Thursday 5 October 2023

JAMBU BATU KAYA VITAMIN C

 
Jambu batu mengandungi banyak vitamin C. Ia jenis buah-buahan tropika. Jambu batu dipercayai berasal dari kawasan benua Amerika Tengah yang beriklim tropika. Jambu batu atau juga dikenali jambu biji tersebar ke merata kawasan tropika dan sub tropika. Nama saintifik jambu batu ialah Psidium guajava dari keluarga Mytaceae.

Pokok jambu batu mudah ditanam dan mengeluarkan buah selepas dua hingga empat tahun ditanam. Bahan tanaman ialah secara tut dan mata tunas. Kaedah ini dapat mempastikan klon yang tulen dan masa pengeluaran buah yang cepat.
 
Di Malaysia kawasan penanaman secara komersil bermula pada pertengahan tahun 1980. Negeri utama di mana banyak guava ditanam secara komersil ialah di Perak, Johor, Selangor dan Pahang.
 
Pokok sederhana besar setinggi 10 meter. Kulit batang licin, nipis, warna merah perang, kulit tua melekang mendedahkan kulit muda yang berwarna kuning atau kehijau-kehijauan.
 
Daun ringkas, susunan bertentangan, panjang 5-15 cm, lebar 3-6 cm. Bunga di ketiak daun, tunggal atau 2 kuntum, putih, lebar 3-3.5 cm.
 
Buah jenis beri, bentuk bebola, bujur telur seperti pir, kecil atau besar, panjang 2-12 cm, hujung buah ada kelopak kaliks yang kekal, ketika muda berwarna hijau, setelah masak masih hijau atau kuning.
Isi yang keras menjadi lembut setelah masak, warna putih, kuning, merah jambu atau merah, rasa manis atau masam, wangi, isi ada sel batu dan banyak biji kecuali kultivar tanpa biji.
 
Buah yang masak dimakan mentah, isi lembut dan berbau wangi dibuat jem, jeli, jus, kordial, kek, pai, sup dan manisan. Isi atau just ditinkan atau dijadikan serbuk. Daun jambu batu boleh digunakan sebagai ganti daun teh.
 
Jambu batu mempunyai beberapa khasiat:
- Menghilangkan rasa mual semasa mengandung.
- Menurunkan paras kolesterol dalam darah.
- Menurunkan paras gula dalam darah.
- Mengurangkan berat badan.
- Mengawal tekanan darah.
- Membantu pertumbuhan kulit yang licin dan sihat.
- Mampu menaikkan sel darah putih dan merah.
- Meningkatkan kadar sistem metabolisme.
- Membantu penghadaman dan mengelak sembelit.
- Mengubat cirit-birit.
- Agen antioksida untuk melambatkan proses penuaan.
- Meningkatkan fungsi jantung.
 
Jambu batu juga kaya dengan vitamin C, malah kandungan vitamin C dalam jambu batu lebih tinggi dari dalam buah oren (3 hingga 3 kali ganda lebih tinggi dari buah oren, 10-30 kali ganda dari buah pisang dan 10 kali ganda dari buah betik).
 
Khasiat jambu batu akan lebih dirasai jika anda memakan dengan kulit-kulitnya sekali.

No comments:

Post a Comment