. Kerajaan telah menggariskan empat strategi mencegah dan merawat masalah penyakit kronik yang merosakkan sistem fungsi otak akibat kesan pengambilan dadah.

Penglibatan seluruh masyarakat untuk memahami, mengambil tindakan dan menjadi barisan hadapan memerangi isu dadah di komuniti masing-masing adalah elemen utama menjayakan misi negara bebas dadah.

Ibu bapa dan keluarga merupakan entiti paling kecil dalam komuniti yang perlu memainkan peranan paling serius dalam memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan gejala penagihan dadah.

Elakkan dari bersikap “not me syndrome” kerana masalah dadah boleh menimpa sesiapa sahaja. Ia merentas status dan latar belakang serta kepercayaan seseorang. Kelekaan ibu bapa mengawasi anak  boleh menyebabkan anak terjebak kancah dadah.

Sehubungan itu, kejayaan membanteras masalah dadah memerlukan pendekatan yang seimbang dan menyeluruh. Masalah dadah melibatkan pelbagai punca, maka untuk menghapuskan juga perlu kepada pendekatan yang pelbagai.  

Sudah tiba masanya kerajaan menentukan dasar berkaitan dadah yang dinamik mengikut perkembangan masalah dadah semasa kerana ancaman dadah berbahaya dan bahan-bahan yang mengkhayalkan berubah dengan pesat mengikut arus perkembangan teknologi dan cara hidup manusia.

Pembangunan ekonomi negara perlu selari dan seimbang dengan pembangunan sosial dan modal insan. Apalah ertinya negara memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan sedangkan moral rakyat semakin bermasalah.

Kerajaan telah melihat perkara ini dengan teliti. Matlamat kita untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020 akan terbantut sekiranya masalah keruntuhan moral dan sosial menjadi barah dalam kalangan anak-anak muda kita.

Oleh itu, pelaburan sosial perlu dipertingkatkan segera meliputi pendidikan, pembangunan individu dan keluarga, pembangunan rohani dan jasmani serta peningkatan daya tahan dalam semua program dan aktiviti.

Kejatuhan sesebuah negara disebabkan kerosakan moral rakyatnya. Justeru, perkara ini tidak boleh dipandang mudah. Kejayaan negara bakal roboh jika masalah sosial tidak ditangani.  

No comments:

Post a Comment